Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science menerima peralatan-peralatan Makerspace bernilai RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meningkatkan daya saing inovasi dan budaya mencipta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, sumbangan ini merangkumi pelbagai jenis peralatan Makerspace iaitu komputer, pencetak 3D, Smart TV, pemotong dan pengukir laser, set Arduino dan sebagainya.

“YIM melalui inisiatif pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) bermatlamat sebagai hab perkongsian pengetahuan dan kemahiran.

“Ia termasuklah pengalaman praktikal melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat beliau bersama pegawai-pegawai YIM ke Pejabat Naib Canselor bagi mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor baru-baru ini.

Sharmila juga berharap sumbangan itu dapat memberikan manfaat secara menyeluruh terutama kepada semua warga UMS.

“Saya percaya dengan potensi besar masyarakat negeri Sabah untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau inovasi melalui kemudahan atau akses kepada peralatan-peralatan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kasim dalam pertemuan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada YIM atas sumbangan yang telah diberikan.

“UMS amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh YIM.

“Ini adalah sumbangan kedua yang diberikan YIM kepada U-Science, yang sebelum ini turut menyumbangkan peranti pintar.

“Saya berharap pelajar-pelajar UMS mahupun komuniti di sekitar UMS dapat mengambil peluang serta memanfaatkan dengan baik peralatan Makerspace ini,” katanya.

Komitmen YIM dalam menyokong U-Science UMS melalui sumbangan peralatan Makerspace, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua organisasi inovatif ini dalam memastikan daya kreativiti dan penerokaan terus berkembang di Sabah.

 

Program Youth Leadership Summit (YLS) 2023 anjuran Kelab YOSH Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menyemai jiwa kepimpinan pelajar baharu di UMS.

Menurut Pengarah Program YLS 2023, Ahmad Fauzi Jamaluddin, salah satu yang menarik tentang program itu adalah peserta dilatih untuk memimpin perbincangan dan mengemukakan idea dalam kumpulan.

“Mereka diajar bagaimana merancang program-program di bawah bidang minat masing-masing yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mereka turut diberikan peluang untuk memilih antara dua fokus utama yang dijelaskan oleh Kelab YOSH UMS, iaitu Bahagian Kesukarelawanan dan Pendidikan,” jelasnya.

Ahmad berkata, peserta diberi kebebasan untuk memilih bidang fokus yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka untuk mengembangkan kreativiti, kemahiran berkomunikasi, dan memberi tumpuan kepada memupuk jati diri dan mengasah kemahiran kepimpinan para peserta.

“Ia melalui pelbagai aktiviti, bengkel, dan sesi pembentangan oleh pembicara berpengalaman, peserta dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan, kerjasama pasukan, penyelesaian masalah, dan komunikasi,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka mengadakan lawatan ke “Annur Alternative School” Kampung Abab, berhampiran UMS untuk melatih mahasiswa berkomunikasi khususnya dengan masyarakat setempat.

“Antara aktiviti yang dilakukan adalah “Projek 3M”, yang mana para pelajar akan mengajar anak-anak daripada golongan asnaf untuk membaca, mengira, dan menulis,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta program tersebut, Farah Nabiilah Izzati, program itu memberi pengalaman yang sangat tidak ternilai melalui aktiviti yang memberi impak positif pada sahsiah dan insaniah diri.

“Melalui program ini juga, saya dapat memupuk lagi bakat kepimpinan sebagai nilai tambah dalam diri saya, sekali gus mampu berkenalan dengan rakan sekeliling serta menjadikan diri lebih peka tentang keadaan masyarakat sekeliling,” katanya.

Seramai 30 orang peserta terdiri daripada pelaja baharu UMS yang mewakili pelbagai latar belakang bidang pengajian di UMS telah menyertai program YLS selama dua hari di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

Pada hari terakhir program, turut berlangsung majlis penutupan program yang dirasmikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMS selaku penasihat II Kelab YOSH UMS, Dr. Razak Mohd Ali Lee.

Lebih 150 ahli profesional, pakar dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia telah menyertai simposium serantau pertama dalam bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku (SBCC) mulai hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini.

Program SBCC yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama oleh UNICEF Malaysia dan tiga universiti awam terkemuka iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Wakil UNICEF Malaysia dan Wakil Khas Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, simposium ini mengumpulkan pengamal SBCC untuk berkongsi amalan terbaik, meneroka peluang dan membangunkan penyelesaian mampan bersama komuniti.

"Kami berharap dapat memperdalam perkongsian kami untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk setiap kanak-kanak di rantau ini. 

"Penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi oleh generasi hari ini berpunca daripada norma dan tingkah laku sosial.

"Berpandukan mantra ‘nothing about us, without us’, strategi perubahan sosial dan tingkah laku mempunyai potensi untuk memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang melindungi hak mereka, membangunkan komuniti dan menggalakkan daya tahan, “ katanya.

Majlis perasmian program yang bertemakan "SBCC di Asia Tenggara dan Pasifik Selatan: Membuka Potensinya untuk Pembangunan dan Daya Tahan Komuniti” ini disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor.

Beliau menambah, simposium yang berlangsung selama dua hari ini akan menampilkan 17 program yang merangkumi ucaptama, sesi pleno, pembentangan lisan, zon pengalaman, forum, sandbox, sesi meja bulat selari dan majlis penutup.

“Selain itu, simposium ini turut menampilkan 35 orang penceramah dari tujuh negara iaitu Malaysia, Vietnam, Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan New Zealand.

“Antara penceramah yang terkenal adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan personaliti media, Kamarul Bahrin Haron.

“Ketiga-tiga penceramah tersebut merupakan ahli panel untuk sesi plenari bertajuk "Kepelbagaian Suara, Perkongsian Wawasan: Strategi Kolaboratif SBCC", yang dijadualkan pada hari pertama simposium,“ jelasnya.

Menurut Robert Gass, Simposium Serantau SBCC Asia Pasifik 2023 mempunyai matlamat untuk membuka peluang pelaburan SBCC di rantau ini, dan mengukuhkan rangkaian SBCC bersama pelbagai pihak berkepentingan, rakan kongsi strategik dan pemain utama di rantau ini bagi menghasilkan pembangunan mampan.

Sementara itu, Pengarah Program UPM-UNICEF C4D, Dr Tham Jen Sern berkata, biarpun penglibatan tiga universiti awam dalam inisiatif SBCC ini mempunyai keistimewaan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian objektif, namun ketiga-tiga institusi ini mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan Malaysia.

“Kami bersama-sama berharap program SBCC dapat dapat memberi sinar, peluang dan harapan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) menganjurkan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa tersebut merupakan program tahunan yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Ia bermula pada tahun 2012 dan disambut pada setiap 21 Mac oleh 20 buah negara di seluruh dunia.

“Program tersebut bertujuan untuk menyedarkan seluruh masyarakat mengenai kepentingan perhutanan, pemeliharaan dan pemuliharaannya untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar,” katanya.

Kasim berkata, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat UMS kali pertama telah diadakan pada 22 Jun 2022 dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-2, anjuran FPT.

“Pada program kali ini, tema pilihan yang diambil adalah ‘Hutan dan Kesihatan, bertepatan dengan kehendak dan aspirasi rakyat terhadap peranan hutan serta kepentingan hutan yang memberi kita banyak manfaat kepada kesihatan kita.

“Oleh itu, sempena Hari Hutan Antarabangsa pada hari ini, kita menyasarkan untuk menanam sebanyak 200 pokok,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa, di sini, hari ini.

Tambah beliau, bagi mencapai sasaran UMS iaitu 200,000 pokok sehingga tahun 2025, beberapa aktiviti akan diteruskan.

“Pada hari ini, semua pelajar baharu tahun satu FPT seramai 160 akan menanam satu pokok satu pelajar dan akan dinamakan sebagai MYTREE.

“Di samping aktiviti menanam pokok, pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang 3 hari bermula hari ini antaranya Syarahan Perdana Profesor Adjung, Perkongsian Ilmu oleh Rakan Strategik dan aktiviti-aktiviti menarik yang melibatkan pelbagai peringkat umur,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UMS dan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA).

Turut hadir, Pengurus Besar SAFODA, Barul Razha Hj. Chuprat; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; CEO Jawala Plantation Industries Sdn. Bhd, Abdul Rahman Khan Hakim Khan; Pengurus Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan SAFODA, Fiona Evelyn Anthony dan Dekan FPT, Profesor Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

 

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mampu menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh asas perpaduan warga universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, ini kerana sambutan yang diadakan setiap tahun itu diraikan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan sirah kehidupan Baginda, termasuklah sejarah Piagam Madinah yang menjadi dasar bagi masyarakat Madinah pada masa pemerintahan Rasulullah.

“Sukacita saya ingin mengajak seluruh warga UMS untuk sama-sama menghayati intipati yang terkandung di dalam Piagam Madinah, iaitu suatu bentuk Perlembagaan Negara Islam Madinah yang mencerminkan prinsip-prinsip inklusif, setia bersama, dan keadilan.

“Piagam Madinah merupakan salah satu tonggak penting dalam sejarah awal Islam dan menunjukkan bagaimana masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam sebuah kerangka yang adil dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan tersebut di Pusat Islam, UMS baru-baru ini.

Kasim turut menzahirkan harapan agar program seumpama itu menjadi platform dalam mengukuhkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan warga UMS.

“Sesungguhnya ini mampu memangkin hubungan lebih erat sesama kita warga UMS yang cintakan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan selaras dengan slogan “Leading Towards Innovative Societies”,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kasim turut memaklumkan UMS melalui Pusat Islam telah dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah dan Ejen Kutipan Zakat serta Wakalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pelantikan ini telah memberikan manfaat yang amat besar kepada warga UMS tidak kira golongan pelajar mahupun kakitangan melalui pemberian pelbagai bantuan.

“Antara bantuan tersebut seperti elaun sara hidup, penyelesaian yuran pengajian, bantuan Ramadan, Aidilfitri dan sebagainya,” ujar beliau.

Terdahulu, sejumlah 29 kontinjen dari pelbagai Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian berhimpun di Dataran Dewan Canselor sebelum berarak menuju ke Pusat Islam.

Pada tahun ini, kontinjen Jabatan Bendahari mengekalkan kemenangan yang diraih tahun lalu apabila dinobat sebagai Johan bagi pertandingan Kontinjen Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,000.

Tempat kedua dimenangi kontinjen Jabatan Canselori, manakala kontinjen dari Pejabat Canselori meraih tempat ketiga.

Kedua-dua kontinjen masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM700 dan RM500 yang disampaikan Kasim.

Pada majlis yang sama, Kasim turut melancarkan Tabung Solidariti Palestin sebagai medium membolehkan warga universiti memberi sumbangan kepada bantuan kemanusiaan di Palestin yang kini berhadapan dengan konflik.