Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Tunjuk Niat bersama Chin Wui Trading di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL) baru-baru ini.
Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, berharap agar kolaborasi itu dapat memperluaskan hubungan strategik, memberikan peluang pembelajaran dan pengalaman baru kepada mahasiswa serta mempromosi produk melalui pemasaran komprehensif.
Katanya, program kolaborasi bersama Chin Wui Trading telah memberikan banyak input berguna kepada mahasiswa, mencetuskan idea dan pengalaman baru.
"Melalui program ini, peluang mempelajari ilmu secara tidak langsung akan membentuk transformasi gerak kerja yang berjaya berdasarkan kebijaksanaan dan kesungguhan.
"Tahniah dan syukur kerana program ini berjaya dilaksanakan.
Semoga mahasiswa dapat menimba ilmu baharu yang sukar diperolehi melalui kuliah,"katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Chin Wui Trading , Liau Jun Wui menyatakan keterujaan mereka untuk berkongsi rancangan masa depan bagi memajukan syarikat dengan meningkatkan jualan, pengetahuan produk dan pengedaran.
Katanya, mereka komited untuk mengembangkan kehadiran pasaran, menjangkau lebih ramai pelanggan dan memenuhi keperluan pelanggan mereka.
Perjanjian rasmi antara Chin Wui Trading dan Universiti Malaysia Sabah menandakan era baharu perkongsian dalam inovasi pemasaran dan pengedaran produk, memperkukuh hubungan industri dan akademik untuk manfaat bersama.
Program itu juga mempertingkatkan promosi dan pengedaran produk melalui usaha pemasaran menyeluruh melalui pelbagai media.
Pensyarah Kanan FKAL, Dr. Md Mahmudul Haque yang juga ketua projek, menyatakan FKAL telah memberikan perkhidmatan kepada industri tempatan dan antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.
Turut hadir Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKAL, Dr Anath Rau Rrishnan dan Timbalan Dekan (Hal Eh wal Pelajar dan Alumni) FKAL, Dr Noor Hassanah Husin.