KHAMIS, 4 FEBRUARI – Pemandu merupakan salah satu entiti penting dalam organisasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut memainkan peranan penting dalam membawa imej baik universiti.

Demikian menurut Ketua Jabatan Canselori, Darwis Awang dalam satu acara taklimat kepada para pemandu UMS di Galeri Majlis pagi tadi.

Menurut beliau, tanggung jawab seorang pemandu tidak hanya memandu kenderaan universiti semata-mata, tetapi mereka turut berperanan sebagai ejen dalam mempamerkan imej baik UMS khususnya kepada golongan VVIP atau tetamu kehormat universiti.

“Pemandu adalah individu pertama yang akan bertemu dengan tetamu kehormat UMS apabila mereka menjemput tetamu tersebut di lapangan terbang dan sebagainya, justeru mengekalkan imej yang baik adalah amat penting bagi mengelakkan persepsi tidak baik tetamu tersebut terhadap kakitangan UMS.

“Menjaga imej bukan setakat penampilan diri, tetapi turut mengambil kira sikap pemanduan serta cara layanan pemandu tersebut,” katanya.

Mengambil contoh menjawab telefon ketika memandu, perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana boleh menimbulkan persepsi kurang baik kepada pemandu, sekali gus mencalarkan imej keseluruhan kumpulan pemandu yang lain.

Beliau turut mengingatkan para pemandu agar bersikap baik terhadap pelajar yang menjadi penumpang setiap hari, selain menegaskan universiti tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemandu yang melakukan perkara tidak baik kepada pelajar.

“Para pemandu perlu melakukan persiapan fizikal sebelum memulakan tugas, serta sentiasa menanam semangat dan keseronokan untuk bekerja bersama UMS,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi perkongsian ilmu “Pemandu Senior” oleh Abdul Ghani, serta taklimat etiket kerja dan peranan pemandu dalam keselamatan kenderaan UMS yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Syahrul Hazizi Asmat dan Darwis. -MA-

Foto: Ernest Berinus

RABU, 03 Januari - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan para kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan universiti diingatkan untuk memperbaharui pelekat kenderaan masing-masing bagi tahun 2016.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan UMS yang kini sedang giat menjalankan pemeriksaan pelekat kenderaan di pintu utama universiti bermula 1 Februari lalu.

Permohonan pelekat kenderaan boleh dibuat di pejabat bahagian itu dengan kadar bayaran RM1.00 untuk setiap pelekat.

Para pemohon juga dinasihatkan untuk mengemukakan salinan kad pengenalan dan kad pekerja untuk permohonan baharu, manakala salinan lesen memandu dan cukai jalan diperlukan untuk permohonan lanjutan.

Sebarang pertanyaan berhubung permohonan pelekat kenderaan boleh menghubungi pejabat Bahagian Keselamatan UMS di talian sambungan 613207.

SELASA, 02 FEBRUARI – Acara Olahraga Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 membutirkan satu lagi emas buat kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Pingat emas tersebut berjaya diperoleh menerusi Ana Lydia Tinggi dalam acara lompat jauh wanita.

Dengan jarak lompatan 5.10 meter, rekod lompatan tersebut jauh meninggalkan pesaing beliau, Ang Xiao Wen dari Institut Pendidikan Guru Perlis yang mencatat jarak 4.96 meter bagi pingat perak.

Pingat gangsa diperoleh Lily Hartini Ahmad Zamri dari kontinjen Universiti Teknologi MARA dengan catatan 4.89 meter.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan jumlah pingat UMS sehingga kini meningkat kepada lima emas, tiga perak dan tujuh gangsa.

Pingat emas sebelum ini diperoleh daripada acara taekwondo yang menyumbang dua emas, pencak silat dan karate-do masing-masing menyumbang satu pingat emas.

UMS kini hanya memerlukan satu lagi pingat emas bagi mencapai enam pingat emas yang disasarkan pada SUKIPT yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih, Pusat Sukan

SELASA, 02 FEBRUARI – Seramai 73 pelajar pascasiswazah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membentangkan hasil kajian pada Seminar Pelajar Pascasiswazah Peringkat Fakulti baru-baru ini.

Seminar dua hari yang berlangsung di Kompleks Sains dan Teknologi serta Kompleks Perhutanan itu melibatkan pelajar Sarjana, Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah yang membentangkan Usul Kajian, Pra-Viva, Laporan Kemajuan Wajib dan Laporan Kajian Semasa masing-masing.

Menurut pengerusi seminar, Dr Maria Lourdes T. Lardizabal, tujuan utama seminar ini dianjurkan adalah untuk memberi ruang kepada para pelajar pascasiswazah membentang kemajuan dan hasil penyelidikan mereka.

“Selain itu, seminar ini mampu menjadi medium untuk berkongsi pengalaman dan pendapat bagi mengatasi sebarang masalah dengan baik tanpa menjejaskan prestasi pengajian pelajar pascasiswazah di peringkat fakulti.

“Seminar ini juga menjadi ruang kepada para pelajar untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta dalam ucapan perasmian yang dibacakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik dan Alumni) FSSA, Prof. Madya Dr. Saafie Salleh berkata, seminar itu diharap dapat menyumbang ilmu dan manfaat kepada semua pihak terutama para pelajar pascasiswazah dalam mempersiapkan diri menangani permasalahan kritikal yang dihadapi oleh dunia.

“Dengan adanya seminar sebegini, FSSA dapat menyumbang usaha dalam meningkatkan kredibiliti dan kualiti universiti di samping penambahbaikan dalam semua aspek bidang yang dikaji,” ujar beliau.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

ISNIN, 1 FEBRUARI – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah berjaya menambah satu lagi pingat emas dalam kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi  (SUKIPT) 2016 hari ini.

Pingat emas tersebut disumbang menerusi acara Karate Do kategori Kata Wanita berpasukan.

Pasukan Karate-Do wanita UMS yang terdiri daripada Nur Syahirah Bryanna Gomes, Nyuk Yin Tseu dan Velora Jessica Peter mempamerkan aksi hebat dalam perlawanan akhir, sekali gus berjaya menundukkan pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kejayaan terbaru ini sekali gus meletakkan UMS di tempat keenam dalam senarai pungutan pingat, dengan memperoleh empat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Berbaki empat hari lagi, UMS memerlukan dua emas lagi bagi mencapai enam emas yang disasarkan. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih, Pusat Sukan UMS