Radio kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), UMSfm, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan siaran berkembar selama sejam bersama rakan industri studio satelit MediaLab Alliance Sdn. Bhd. di Subang Jaya.
Program siaran berkembar itu diadakan julung kalinya sempena sambutan ulang tahun penubuhan UMSfm yang ke-15 pada 1 Julai lalu, menerusi frekuensi 91.1fm di Kota Kinabalu dan turut distrim secara serentak melalui platform digital Facebook dan TikTok UMSfm.
Bertemakan “15 Tahun UMSfm: Menyatu Suara, Menjulang Ilmu”, rancangan khas tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara UMSfm dan MediaLab Alliance yang mencerminkan komitmen berterusan UMSfm untuk kekal relevan dalam era penyiaran digital.
Pengurus Stesen UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata inisiatif siaran berkembar itu bukan sahaja sebagai simbolik ulang tahun penubuhan radio tersebut tetapi bukti inovasi penyiaran boleh berlaku merentas geografi dan disiplin.
“Ini bukan sekadar pencapaian teknikal bagi sebuah radio kampus, tetapi juga satu langkah strategik dalam memperkukuhkan jaringan industri,” katanya.
Tambah Intan sambutan ulang tahun itu juga mencerminkan pencapaian baik UMSfm sepanjang 15 tahun dan menjadi titik tolak kepada evolusi masa depan penyiaran kampus dalam landskap media digital.
“Pendekatan ini merupakan satu bentuk kolaborasi inovatif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dan lazimnya diterapkan dalam bidang seperti bandar pintar, penjagaan kesihatan, kelestarian, serta tidak ketinggalan dalam sektor pendidikan.
“Ia juga bersesuaian dengan status UMSfm sebagai ‘Living Lab’ sejak April 2023,’’ katanya.
Siaran khas tersebut turut menemu bual Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor bersama Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Profesor Dr. Asmady Idris di konti utama UMSfm.
Manakal studio satelit UMSfm di Subang Jaya dihadiri oleh Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Fairuz Mohd Radzi serta Pengarah Urusan MediaLab Alliance, Ts. Azhar Abdul Latiff.
UMSfm yang mula bersiaran sejak tahun 2010, kini dikendalikan oleh pasukan penerbit rancangan dan teknikal yang terdiri daripada Feria Lee, Norhazimah Radik, Khairil Fitri Abd. Karim dan Penolong Jurutera, Abd. Rahman Yusman Yusuf.