Pelajar Hubungan Antarabangsa UMS Luaskan Jaringan Kerjasama Akademik di Turkiye

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan diplomasi akademik dengan pelbagai institusi di Türkiye menerusi Program Building Understanding of Global Affairs & Nations (BUNGA 2025).

Program tersebut yang berlangsung baru-baru ini melibatkan penyertaan delegasi UMS yang terdiri daripada 10 pelajar bersama pensyarah akademik dari Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Pengarah program BUNGA 2025, Anne Lovely Talent berkata, program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik dan diplomatik UMS dengan institusi di Türkiye, malah membuka ruang kerjasama masa depan dalam bidang penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan pensyarah, serta pengukuhan diplomasi akademik dan kebudayaan.

“BUNGA 2025 berpotensi menjadi platform penting untuk UMS mengukuhkan kedudukannya dalam jaringan global, khususnya dengan rakan-rakan di Türkiye, seterusnya meningkatkan penglibatan aktif dalam pembangunan ilmu dan hubungan antarabangsa,” katanya.

“Perbincangan dengan pihak Erciyes University, Koç University, dan institusi lain di Türkiye telah membuka cadangan kerjasama strategik dalam disiplin hubungan antarabangsa, diplomasi, budaya dan pendidikan, sekali gus memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak untuk pembangunan akademik dan kerjasama dua hala,” katanya.

Menurutnya lagi, program kembara bersifat Pengajaran & Pembelajaran (P&P)  itu turut membuka ruang interaksi strategik dengan institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan Türkiye, khususnya dalam disiplin hubungan antarabangsa, diplomasi, kebudayaan, dan pendidikan.

Anne Lovely turut memaklumkan, antara pengisian utama program tersebut termasuk lawatan ke Pendidikan Diplomasi (Diplomacy Academy) dibawah Kementerian Luar Negeri Türkiye (MOFA) di Ankara, di mana delegasi UMS berpeluang berinteraksi dengan Ketua Jabatan Akademi Diplomasi, Dervis Fikret Ünal  untuk memahami secara langsung dasar luar, sistem politik, pemerintahan dan budaya Turkiye.

“Selain itu, delegasi UMS turut berpeluang melawat rakan strategik program Hubungan Antarabangsa iaitu Erciyes University di Kayseri , di mana mereka telah berkongsi pembentangan mengenai hubungan Malaysia-Türkiye, dasar luar Malaysia, dan memperkenalkan UMS kepada pelajar Jabatan Hubungan Antarabangsa Erciyes University.

“Lawatan ini turut diserikan dengan sesi silang budaya yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Malaysia disempurnakan oleh pelajar UMS dan perkongsian kebudayaan Türkiye oleh pelajar Erciyes University, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala pelajar,” katanya.

Program tersebut katanya turut mendapat sokongan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, di mana kujungan delegasi BUNGA 2025 telah diterima baik oleh Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Sazali Mustafa Kamal.

“Delegasi diberi penerangan mengenai peranan kedutaan serta perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Türkiye dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan pelancongan.

“Selain itu, para peserta turut berkesempatan berkunjung ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan berpeluang mendengar sesi taklimat oleh wakil Konsul, Mardhiah Sabri serta bertukar maklumat dan pandangan berkaitan isu-isu melibatkan warga Malaysia di Turkiye.

“Delegasi turut berkesempatan mengunjungi Koç University di Istanbul serta berpeluang mendengar syarahan berkaitan The Political Economy of Türkiye yang disampaikan oleh Prof. Caner Bakir, selain dibawa melawat sekitar kampus yang memperkenalkan sejarah dan kemajuan akademik universiti berkenaan hasil inisiatif Vehbi Koç Foundation,” katanya.

Program BUNGA 2025 melengkapkan program rasmi dengan khidmat komuniti di Alnokhba, sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak pelarian Syria di Türkiye.

Delegasi UMS dengan bantuan Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) turut menyerahkan alat tulis sumbangan Malaysian Relief Agency (MRA) kepada anak-anak pelarian Syria sebagai tanda sokongan dan solidariti.