Kemajuan Teknologi Perlu Seiring dengan Nilai Kemanusiaan – Naib Canselor UMS

Cetak

 

Kemajuan teknologi semata-mata tidak menjamin kesejahteraan hidup sekiranya nilai-nilai asas kemanusiaan terus terpinggir.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, era ledakan teknologi termasuklah kecerdasan buatan (AI), data raya (Big Data), dan transformasi digital, telah menyaksikan kemerosotan nilai-nilai kemanusiaan dalam pelbagai bentuk.

“Ini antaranya konflik berpanjangan, diskriminasi, perubahan iklim yang membimbangkan, polarisasi politik, serta kesepian dalam kalangan masyarakat moden.

“Justeru, menjadi tanggungjawab bersama, terutamanya dalam kalangan ahli akademik dan penggiat ilmu, untuk menyemarakkan dan memperkukuh nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan III (PAPK III) 2025 di UMS.

Dalam konteks tersebut, beliau percaya bahawa pengajian kemanusiaan bukan sekadar bidang pelengkap, sebaliknya merupakan tunjang penting dalam pembentukan masyarakat yang seimbang.

“Melalui cabang ilmu seperti falsafah, bahasa, budaya, sejarah, agama dan kesusasteraan, kita diasuh untuk memahami makna kehidupan, memupuk daya fikir kritis, menzahirkan empati, serta meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

“Kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya ditentukan oleh kemajuan ekonomi atau kemodenan infrastruktur, tetapi oleh nilai, empati dan keprihatinan sosial yang dihayati dan diamalkan oleh warganya,” katanya.

PAPK III katanya menjadi medium terbaik untuk menggalakkan penglibatan para sarjana dalam meneroka persoalan-persoalan kemanusiaan dari pelbagai dimensi.

“Kajian-kajian tempatan yang dijalankan oleh warga UMS, khususnya yang menyentuh tentang budaya dan kepercayaan masyarakat Sabah, menyumbang secara signifikan bukan sahaja kepada pemahaman tempatan, tetapi juga kepada perbincangan global mengenai pluralisme dan kemanusiaan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang beroperasi dalam ekosistem masyarakat majmuk, UMS mempunyai tanggungjawab untuk menjadi pusat rujukan dalam pengajian kemanusiaan yang berteraskan lokaliti namun bersifat sejagat.

“Kita ingin melahirkan pelajar dan penyelidik yang bukan sekadar cemerlang secara akademik, tetapi mempunyai jati diri yang kukuh serta mampu berinteraksi secara harmoni dalam masyarakat dunia,” ujar beliau.

Mengangkat tema "Pemerkasaan Nilai Manusia", persidangan anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kerjasama Institut Pembangunan Kajian Sabah (IDS) itu melibatkan penyertaan peserta dalam kalangan ahli akademik, penyelidik mahupun pelajar dari dalam dan luar negara.

PAPK III menghimpunkan hampir 100 kertas kerja yang mewakili pelbagai bidang dan negara, meliputi tema-tema seperti kesusasteraan, linguistik, pendidikan bahasa, sejarah, budaya, kepercayaan, identiti dan masyarakat.

Hadir sama dalam acara perasmian Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Dekan PPIB, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali; dan Pengerusi Persidangan, Prof. Madya Dr. Saidatul Nornis Mahali.