Elak Pelajar Luar Bandar Tercicir, UMS Anjur Program ‘Science & Art Camp Through Hackathon’

Cetak

 

KUDAT – One Health Student Club (OHSC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Pusat U-Science UMS, Pusat Sains Negara, dan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat telah menganjurkan program ‘Science & Art Camp: Future Doctor in Tech’.

Program bertemakan “Empowering Rural Sabah Students on Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) and Artificial Intelligence Through Hackathon Camp” berlangsung selama dua hari, di sini, baru-baru ini.

Program ini turut ditaja oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), sebagai sebahagian daripada usaha memupuk minat dalam bidang STEM dan teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Menurut Penasihat OHSC UMS, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, pendekatan berkonsepkan hackathon digunakan untuk menggabungkan aktiviti praktikal dan kerja berpasukan.

“Fokus utama adalah memperkenalkan pelajar kepada aplikasi AI dalam bidang kesihatan, di samping membimbing mereka melalui tugasan berkumpulan dan sesi bimbingan mentor.

“Ini bukan sahaja memberikan mereka kemahiran asas tetapi juga motivasi untuk meneroka kerjaya masa depan dalam bidang STEM, khususnya dalam profesion perubatan,” jelas beliau.

Seramai 120 orang pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di Kudat telah menyertai program ini. Majlis Perasmian Penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Sains Perubatan), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Dr. Mohammad Firdaus Bolong.

Menurut Mohammad Firdaus, adalah penting untuk menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam kepada para pelajar sekolah khususnya di luar bandar untuk membina masa depan negara.

“Pendedahan awal kepada STEM bukan sekadar membina ilmu, tetapi membentuk cara berfikir generasi muda melalai cara berfikir yang kritikal, kreatif dan inovatif.

“Program seperti ini penting untuk memastikan anak-anak Sabah tidak ketinggalan dalam gelombang teknologi dan sains kesihatan masa depan.

“Program ini juga menjadi bukti bahawa pendedahan awal terhadap bidang teknologi dan sains dalam konteks kesihatan mampu menyemai cita-cita besar dalam kalangan pelajar luar bandar, seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan negara yang seimbang dan inklusif,” ujar beliau.

Peserta program, Vivilleahlyn Majiman dari SMK Pinawantai ketika ditemui berasa teruja berkongsi kegembiraannya menyertai program tersebut.

“Saya sangat gembira dan seronok hari ini. Kami belajar banyak perkara baru, terutama tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam bidang kesihatan.

“Ia membuka mata saya tentang kerjaya doktor yang lebih moden dan canggih,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Sektor Pembangunan Murid, Amiluddin bin Majuki dan Penceramah merangkap Pensyarah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Aimi Shazwani Ghazali.