Seramai 4,545 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2024/2025 yang mula mendaftar pada 28 hingga 29 September 2024.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor, jumlah tersebut melibatkan 3,640 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 701 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 204 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 3,286 (72.3%) pelajar dari Sabah, 718 (15.8%) dari Semenanjung Malaysia, 470 (10.3%) dari Sarawak, dan 56 (1.2%) dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“15 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari lima buah negara, iaitu Negara China, Jepun, Brunei, Pakistan dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, hari ini.

Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,468 orang atau 32 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,077 orang atau 68 peratus merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,579 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 9 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), 11 atlet sukan, dan 2 orang asli.

“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim ketika melakukan tinjauan di kolej-kolej kediaman memaklumkan, kemudahan-kemudahan yang terdapat di kolej kediaman termasuk bekalan air pada tahap yang baik dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.

“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan kesesakan pada hari pendaftaran.

“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” ujar beliau.

 

Sembilan pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai negara menyahut cabaran untuk mendaki Gunung Kinabalu menerusi program “Pengantarabangsaan Melalui Warisan 2024: Perjalanan Antarabangsa Ke Puncak” baru-baru ini.

Sembilan pelajar antarabangsa tersebut merupakan pelajar dari pelbagai negara, antaranya dari Jepun, Timor Leste, Bangladesh, Yaman, Pakistan, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Indonesia.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, program anjuran Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) bersempena dengan sambutan ulang tahun UMS ke-30 tahun ini adalah inisiatif dalam mempromosikan UMS khususnya, dan negeri Sabah kepada pelajar antarabangsa.

“Pendakian Gunung Kinabalu oleh pelajar-pelajar antarabangsa ini adalah bagi memperkenalkan UMS dan negeri Sabah di mata dunia, bahawa negeri ini memiliki banyak khazanah yang perlu diterokai bukan hanya dimanfaatkan untuk pengajaran dan pembelajaran tetapi perlu dialami dan dipelopori.

“Kita telah memilih sembilan orang pelajar antarabangsa disebabkan UMS merupakan universiti kesembilan daripada 20 universiti awam di Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan acara pelepasan ekspedisi para pelajar di Foyer Bangunan Canselor, UMS.

Menurut beliau, misi pendakian ini menunjukkan bahawa kepimpinan UMS prihatin terhadap kebajikan dan keperluan pendedahan kepada pelajar antarabangsa supaya mereka juga diberi peluang dan kesempatan untuk menghayati keindahan alam semula jadi yang ada di Sabah.

Terdahulu, Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din memaklumkan para peserta bersemangat dan telah membuat persiapan rapi dalam menjayakan ekspedisi tersebut.

“Mereka menawarkan diri untuk menyertai tanpa sebarang paksaan kerana mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

“Para peserta dipilih mengikut aspek fizikal dan mental, dan mereka telah berlatih beberapa minggu sebagai persediaan untuk ekspedisi ini,” ujarnya.

Hadir sama pada acara pelepasan tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terima sumbangan Mesin Rehabilitasi (Mesin Painbot) bernilai RM380,000 daripada Syarikat Jetama Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, mesin tersebut bukan sekadar alat perubatan, tapi satu bentuk sokongan dan harapan kepada pesakit yang bergantung kepada rawatan inovatif untuk mengatasi kesakitan yang dialami.

“Sejak diperkenalkan di Hospital UMS pada bulan Disember 2023, Mesin PainBot telah digunakan sebanyak 627 kali untuk pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Rawatan Rehabilitasi HUMS.

“Ini adalah satu pencapaian signifikan yang menunjukkan penerimaan positif dan keberkesanan mesin ini dalam pengurusan kesakitan.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, mesin ini berperanan mempercepatkan proses pemulihan pesakit dan membantu menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Selain daripada mengurangkan masa pemulihan, Mesin PainBot membantu mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit yang sememangnya meninggalkan kesan sampingan jangka panjang.

“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Jetama Sdn. Bhd. atas sumbangan yang sangat bermakna ini,” katanya.

Kasim berharap kerjasama ini akan menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat untuk menyokong usaha memajukan sektor kesihatan di Sabah dan Malaysia secara amnya.

Kasim menyempurnakan gimik penyerahan Mesih Painbot yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jetama Sdn. Bhd, Datuk Yussof Abd Manan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn. Bhd, Ahmad Naim Uddang berkata, Mesin Painbot yang diserahkan kepada HUMS merupakan peralatan terkini dalam bidang rawatan rehabilitasi yang pertama, bukan sahaja di Sabah, malahan di seluruh kepulauan Borneo.

Katanya Mesin Painbot tersebut dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI yang khusus untuk rehabilitasi pesakit.

“Diharapkan juga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu tenaga pengajar serta pelajar-pelajar secara khususnya dan UMS secara amnya untuk meningkatkan lagi pengetahuan serta kemahiran setara dengan peningkatan penggunaan teknologi baru ini.

Jetama Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah yang berperanan pemangkin ekonomi dan membantu kerajaan membangunkan sosioekonomi di Sabah.

Syarikat KTS Plantation Sdn Bhd (KTSP) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) buat kali kedua dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperkukuh kerjasama pintar dalam pengurusan hutan secara lestari.

Kerjasama pintar kedua-dua pihak menerusi MoA berkenaan dimulakan selepas penubuhan kerusi akademik oleh KTSP di bawah nama Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS.

Pengarah KTSP Diana Lau Kor Ping berkata, penubuhan kerusi akademik di UMS selaras dengan dasar hutan negeri dan visi KTSP untuk mengurus Unit Pengurusan Hutan (FMU) 19B Segaliud Lokan di Sandakan secara lestari.

Katanya, antara fokus kajian Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari adalah pengenalan kepada teknologi penderiaan jauh dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di peringkat landskap untuk meningkatkan perancangan hutan sedia ada.

Menurutnya, usaha itu juga melibatkan pemulihan hutan yang menjadi komponen utama dalam penyelidikan.

Pada masa sama, pihaknya menyifatkan bidang penyelidikan berkenaan adalah kritikal untuk mencapai objektif jangka panjang pengurusan hutan lestari di Hutan Simpanan Segaliud Lokan.

"Melalui sinergi antara institusi penyelidikan dan industri perhutanan, yang diwakili oleh UMS dan KTSP, kita yakin ini adalah strategi inovatif dalam memanfaatkan potensi impak yang kompetitif daripada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani MoA UMS-KTSP di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah KTSP Sdn Bhd Ting Jack Hui.

Pada majlis itu, UMS diwakili oleh Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar manakala, KTSP diwakili oleh Ting dan Pengarah KTSP Wong Kee Mee.

Dalam pada itu katanya, KTSP sebelum ini pernah menerima Anugerah Kepimpinan dalam Kelestarian MTCC pada 2019 dan Anugerah SFM MTC pada 2021.

"Kami percaya, kerjasama penyelidikan pintar antara Jabatan Perhutanan Sabah, UMS dan KTSP sejak 2016 menjadi salah satu faktor utama dalam mencapai anugerah berprestij ini.

"Pihak KTSP turut yakin hasil daripada program penyelidikan di bawah Kursi Pengurusan Hutan Asli Lestari UMS akan meningkatkan prestasi Pengurusan Hutan Lestari kami dalam mengurus hutan semula jadi ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Kasim dalam ucapannya berkata, MoA yang dimeterai pada majlis itu adalah simbol visi, dedikasi, dan tekad untuk memajukan matlamat bersama dalam penyelidikan dan pembangunan yang menyokong pengurusan hutan lestari.

Menurutnya, kerjasama itu juga akan memanfaatkan dan menggabungkan keupayaan akademik dan penyelidikan UMS dengan kekuatan keusahawanan serta kewangan KTSP dalam menghasilkan hasil penyelidikan yang akan memberi manfaat kepada sektor perhutanan.

"Kerjasama ini adalah bukti kekuatan kolaborasi antara pihak akademi dan industri.

"Ia menekankan kepentingan kerjasama untuk merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan aplikasi secara praktikal," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Indra Purwandita H. Sunjoto, dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPT UMS Dr. Wilson Wong Vui Chiong.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu memudahkan pelajar baharu khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendaftar bagi sesi kemasukan 2024/2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, inisiatif tersebut termasuklah kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

“Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 juga diteruskan bagi membantu anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian di UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasim turut memaklumkan, sepanjang proses persediaan sebelum sesi pendaftaran, pelbagai hebahan maklumat telah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bagi memastikan pelajar yang mempunyai masalah kewangan dapat menghubungi talian bantuan JHEP dengan segera.

“Sepanjang Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu UMS yang bermula 30 September nanti dijalankan, pelajar akan didedahkan dengan maklumat berkaitan permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya.

“Satu slot khusus bersama wakil dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga disediakan bagi memudahkan proses permohonan pelajar,” katanya.

Justeru itu, beliau berpesan agar para pelajar baharu yang akan mendaftar ke UMS tidak perlu gusar memikirkan soal kewangan kerana pelbagai inisiatif telah disediakan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelak.

“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan sebagai menunjukkan kesungguhan pihak UMS yang mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.

“Ini sekali gus menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar yang kurang berkemampuan serta menangguhkan yuran pendaftaran universiti bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar baharu ke universiti,” ujar beliau.

UMS akan mula menerima kemasukan pelajar baharu pada dua hari sesi pendaftaran yang bermula 28 September ini di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan akan mengadakan MSM selama seminggu bermula 30 September. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung di talian hotline HEP 088-320060.