JUMAAT, 23 OGOS – Aktiviti fizikal mampu membantu untuk mengubah dan memperbaiki tingkah laku kanak-kanak yang tergolong dalam golongan Orang Kelainan Upaya Intelektual (OKUi)

Ini kerana aktiviti fizikal yang dijalankan bukan sahaja dapat meningkatkan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan, malah turut meningkatkan lagi inklusi sosial dalam kalangan golongan OKUi.

Demikian menurut Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Ismail Ibrahim ketika berucap pada Program Fitness Achiever For Intelecually Disabled (FAID) anjuran Pusat Pemulihan dan Kecergasan Fizikal (PFRC) FPP di Sekolah Kebangsaan Luyang, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Katanya melalui pembentukan modul-modul yang direka bentuk khas untuk golongan kanak-kanak OKUi,  aktiviti-aktiviti fizikal yang dijalankan membantu meningkatkan daya fokus, keyakinan diri dan disiplin peserta serta kemampuan untuk mendengar dan mengikuti arahan yang diberikan.

“Melalui modul-modul yang direka bentuk khas itu membolehkan golongan kanak-kanak kurang upaya itu mendapat peluang untuk menjalani program kecergasan, sukan dan rekreasi yang menyeronokkan bersesuaian dengan kemampuan fizikal dan mental mereka.

“Malah melalui modul tersebut mampu mewujudkan kesedaran dan mendidik ibu bapa atau penjaga mengenai anak-anak tersebut,” kata Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Tambah beliau, program tersebut turut menjadi satu platform untuk menerapkan kesedaran kecergasan fizikal serta meningkatkan persaingan secara sihat dalam kalangan OKUi, selain menyediakan peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk menunjukkan dan menampilkan kebolehan dan keupayaan mereka dalam bidang sukan.

“Dengan bertemakan “Bring Out the Joyful and Potential in You”, adalah diharapkan agar FAID ini boleh dijadikan wahana untuk merealisasikan hasrat UMS, Special Olympics Sabah dan seluruh rakyat negeri Sabah dalam memastikan usaha ke arah pembangunan sukan golongan OKUi mencapai matlamatnya.

“Saya juga percaya program ini akan menjadi pemangkin ke arah terbentuknya satu gerakan yang mana golongan istimewa ini bukan lagi dilihat sebagai satu beban, tetapi sebagai pelengkap kepada satu jentera besar yang mampu bergerak seiring dengan populasi umum dalam membantu membangunkan negara,” ujar beliau.

Program sehari itu melibatkan penyertaan murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi SK Luyang serta ibu bapa dan guru sekolah sebagai pendedahan terhadap permainan, sukan dan aktiviti rekreasi yang sesuai serta pendedahan mengenai jenis senaman yang khusus untuk kanak-kanak OKUi.

KHAMIS, 22 OGOS - Yang Dipertua Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), Dr. Amalina Abdullah memuji komitmen yang diberikan oleh ahli KESUMBA dalam menyemarakkan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta masyarakat.

Beliau yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra kelab tersebut baru-baru ini berkata setiap individu perlu ada matlamat hidup, dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan daripada Allah. S.W.T.

Beliau berkata setiap apa yang dilakukan perlu memberi manfaat kepada orang lain dan dalam masa yang sama mendapat ganjaran terbaik daripada Allah.

“Apa saja yang kita usahakan, kita niatkan agar ianya dapat membawa kita sama-sama bertemu di syurga Allah nanti. Itulah yang saya gunakan sebagai motivasi untuk menyumbang kepada masyarakat walau apapun latar belakang kerjaya kita.

“Tidak ada alasan bahawa jika kita bekerja, kita tidak ada masa. Kewujudan persatuan atau kelab di universiti ini adalah agar kita belajar bagaimana menyantuni masyarakat dalam ruang dan masa ketika kita mampu membantu,” katanya.

Pada majlis sama, Setiausaha Kehormat KESUMBA, Stella @ Nurul Martini Gontol turut memperkenalkan barisan jawatankuasa baharu beserta portfolio yang disandang, serta senarai aktiviti yang akan dijalankan oleh kelab tersebut pada tahun ini.  

Antaranya, lawatan pengantarabangsaan ke luar negara, Piala Kejohanan YDP, Hari Keluarga, Sayangi Pantai Kita dan ‘Car Booth Sale’. 

Terdahulu, jawatankuasa KESUMBA telah membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor, Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin di pejabatnya sebelum majlis ramah mesra tersebut yang berakhir dengan jamuan makan tengah hari.

KHAMIS, 20 OGOS – Jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin diri serta meningkatkan tahap pengurusan diri pada tahap tertinggi bagi menjaga nama baik pasukan PALAPES.

Panglima Latihan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman berkata, ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang tinggi dalam mendidik dan memberi latihan kepada anggota pegawai kadet PALAPES yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti.

“Adalah menjadi harapan markas latihan agar semua staf PALAPES UMS dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik berdasarkan arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan.

“Saya juga berharap agar semua anggota dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada ketua jurulatih dalam melaksanakan segala penugasan yang diberikan, serta memastikan segala penugasan dilaksanakan dengan sebaiknya dan segala masalah yang dihadapi perlu diatasi dengan bijaksana,” katanya.

Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman berkata demikian sempena lawatan beliau ke Markas PALAPES UMS baru-baru ini.  

Beliau turut berpesan agar setiap jurulatih PALAPES perlu mempunyai nilai berdisiplin, berpengetahuan, penampilan yang baik dan profesional.

“Adalah amat penting untuk menjaga disiplin diri pada tahap tinggi agar anda semua  mampu menjadi contoh terbaik kepada anggota pegawai kadet, dan bukan sebaliknya yang memberi kesan negatif sehingga mampu merosakkan diri, keluarga, organisasi dan masyarakat.

“Ini termasuk berbelanja mengikut kemampuan agar tidak meletakkan diri dalam keadaan keberhutangan tinggi sehingga menyebabkan diri mengalami tekanan,” ujar Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman.

Turut hadir pada sesi lawatan tersebut Ketua Cawangan Doktrin Bantuan Tempur, Angkatan Tentera Malaysia, Lt Kol Mohd Shamsi Abd Latip; Pemangku Ketua Jurulatih PALAPES UMS, Kapten Nik Mohamad Rukmal Hakim Rokman; dan Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMS, Kapten Dr Lee Kuok Tiung.

RABU, 21 OGOS - Rasa terharu dengan penuh rasa syukur menyelubungi keluarga dan pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui program Merobah Idea Menjadi Realiti (MENITI).

Program yang turut dikenali sebagai program B40 Khas ini merupakan usaha UMS untuk memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan namun berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke universiti setelah gagal menerima sebarang tawaran ke menara gading.

Ahad lalu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin telah menyampaikan Surat Tawaran kepada dua pelajar masing-masing di Kampung Lok Batik Tuaran dan Kampung Mangkaladoi Tamparuli.

Menurut salah seorang penerima Norsahidah Nurman, 19, beliau pada awalnya sudah putus harapan apabila mendapati namanya tidak menerima sebarang tawaran selepas semakan keputusan secara atas talian.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berkata, selepas gagal menerima sebarang tawaran dia telah mengambil keputusan untuk bekerja bagi membantu keluarga yang hanya melakukan perniagaan di gerai secara kecil-kecilan.

“Namun kehadiran UMS pada kali ini, membuka harapan baru bagi saya, terutama dalam tekad untuk mengubah nasib keluarga.

“Saya mahu membanggakan ibu saya, dia seorang ibu tunggal yang banyak berkorban untuk kami dan saya mahu membawa semangat dia untuk berusaha mencapai kejayaan termasuk meraih keputusan yang baik dalam akademik sepanjang di universiti,” katanya dalam linangan air mata kesyukuran.

Seorang lagi penerima, Frolina Leong Ah Fung, 20, turut menyuarakan rasa syukur atas peluang yang diberikan UMS yang disifatkannya sebagai satu peluang keemasan dan akan dimanfaat dengan sebaik mungkin.

Ujarnya, beliau sangat terkejut apabila didatangi oleh pihak UMS tentang pemakluman tawaran itu kerana sebelum ini beliau ada cuba untuk memohon ke universiti dan telah dipanggil untuk proses temuduga namun keputusannya adalah mendukacitakan.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh, menggalas peluang yang diberi ini dan mahu meraih segulung ijazah serta menggunakan ilmu yang diperoleh bagi meningkatkan taraf hidup keluarga,” ujar anak ketiga dari empat adik beradik itu lagi.

Sementara itu Prof Dr. Taufiq Yap ketika ditemui menyuarakan harapan agar semua pelajar yang ditawarkan melalui program MENITI ini dapat memanfaatkan peluang dengan menunjukkan kemampuan yang ada melalui usaha-usaha dalam mencapai kecemerlangan sepanjang berada di universiti.

“Gunakan kesempatan dan potensi yang ada semasa berada di UMS ini untuk menjadi seorang pelajar bukan hanya ulat buku tetapi juga merupakan seorang pelajar yang mahir dalam segala bidang,” katanya.

UMS menerusi program MENITI pada tahun ini menawarkan peluang kemasukan kepada 179 pelajar di negeri Sabah dengan pendapatan isi rumah di bawah garisan kemiskinan 40 peratus terendah (B40).

Hadir sama pada penyerahan surat tawaran itu ialah Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof.

RABU, 21 OGOS -  Program Food Bank Siswa UMS yang telah dilancarkan pada 18 Mei lalu diperluaskan lagi dengan kolaborasi bersama syarikat 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. sebagai usaha serta sokongan dalam mengutamakan kebajikan pelajar UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, Program Food Bank Siswa UMS merupakan inisiatif yang sangat tepat pada waktunya dan mampu memberi manfaat kepada seluruh pelajar UMS amnya dan pelajar B40 khususnya.

“Selain daripada meringankan beban para pelajar B40, program Food Bank Siswa juga menyasarkan untuk membantu mana-mana pelajar UMS yang kurang berkemampuan.

“Maka, kerjasama seperti ini akan sentiasa diberi keutamaan bagi memastikan UMS dilihat sebagai sebuah institusi pendidikan yang tidak sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi juga menjadi institusi pendidikan yang peka kepada kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kolaborasi UMS dan 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. bagi Food Bank Siswa UMS yang berlangsung di Anjung Siswa UMS.

Tambah beliau, dengan wujudnya inisiatif seperti ini melalui kerjasama dengan pelbagai pihak akan menjadi titik permulaan bagi membantu para pelajar mendepani peningkatan kos sara hidup serta membantu meringankan beban dan menangani isu ‘ikat perut’ dalam kalangan pelajar.

Prof. Dr. Taufiq Yap turut menegaskan bahawa Jabatan Hal Ehwal Pelajar terutamanya sentiasa bertungkus lumus dalam menjaga kebajikan para pelajar UMS dan memastikan apa jua keperluan dalam usaha tersebut dapat disempurnakan.

“Pihak UMS sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada usaha yang murni ini agar dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup para pelajar kita, sekali gus melonjakkan lagi semangat mereka untuk sentiasa cemerlang dalam akademik,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Taufiq Yap bersama-sama Pengurus Besar 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd., Lim Kok Wei menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada 21 pelajar B40 program Asasi Sains, serta menyampaikan kad Food Bank Siswa kepada wakil pelajar.

Hadir sama pada majlis tersebut mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Dr. Ismail Ali; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Kamisah Husin; wakil Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Cynthia Lo Wun Hui; Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, Prof. Madya Ts. Dr Sazmal Effendi Arshad; dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Muhd Jivean Johan Wira.