Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) mewujudkan task force komuniti di Kampung Melangkap Baru sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, Task Force Bencana Alam Melangkap yang ditubuhkan adalah merupakan pasukan sukarelawan komuniti yang pertama di Sabah.
Katanya pasukan tersebut dibentuk untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta respon awal komuniti terhadap bencana alam.
“Penubuhannya adalah hasil kerjasama strategik antara NDRC UMS, Pejabat Daerah Kota Belud, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Badan-badan anggota keselamatan serta lima buah kampung di kawasan Melangkap.
“Antaranya adalah Kampung Melangkap Baru, Kampung Melangkap Tiong, Kampung Melangkap Kapa, Kampung Melangkap Tomis dan Kampung Melangkap Noriou,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Task Force Bencana Alam Melangkap dan Perasmian Bilik Operasi Makmal Hidup Bencana Alam melangkap (MaHBAM) di Dewan Polumpung, Kampung Melangkap Baru, baru-baru ini.
Tambah Carolyn, perasmian MaHBAM akan menjadi pusat focal point rujukan dalam pemantauan, komunikasi kecemasan dan penyelarasan semasa insiden bencana.
“Antara pencapaian signifikan yang diumumkan dalam majlis ini adalah pemasangan sistem sensor amaran awal banjir di Polumpung Melangkap View Camp Site, iaitu hasil kolaborasi antara MaHBAM, komuniti dan sebuah lagi makmal hidup UMS, Impact Sense.
“Sistem ini diharap mampu memberikan amaran awal kepada penduduk bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat banjir,” jelasnya.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri, Mohd Rizan Abran.
Menurut Mohd Rizan, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited menyokong usaha Pengurangan Risiko Bencana (DRR) di peringkat akar umbi dengan menggalakkan inisiatif berasaskan komuniti dan teknologi tempatan.
“Task Force Bencana Alam Melangkap serta Bilik Operasi MaHBAM ini adalah contoh terbaik pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti yang inklusif, tangkas dan mampan.
“Kerajaan Negeri berharap model ini dapat diperluaskan ke kawasan-kawasan lain yang berisiko tinggi di Sabah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ini, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud; Puan Winnie Anggon, Asisten Superintendan Polis (ASP) Balai Polis Kota Belud; ASP Aziah Lambun, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Belud, Lt. (PA) Paulina Francis dan Ketua Kampung Melangkap Baru merangkap Penasihat Komuniti Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM), Encik Somboton Gunsalahon.