FANTASI 2025 Wadah Angkat Warisan Budaya Dalam Kalangan Siswa

Cetak

 

Penganjuran Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi wadah dalam mengangkat warisan budaya negara yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti, dan keindahan berbahasa dalam masyarakat Malaysia dalam kalangan pelajar universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pantun bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi satu medium yang amat kaya dengan falsafah hidup, nilai-nilai murni, dan hikmah.

“Dalam setiap bait pantun yang disusun, terkandung makna yang mendalam yang dapat mengajar kita berkenaan adab, kasih sayang, nasihat, dan pengajaran hidup.

“Pantun menggambarkan kehalusan bahasa dan kesenian yang melambangkan kedalaman pemikiran orang Melayu, yang mampu menyampaikan mesej yang begitu kuat, walaupun dengan kata-kata yang ringkas dan mudah.

“Setiap barisan pantun yang dilontarkan peserta festival ini membawa bukti nyata bahawa kita mempunyai generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik, malah memiliki daya kreativiti dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan mempertahankan tradisi seni bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan festival anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS itu di Dewan Resital, UMS.

Tambah Kasim, Festival Pantun juga menjadi ruang dalam menghargai keindahan bahasa Melayu, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Melalui acara seperti ini, kita dapat mengenali bakat-bakat terpendam dalam kalangan pelajar, yang mungkin tidak dapat ditemukan melalui pendekatan konvensional di dalam kelas.

“ Ini adalah salah satu daripada banyak cara di mana kita boleh meraikan kepelbagaian bakat dan membina jalinan persahabatan antara generasi muda dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Ujar beliau, penganjuran festival tersebut diharap terus menjadi satu platform bagi menggalakkan lebih banyak acara kebudayaan yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang seni dan budaya.

Dalam pada itu, peserta dari Universiti Malaya (UM) mengungguli festival tersebut apabila kedua-dua kumpulan peserta dari universiti itu masing-masing berentap pada pertandingan akhir.

UM Kumpulan B dinobat sebagai johan pertandingan, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,500, sementara UM Kumpulan A sebagai naib johan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,000.

Peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masing-masing menduduki tempat ketiga, sekali gus menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,250.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengarah Majlis Dekan / Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Haji Abang Julai; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; dan Pengarah PPST UMS, ChM. Dr. Newati Wid.