Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Bengkel Kerja Simulasi Modul Pendidikan Gempa Bumi bertempat di Sekolah kebangsaan (SK) Tongou dan SK Mesilou Ranau, Sabah baru-baru ini.
Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus bengkel tersebut merupakan inisiatif bersama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya ia juga turut mendapat sokongan penuh daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), UNICEF Malaysia, SEADPRI-UKM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
“Bengkel ini diadakan bertujuan memperkukuh sistem pendidikan dalam pengurangan risiko bencana (DRR) di peringkat sekolah, sejajar dengan aspirasi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
“Modul Pendidikan Gempa Bumi ini telah dibangunkan oleh NDRC UMS semenjak tahun 2018 lagi, iaitu dengan pembiayaan UNICEF Malaysia menerusi geran penyelidikan dan kerjasama erat bersama JPN Sabah,” katanya.
Tambah Carolyn, Modul Pendidikan Gempa Bumi itu juga telah dilaksanakan dan diuji keberkesanannya menerusi Bengkel Pendidikan Gempa Bumi yang melibatkan murid-murid sekolah rendah dan menengah di 82 buah sekolah di daerah Ranau (sepanjang tahun 2018-2019) dan 53 buah sekolah di daerah Lahad Datu (sepanjang 2019–2020).
“Modul ini memberi fokus kepada latihan kesiapsiagaan dan pendidikan sains gempa bumi di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“SK Tungou dan SK Mesilou merupakan antara sekolah perintis yang telah menerima latihan awal daripada NDRC UMS. Kedua-dua sekolah ini telah melaksanakan aktiviti pendidikan sains gempa bumi dan latihan simulasi secara berterusan dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan murid dan guru terhadap risiko gempa bumi, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti daerah Ranau,” katanya.
Jelas Carolyn, melalui bengkel tersebut, keberkesanan modul yang dibangunkan dapat diuji dalam konteks sebenar bagi memastikan ia sesuai, berimpak dan dapat dilaksanakan secara meluas di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Bengkel ini merupakan langkah penting ke arah penerapan pendidikan terhadap risiko bencana secara lebih sistematik di sekolah, demi melahirkan warga sekolah yang lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana gempa bumi khususnya.
“Aktiviti simulasi secara langsung yang dijalankan di SK Tongou dan SK Mesilou telah menekankan kepentingan pendidikan yang lebih proaktif dan inklusif dalam usaha mengurangkan risiko bencana.
Inisiatif seperti ini dapat menyerlahkan peranan penting universiti, serta kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik yang lain dalam memajukan pendidikan risiko bencana demi menjamin keselamatan dan kesiapsiagaan generasi akan datang,” katanya,” ujarnya.
Program ini turut disertai oleh Penolong Pengarah 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) daripada pelbagai Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh Malaysia, sekali gus dapat memperkukuh perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti dalam menghadapi bencana di peringkat sekolah.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Mohd Fakarudin Hussain; Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Wan Izani Wan Idris; Pakar Pendidikan UNICEF Malaysia, Azlina Kamal serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.