SELASA, 20 OGOS - Penganjuran Program Selangkah Ke Menara Gading (SEMEGA) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan satu inisiatif bagi membantu pelajar-pelajar sekolah menengah untuk meneruskan pengajian di menara gading apabila tamat sekolah kelak.

Program yang berlangsung selama tiga hari di kampus UMS itu menghimpunkan seramai 181 pelajar tingkatan lima dan enam sekolah menengah dari 12 buah daerah di seluruh negeri Sabah.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof memuji usaha MPP UMS dalam menganjurkan program yang memberi manfaat khususnya kepada pelajar sekolah luar bandar.

“Saya percaya melalui program ini para peserta dapat pendedahan awal berkaitan suasana kehidupan serta budaya pembelajaran dalam kampus universiti.

“Pendedahan awal ini penting agar apabila mereka berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading kelak, mereka tahu apa jangkaan yang perlu dicapai di universiti dan tidak mengalami kejutan budaya sehingga mempengaruhi pencapaian akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program tersebut di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.

Tambah Vina, penganjuran program tersebut juga mampu memotivasikan para peserta untuk memasang cita-cita melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi serta membantu untuk mendisiplinkan mereka agar terus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan berusaha untuk mencapai pencapaian yang baik bagi melayakkan mereka diterima masuk ke universiti.

“Diharapkan para peserta dapat menimba ilmu khususnya berkaitan dengan budaya pembelajaran yang baik, selain memanfaatkan peluang ini untuk mengenali program-program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UMS bagi membolehkan mereka membuat permohonan kelak,” ujar beliau.

Terdahulu, Pengarah Program SEMEGA 2019, Lee Khai Ting berkata objektif penganjuran SEMEGA 2019 adalah bagi menarik para pelajar untuk meneruskan pengajian selepas sekolah menengah dan memilih UMS sebagai pilihan utama untuk menyambung pelajaran.

“Program ini akan menjadi medium berterusan oleh MPP bagi terus menyumbangkan bakti dalam menyalurkan maklumat serta menyuntik semangat para peserta agar terus bersemangat mencapai impian untuk menyambung pengajian di universiti,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal pelajar UMS, Alna Tugon dan Presiden MPP, Muhd Jivean Johan Wira.

SELASA, 20 OGOS - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin komited untuk meningkatkan lagi kualiti universiti itu termasuk dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, fasiliti dan infrastruktur serta kebolehpasaran pelajarnya bagi memastikan UMS berada dalam kedudukan sebagai antara universiti terbaik dunia.

Beliau berkata pencapaian bersejarah UMS yang buat pertama kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia adalah satu permulaan sangat baik bagi universiti berkenaan untuk terus memperkukuhkan reputasi di mata dunia.

Menerusi penarafan QS World University Rankings 2020 yang diumumkan pada Jun lepas, UMS disenaraikan pada kedudukan 801.

Prof Dr Taufiq mengucapkan tahniah kepada pemimpin UMS sebelum ini termasuk bekas Naib Canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin atas pencapaian itu, dan selaku pemimpin baharu universiti, beliau akan melakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi keternampakan (visibility) dan kedudukan UMS di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap kakitangan UMS dapat memberi kerjasama dalam usaha meningkatkan lagi keternampakan universiti sehingga ke peringkat antarabangsa khususnya di Asia Pasifik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, kelmarin.

Ini merupakan kunjungan hormat yang pertama Prof Dr Taufiq kepada Tun Juhar selaku Canselor UMS selepas dilantik sebagai Naib Canselor UMS pada 30 Julai lepas.

Prof Dr Taufiq berkata pihaknya akan melakukan beberapa perkara ke arah meningkatkan lagi kualiti UMS termasuk melihat semula kurikulum sedia ada serta hubungan UMS dengan industri sama ada di dalam mahupun di luar Sabah bagi memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan dan pengalaman industri sekali gus memastikan kebolehpasaran graduan.

Mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata, Tun Juhar memberi sokongan sangat baik kepada pimpinan universiti selain turut berharap UMS akan lebih membangun dan maju khususnya dalam membantu meningkatkan lagi sosioekonomi di Sabah.

"Saya akan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan membantu meningkatkan sosioekonomi Sabah selain memastikan lebih ramai penduduk di negeri ini dapat menimba ilmu," katanya.

Kunjungan hormat itu turut disertai Pegawai-pegawai Utama UMS.

 

Sumber: BERNAMA


ISNIN,19 OGOS - Kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pemain industri bukan sahaja mengukuhkan penyelidikan tetapi juga merangsang sosio ekonomi dan menjana pertumbuhan kepada masyarakat di Sabah.

Naib Canselor UMS Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata perkongsian sejati antara kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan adalah penting untuk memastikan kejayaan generasi akan datang.

Beliau berkata antara perkara yang boleh membantu dalam kejayaan generasi akan datang adalah input daripada industri kepada graduan, sama ada mereka telahpun atau akan berada dalam tenaga kerja dalam masa yang singkat.

"Mengkaji kurikulum membolehkan kami terus meningkatkan graduan kami dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh industri.

"Ada yang mungkin bertanya kenapa kita harus memanfaatkannya Menyediakan bakat kepada industri akan menjadi aset kepada negara," katanya pada perasmian Simposium IT Sabah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Beliau berkata rakan industri baharu universiti ialah Cybersecurity Malaysia, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, NEM Malaysia Sdn Bhd, Fusionex Innovation dan MISA Sdn Bhd.

Prof. Dr. Taufiq berkata beberapa kejayaan telah dicapai dalam kerjasama industri-akademik yang sedang berjalan dan contohnya ialah penubuhan Makmal Huawei yang membolehkan pelajar menjalani latihan dan akhirnya memperoleh pensijilan.

Beliau berkata kolaborasi dengan Celcom Timur menyediakan makmal untuk pelajar mengalami pendedahan industri yang membolehkan mereka menaplikasi apa yang mereka pelajari dalam teori.

"Melalui kerjasama universiti dengan Sabah.Net, pelajar dilengkapi dengan ilmu keselamatan khususnya di bawah teknologi blockchain", katanya.

Prof. Dr. Taufiq juga berkata kerjasama antara UMS dan Cybersecurity Malaysia ditubuhkan di bawah Fakulti Pengkomputeran dan Infromatik untuk menyediakan perkhidmatan Forensik Digital.

Sumber : BERNAMA

JUMAAT, 16 OGOS - Universiti Malaysia Sabah UMS menerima kehadiran 56 pelajar Wuyi University China bagi menjalani Kursus Kecerdikan Buatan (Algoritma Genetic) di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS.

Penyelaras program itu, Dr. Kenneth Teo Tze Kin berkata, kolaborasi akademik antara UMS dan Wuyi University telah bermula dengan termeterainya Surat Niat (LoI) pada Oktober 2017.

"Aktiviti-aktiviti yang  dijalankan seperti kursus melibatkan 56 pelajar ini adalah antara pengisian atau aktiviti di dalam LoI.

"Tahun lalu kita juga telah menerima seramai 27 pelajar daripada universiti itu bagi program yang sama,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi meraikan kesemua pelajar tersebut yang dihoskan oleh Presiden Sze Yip Bersatu Sabah, Datuk Susan Wong Siew Guen di salah sebuah restoran terkemuka, pada Rabu.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Dr Taufiq Yap Yun Hin dan isteri.

Dr. Kenneth Teo berkata, melalui LoI itu, UMS juga telah menghantar seramai lapan orang pelajar untuk menjalani latihan ilmiah di Wuyi University pada tahun 2018.

“Pada tahun 2019, UMS  juga menghantar seramai 26 pelajar untuk mengadakan latihan ilmiah sekali gus memastikan hubungan yang telah terjalin ini sentiasa subur dan berterusan.

"Adalah menjadi harapan agar kerjasama akademik antara UMS dan Wuyi University akan terus berkembang serta diperluaskan kepada aspek penyelidikan," katanya lagi.

Kursus yang diadakan 11-26 Ogos itu turut memberi ruang kepada para pelajar Wuyi University untuk mengenali negeri Sabah dengan lebih dekat melalui beberapa lawatan ke destinasi menarik yang terdapat di negeri ini.

 

JUMAAT, 16 OGOS - Fokus yang tinggi dan tetap percaya pada matlamat yang ingin dituju perlu ada dalam diri untuk terus maju ke hadapan.

Begitulah kunci kejayaan alumni  Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari Papar, Dg Irme Hafziany Ag Yusop, 33, yang kini mampu meraih pendapatan kira-kira RM4 juta setahun melalui perniagaan bakeri dan kafe “Kak Kiah Coffee House.”

Menurutnya, perniagaan tersebut dimulakan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal pada tahun 2008 dan asalnya dilaksanakan dengan hanya menjual kek secara kecil-kecilan.

“Pada ketika itu penjualan dibuat dari rumah sahaja dan sekadar tertumpu di bahagian Papar serta kadang kala di bazaar demi menampung kehidupan sekeluarga.

“Pada tahun 2013, berbekalkan kesabaran dan semangat yang tinggi, saya mula mengorak langkah mengembangkan perniagaan ibu ke peringkat yang lebih meluas dengan memperkenalkan “Cake in Jar” ke dalam dunia internet serta membuat penjualan secara “cash on delivery”.

“Apabila permintaan semakin meningkat,  saya membuka dan menjalankan perniagaan “Kak Kiah Cake House” dan juga “Kak Kiah Coffee House” dan kini perniagaan ini bukan sahaja dijalankan oleh saya sendiri malah seluruh keluarga turut serta dalam menjayakan perniagaan ini,” katanya ceria.

Graduan Sarjana Muda Pendidikan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS itu ditemui dalam Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, di pusat perniagaannya di sini, baru-baru ini.

Menurut Dg Irme, jangan sama sekali mudah berputus asa dan hilang tumpuan walaupun ada masyarakat di sekeliling yang kurang menaruh keyakinan dengan kemampuan kita.

"Sebagai makluman, pada masa kini kami telah membuka empat cawangan Kak Kiah Cofee House, satu kilang pemprosesan dan sebuah Kiosk Kak Kiah Cake House.

“Bukan itu sahaja, malah kami turut berkongsi rezeki bersama 50 ejen di seluruh Sabah dengan memasarkan Kak Kiah Cake Freezer yang mana ia boleh didapati di premis-premis terpilih di seluruh Sabah. Kita juga akan membuka cawangan di UMS yang dijadualkan mulai beroperasi pada September ini,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, beliau turut menanam impian agar jenama Kak Kiah akan mulai dikenali di peringkat global dan mampu memasarkan produk sehingga ke seluruh negara Asia pada 5 - 10 tahun akan datang.

Pada program Jejak Alumni itu, rombongan UMS diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Mohd. Raffie Hj. Janau dan turut disertai Ketua Bahagian Alumni, Mardena Jiwan.