Cetak
Kategori: MENGENAI KAMI
Jumlah paparan: 7079

Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diperakukan penubuhannya pada 30 Disember 1997 melalui Mesyuarat Majlis UMS Kali Ke-9 sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan di Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) (Kini Fakulti Psikologi dan Pendidikan). Pelantikan Ketua UPPsiKS pada 29 Mac 2000 iaitu diterajui oleh Allahyarham Profesor Dr. Muhammad Haji-Yusuf (2000-2003).

Pada awal penubuhannya, UPPsiKS memberi fokus kepada penyelidikan kesihatan mental dan pembangunan alat ujian dan pengukuran psikologi. Teras penyelidikan bagi kajian kesihatan mental merangkumi stres, depresi, kesunyian, harga kendiri dan tingkah laku daya tindak. Sementara teras penyelidikan bagi pembangunan alat ujian dan pengukuran psikologi merangkumi pengkomputeran alat ujian dan pengukuran psikologi. Pada masa kini, fokus UPPsiKS diperluaskan dalam bidang Peace Psychology untuk teras Psikologi Positif, Psikologi Kesihatan, Psikologi Klinikal dan Psikologi Pengguna berdasarkan kepakaran yang ada pada kakitangan tetap akademik di UPPsiKS dan isu semasa khususnya di negeri Sabah seperti aspek keselamatan dan keamanan sejagat, bencana dan juga isu pendatang tanpa izin.

Penubuhannya adalah penting bagi meningkatkan sumbangan UMS dalam penyelidikan dan pendidikan. Ia menjadi tunggak kepada kegiatan akademik terutama penyelidikan, pembangunan dan inovasi. Penyelidikan yang dijalankan bersifat asas (fundamental) dan gunaan (applied). Ia juga terfokus dan silang disiplin yang memerlukan penggabungan kekuatan kepakaran pelbagai bidang psikologi sama ada dari dalam UMS (pelantikan Felo Penyelidik), luar UMS dan luar negara (pelantikan Felo Penyelidik Bersekutu). Arah tuju dan asas  tersebut diyakini mampu mengangkat UPPsiKS sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial di rantau ini.

Sehingga 1 September 2015, UPPsiKS telah mempunyai seramai lima (5) orang kakitangan akademik dan tiga (3) orang kakitangan pentadbiran.

OBJEKTIF

Secara umumnya, Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) adalah pusat kecemerlangan penyelidikan yang berfokuskan kepada penyelidikan kesihatan mental dan pembangunan alat ujian dan pengukuran psikologi. Secara khususnya, PPPKS ditubuhkan untuk:

1. Menjalankan kajian asas dan gunaan dalam bidang tujahan iaitu Psikologi Positif, Psikologi Kesihatan, Psikologi Klinikal, Psikologi Pengguna dan Psikometrik.
2. Menerbitkan hasil kajian asas dan gunaan dalam bidang tujahan dalam bentuk buku, artikel, bahan berkala, monograf, modul dan manual.
3. Mewujudkan forum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui penganjuran persidangan/seminar/bengkel dalam kalangan penyelidik, ilmuan, ahli politik, pembuat dasar, kakitangan kerajaan, swasta dan NGO serta masyarakat setempat dan umum.
4. Menubuhkan kelompok pemikir (think-tank) yang bertindak sebagai pangkalan data yang boleh menyumbang input psikologi kepada pihak penggubal dasar negara.
5. Menerap dan memanfaatkan hasil kajian kepada masyarakat umum melalui penyediaan perkhidmatan dan perundingan psikologi mengikut tujahan.
6. Mengadakan jalinan dengan agensi dalam dan luar negara dalam tujahan yang berkaitan.

VISI

Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran yang dinamik, berkualiti, berfokuskan kepada pembangunan modal insan dan masyarakat yang memakmurkan negeri Sabah dan negara Malaysia.

MISI

Misi UPPsiKS adalah untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi dan memainkan peranan yang proaktif dalam menyelesaikan pelbagai masalah psikologi dan cabaran masyarakat masa kini melalui pendekatan multi disiplin seperti berikut:

1. Penyelidikan dan Pembangunan
2. Pendidikan dan Latihan
3. Penglibatan Masyarakat dan Sokongan
4. Rangkaian kerjasama Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa