UMS Anjur Program Perkasa Kesihatan Mental dan Fizikal Bersama Komuniti Luar Bandar

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) terus menggiatkan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal menerusi penganjuran dua program bersama komuniti di Tamparuli dan Nabawan baru-baru ini.

Menurut penyelaras program, Dr. Getrude Cosmas yang merupakan pensyarah kanan FPKS, program yang bertemakan “Empowering mental and physical health through psychology, arts dan nature” itu telah dilaksanakan di Kampung Murni 4, Nabawan dan di asrama perempuan St. Marianne, Tamparuli.

“Seramai 38 orang pelajar daripada Program Pembangunan Belia dan Komuniti dan Program Psikologi Industri dan Organisasi, FPKS turut serta dalam program ini.

“Antara tujuan utama program ini adalah untuk membantu meningkatkan kesejahteraan minda dan fizikal komuniti sasaran menerusi pelbagai aktiviti berstruktur.

“Antaranya ceramah kesihatan mental oleh pegawai psikologi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Cawangan Kota Kinabalu Grace Alliun, saringan kesihatan yang dikendalikan oleh staf daripada Klinik Kesihatan Nabawan, malam kesenian dan riadah bersama komuniti ke kolam ikan,” katanya.

Beliau menambah, selain memberikan perkhidmatan kepada komuniti, program yang melibatkan pelajar UMS ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan ilmu dan teori yang dipelajari dalam kursus Sikap dan Perubahan dan Perubahan Sikap dalam realiti hidup yang sebenar.

Getrude turut merakamkan penghargaan kepada Dekan FPKS, Prof. Dr. Mohd Dahlan Hj Malek; Pengarah U-Science, Tuan Haji Zawawi Tiyunin; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kg Murni 4, Nabawan, Ampongoh Mantis @ Simanti; dan pengendali asrama perempuan St Marianne, Sr Appollonia Gumpu, Irene Mositol, dan Dumo Wongi atas sokongan dalam merealisasikan penganjuran program tersebut.

Dalam pada itu, pengarah bagi program di Nabawan, Reddone Tahing memaklumkan, menerusi program itu para penduduk kampung berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat berkaitan dengan penjagaan kesihatan mental dan fizikal.

Manakala program di asrama perempuan St. Marianne yang dikelolakan oleh pengarah program, Lareniya A/P Oam Sivalingam pula melibatkan aktiviti berkebun, eco-print dan membuat coklat dengan hiasan bunga.

Kedua-dua program itu menggunakan pendekatan SULAM, iaitu pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada masyarakat (service learning) yang menggabungkan pengajaran akademik dengan khidmat komuniti.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada JKNS, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Sabah dan U-Science UMS.