Bapa Sumber Kejayaan, Kristie Terima Pingat Emas Canselor UMS

Cetak

 

Keyakinan, disiplin serta dorongan seorang bapa menjadi kunci kejayaan graduan muda, Kristie Chiang Shen Shuet, apabila beliau diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen ke-27 UMS.

Kristie yang berusia 24 tahun dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, berkata bapa telah menjadi sumber kejayaan dan inspirasi sejak dari kecil lagi.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan tanpa syarat daripada keluarga saya, dan tentu sahaja daripada semua pensyarah, fakulti serta universiti kerana memberikan saya peluang ini.

“Sejak kecil, sumber inspirasi saya ialah bapa saya kerana beliau sentiasa mengingatkan bahawa pendidikan itu sangat penting,” katanya.

“Ayah tidak pernah memaksa, tetapi sentiasa mendorong saya untuk berusaha, mengetahui apa yang saya perlukan dan apa yang saya mahukan untuk masa depan.

“Dorongan serta nasihat beliau inilah yang menjadi sumber kekuatan dan kejayaan saya hari ini,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik tersebut memilih kursus Sains Data ketika melanjutkan pengajian di UMS kerana bidang itu selari dengan perkembangan pesat teknologi semasa, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

Minatnya yang mendalam terhadap matematik dan statistik turut menguatkan tekad untuk mendalami bidang berteraskan data tersebut.

Kristie juga mengakui tidak terlepas daripada cabaran terutama dalam penguasaan pengekodan yang memerlukan kemahiran membina perisian dari back-end hingga front-end.

Tanpa asas coding dalam data science pada peringkat awal, beliau terpaksa belajar sendiri secara intensif untuk memahami proses pembangunan perisian dan aplikasi berkaitan pembelajaran mesin.

“Setiap cabaran yang dilalui menjadi bukti bahawa usaha konsisten dan disiplin adalah kunci untuk mengekalkan momentum dalam bidang teknikal seperti sains data,” ujarnya.

Kristie turut menzahirkan hasrat untuk kembali bekerja di Great Eastern, Kuala Lumpur, tempat beliau menjalani latihan industri, selain menyambung pengajian peringkat sarjana secara separuh masa dalam bidang Sains Komputer di UMS.

Kejayaan Kristie menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa usaha gigih, sokongan keluarga, dan keyakinan diri mampu membuka jalan kepada kejayaan luar biasa.

 

(artikel disediakan oleh Norafiqa Samil, Graduan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)