Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memupuk semangat cinta terhadap seni dan warisan budaya dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah.
Usaha tersebut diperkasa melalui penganjuran Festival Seni dan Budaya (FESTIBU) 2025 dengan 17 penyertaan daripada pelajar UMS dan sekolah-sekolah di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Penyelaras Program FESTIBU 2025, Norain Abdul Razak berkata penganjuran tersebut adalah penting untuk memastikan seni dan warisan budaya dapat diperkenal, dipupuk dan diteruskan oleh generasi muda.
Selain itu katanya program tersebut juga dapat membuka ruang dan peluang kepada bakat muda untuk mengekspresi kreativiti mereka melalui pertandingan berunsur seni persembahan.
“Penganjuran FESTIBU 2025 ini juga mampu merapatkan hubungan antara mahasiswa UMS dengan komuniti luar melalui penglibatan peserta dari pelbagai daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.
Tambah Norain, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Nyanyian Asli, Miss Cultural dan Tarian Melayu Kreatif berkonsepkan muzikal atau dramatari.
“Seramai empat peserta menyertai Miss Cultural, lapan penyertaan Nyanyian Asli dan lima kumpulan tari bagi kategori Tarian Melayu Kreatif.
“Pihak kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, urus setia, dan penaja yang telah menjayakan FESTIBU 2025.
“Adalah menjadi harapan kami agar festival ini dapat diteruskan dan dikembangkan pada tahun hadapan dengan penyertaan daripada universiti awam seluruh Malaysia,” katanya.
FESTIBU 2025 dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.
Dalam pertandingan kategori Miss Cultural, Audrey Douhin dinobatkan sebagai Johan, manakala Jesiskah Dhei Turu dan Cyra Deivera Hubertus masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu bagi kategori Nyanyian Asli, Johan dimenangi oleh Kaslizanisah Mahalil (UMS), manakala Mohd Afiq Iqram (UMS) dan Siti Soliha Sonarto (Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kategori Tarian Melayu Kreatif dirangkul oleh Kumpulan Ronggeng Gentari SFX (Keningau), manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Project Recruitment Ala Panggong (P.R.A.P), dan Kumpulan Rhythm Bunan meraih tempat ketiga.
FESTIBU 2025 turut memberikan Anugerah Khas Juri kepada Kumpulan Sayau Sinundu Ranau yang bertanding dalam kategori Tarian Melayu Kreatif.
Anugerah Muzik Terbaik diberikan kepada Akasia Citra Tari UMS, manakala Anugerah Penari Terbaik dinobatkan kepada Sydney Phinto dari Kumpulan P.R.A.P dan Anugerah Penari Perempuan dimenangi oleh Mitchell Whelhery dari Kumpulan Ronggeng Gentari SFX.
Turut hadir, Dekan ASTiF, Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat.