Menteri KPT Rasmi Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi UMS

Cetak

 

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti yang bertemakan “UMS Next30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia” di sini.

Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh warga UMS agar terus memperkukuh kesepaduan sebagai satu pasukan serta terus menyalurkan tenaga dan kepakaran kepada masyarakat sekali gus memartabatkan universiti.

“UMS ditubuhkan sebagai sebuah universiti strategik untuk Sabah dan negara.

"Dalam tempoh 30 tahun, lebih 100 ribu graduan telah dilahirkan dan ramai antara mereka telah menyumbang dalam pelbagai sektor penting, termasuk sebagai alumni yang kini kembali berbakti di UMS,” katanya.

Menurut beliau, UMS telah berkembang sebagai gedung ilmu dan ‘living lab’ Borneo, dengan kekuatan unik dalam bidang biodiversiti, maritim dan perikanan yang menjadikannya pusat rujukan antarabangsa serta khazanah ilmu rantau ini.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat dengan kerajaan, kepimpinan yang berpasukan dan kerjasama yang saling melengkapi demi memastikan kejayaan UMS pada masa hadapan.

“Ketua dan pasukan perlu bergerak seiring, mengelakkan konflik dalaman yang hanya akan merugikan institusi. Kejayaan hanya dapat dicapai melalui kesatuan fikiran dan tindakan,” ujarnya.

Tambah beliau, kursus dan program akademik UMS juga perlu sentiasa disemak agar kekal relevan, di samping menjaga reputasi universiti serta merancang masa depan berdasarkan keutamaan dan sumber sedia ada.

Program selama dua hari itu disertai hampir 200 barisan kepimpinan tertinggi universiti sebagai wadah perkongsian visi, hala tuju dan strategi UMS dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi pada era mendatang.

Hadir sama Pengerusi Lembaga UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj. Mansor.