Rasa Ria, UMS Meterai Loi Bagi Projek Penanaman Cendawan

Cetak

 

Satu majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) untuk Projek Penanaman Cendawan telah diadakan di Discovery Centre, Shangri-La Rasa Ria.

LOI tersebut melibatkan kerjasama antara Shangri-La Rasa Ria dan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dokumen LOI telah ditandatangani oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, Pengarah IBTP, bersama Fiona Hagan, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IBTP, Prof. Madya Dr. Jaya Seelan A/L Sathiya Seelan, dan En. Melvin George Jr. Jikunan, Senior Service Manager, Rasa Ria Reserve Shangri-La Rasa Ria.

Kerjasama ini dimeterai untuk tempoh satu tahun dan bertujuan untuk melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk Survei Kawasan Rizab Taman Cendawan Rasa Ria, Latihan dan Pendidikan Berkaitan Cendawan untuk Naturalis Residen Rasa Ria, Penyelidikan Mengenai Cendawan untuk Penanaman di UMS dan Rasa Ria, dan Penubuhan Taman Cendawan di Rasa Ria Reserve

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pentadbiran IBTP, Puan Norazmayati Kassim, bersama kakitangan dan pelajar IBTP serta kakitangan Shangri-La Rasa Ria.

Kerjasama ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam mempromosikan penyelidikan dan pendidikan berkaitan cendawan serta memperkasa kelestarian ekosistem di kawasan Rasa Ria Reserve.