30 Pelajar KKTM Sertai Bengkel Penulisan

Cetak

SELASA, 21 NOVEMBER - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini  menganjurkan Bengkel Penulisan di Dewan Mini Karisma Tun Mustapha.

Pengarah program, Maslinda Firdaus berkata, seramai 30 peserta menyertai bengkel penulisan itu yang terdiri daripada ahli Majlis Sekretariat KKTM.

“Objektif bengkel penulisan ini adalah untuk meningkatkan kualiti penulisan surat menyurat dalam kalangan mahasiswa.

“Ia juga bagi memberi pendedahan tentang pentingnya penulisan format surat rasmi serta mempelajari teknik penulisan laporan dan kertas kerja untuk memudahkan urusan permohonan jika ingin mengadakan sesuatu program,” katanya dalam satu kenyataan.

Maslinda berkata, adalah menjadi harapannya agar para peserta dapat mengaplikasi teknik penulisan yang dipelajari dengan menghasilkan penulisan surat rasmi dan kertas kerja yang lebih baik dan berkesan selepas ini.

“Setelah mendapat ilmu penulisan dalam bengkel ini, besar harapan saya agar lebih banyak program akan dicadangkan dan dapat dilaksanakan oleh para peserta untuk kolej kediaman KKTM, ” tambahnya.

Bengkel penulisan itu telah dikendalikan Penolong Pendaftar Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Kim Asbiyallah Shah Akim.

Melalui taklimatnya beliau telah memberikan tips-tips penting untuk menulis surat rasmi dan kertas kerja dengan format yang betul dan tepat.

Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membantu mereka lebih memahami konsep penulisan surat rasmi dan kertas kerja yang tepat, peserta dikehendaki membuat pembentangan bagi melihat keberkesanan selepas mengikuti bengkel tersebut.