Hari Industri Ruang Siswa Dalami Dunia Kerjaya Dan Industri

Cetak

JUMAAT, 2 JUN – Program Hari Industri anjuran Kelab Psikologi Industri dan Organisasi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini mampu menjadi platform khusus buat siswa-siswi UMS mendalami peluang-peluang kerjaya dan kepelbagaian industri yang terdapat di negeri ini.

Pensyarah Kanan FPP, Dr. Ismail Maakip ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, program yang dianjurkan buat julung kalinya itu adalah wajar bagi merapatkan lagi jurang di antara dunia akademik dan dunia industri.

“Ini mampu memberi pendedahan secara praktikal buat pelajar, dan pengalaman yang mereka peroleh ini penting agar mereka mampu bersedia untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan masa kini dan lebih berdaya saing,” katanya.

Ujar beliau, para pelajar perlu memanfaatkan peluang kehadiran syarikat daripada pelbagai bidang industri ini dengan sebaiknya untuk mendapatkan pendedahan berkaitan ruang kerjaya dalam sesebuah industri, dan menimba ilmu pengetahuan berkaitan perkembangan kerjaya melalui slot perkongsian kerjaya daripada Maybank.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Seri Angkasa dan Maybank ini menyaksikan penyertaan slot pameran kerjaya daripada pelbagai syarikat antaranya Hotel Le’ Meridien, EZ Money Express, Borenos Fried Chicken,  Amazing Borneo, Great Eastern, Prudential Insurance, G & A Corporate Services dan Maybank.