Kejohanan Sukan Tahunan Malaysia-Thailand (MASTHAI) 2025 Edisi ke-15 yang mempertemukan siswa-siswi dari kedua-dua negara mampu menjadi platform dalam memupuk semangat persahabatan dan perpaduan dalam persaingan acara sukan.
Kejohanan sukan tersebut yang menghimpunkan lebih 300 atlet, jurulatih dan pegawai pengurusan sukan kedua-dua negara mempertandingkan lima acara, iaitu badminton, bola tampar, sepak takraw, petanque, dan golf, dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penganjuran sukan tersebut merupakan manifestasi terhadap ikatan dua hala yang erat antara rakyat dan institusi pendidikan kedua-dua negara.
“Kejohanan Sukan MASTHAI ini turut berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan diplomatik, meluaskan jaringan pendidikan serta memupuk semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan mahasiswa kita.
“Ini kerana sukan mampu menyatukan kita tanpa mengira latar belakang, bahasa atau budaya.
“Melalui sukan juga, kita belajar nilai disiplin, kerjasama, ketabahan serta rasa hormat terhadap lawan,” katanya dalam ucapan sempena perasmian penutupan kejohanan sukan tersebut di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sukan, pendidikan tinggi dan pembangunan mahasiswa.
“Program seperti ini adalah contoh terbaik bagaimana hubungan antara dua negara dapat diterjemahkan melalui aktiviti pelajar yang bermakna serta inklusif.
“Semoga hubungan erat antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand terus berkembang, bukan sahaja melalui sukan, tetapi juga menerusi kolaborasi akademik, program pertukaran pelajar dan projek penyelidikan bersama,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Suthon Chaupuk; dan Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Hanafiah Ayub.