KOTA KINABALU, 28 Mei 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) telah memeterai satu Surat Niat (Letter of Intent, LoI) bersama Linopot Venture Sdn. Bhd., anak syarikat Borneo Guarana Sdn. Bhd., dalam satu majlis yang diadakan secara rasmi di fakulti berkenaan.
Majlis ini menandakan permulaan kepada kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan industri makanan dan herba tempatan, terutamanya di negeri Sabah dan rantau Borneo secara amnya. Kerjasama ini merangkumi bidang penyelidikan dan pembangunan produk, latihan industri, konsultansi teknikal, serta sokongan kepada sektor makanan dan herba di Sabah.
Majlis menandatangani dokumen tersebut telah disempurnakan oleh:
- Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat, Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah
- Encik Sami Bangun, ASDK, ADK, BSK, Pengerusi Eksekutif Linopot Venture Sdn. Bhd.
Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Profesor Dr. James J. Gid, Pengarah Pusat Penataran Lestari, UMS, serta barisan pengurusan kanan fakulti dan pihak Linopot Venture.
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, serta menyokong agenda pembangunan lestari berasaskan sumber tempatan di rantau Borneo. Melalui kerjasama ini, UMS komited untuk terus meneroka potensi baharu dalam inovasi makanan dan herba, sekali gus memperkasakan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan ekonomi setempat.