UMS tubuhkan Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan di Keningau

Cetak

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menubuhkan Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan (AFEEDRI) di EcoFarm UMS sebagai langkah strategik memperkukuh penyelidikan dan pembangunan dalam sektor makanan ternakan serta pertanian lestari di Sabah.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata penubuhan AFEEDRI merupakan satu lonjakan penting dalam memajukan kajian makanan ternakan secara saintifik, sistematik dan mampan, seterusnya menyokong agenda keselamatan makanan negeri.

Menurut beliau, pusat tersebut bukan sekadar penambahan fasiliti universiti, sebaliknya manifestasi komitmen UMS terhadap pembangunan teknologi hijau dan inovasi pertanian yang menyeluruh bagi manfaat komuniti peladang serta industri berkaitan.

“AFEEDRI akan menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan model pertanian lestari, selain menyediakan platform pembelajaran praktikal untuk pelajar dan penyelidik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian AFEEDRI dan Pelancaran Hari Industri EcoFarm UMS yang berlangsung di Eco Farm UMS Apin-Apin, di sini, pada Jumaat.

Tambah Kasim, pusat tersebut turut berperanan mengadaptasi teknologi terkini  seperti IoT (Internet of things) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam amalan pertanian pintar bagi menghasilkan pertanian berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Selain menjadi ‘makmal hidup’, AFEEDRI juga menghubungkan akademia, industri dan komuniti melalui aktiviti kolaboratif yang merapatkan jurang antara penyelidikan dan keperluan sebenar industri ternakan.

“Pusat ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem EcoFarm yang berfungsi sebagai ladang pembelajaran, pusat rujukan industri dan tapak demonstrasi teknologi pertanian moden.

“Ia turut menyumbang kepada usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang berupaya memenuhi keperluan industri ternakan serta menyokong pertumbuhan sektor agroteknologi negeri,” ujarnya.

Pada majlis sama, UMS turut melancarkan Hari Industri EcoFarm sebagai platform jaringan antara pengusaha industri, komuniti tani, penyelidik, pelajar serta agensi kerajaan dan swasta.

Hari industri tersebut menyediakan pameran teknologi, perkongsian kepakaran dan paparan inovasi penyelidikan UMS yang berpotensi dikomersialkan, sekali gus membuka peluang kerjasama strategik antara akademia dan industri.

Menurut Kasim, penganjuran tersebut juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat serta memperkukuh jaminan sekuriti makanan negeri melalui penyelidikan yang lebih terarah.

Hadir sama Pengarah, Pusat Pengurusan EcoFarm, Profesor Madya Ts. Dr. Januarius Gobilik dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.