Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi Crisnanalina Jumis yang berasal dari Paitan untuk mendaftar bagi kemasukan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin berkenan untuk memberikan sumbangan bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian ke UMS.
Menurut kenyataan dari Istana Negeri Sabah, di samping sumbangan bantuan komputer riba dan bantuan perbelanjaan bagi persiapan Crisnanalina untuk mendaftar di UMS, Tun Juhar juga akan membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan beliau ke UMS.
“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Tun Juhar yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkan beliau menyambung pengajian ke universiti.
“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Tun Juhar, justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran serta pelbagai perbelanjaan yang berkaitan, dan memohon bantuan dari pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian.
Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.