RABU, 7 OGOS - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Emerald Review Writing Competition  bertempat di Bilik Multimedia Perpustakaan hari ini.

Pertandingan itu antara lain bertujuan untuk mempelbagaikan kegunaan sumber rujukan yang dilanggan oleh UMS dalam pangkalan data Emerald serta memberikan kemahiran membuat semakan artikel (review article) kepada peserta. 

Dalam masa sama pertandingan itu juga bagi meningkatkan keyakinan dan kemahiran penulisan peserta serta memastikan pihak pembekal atau penerbit memberikan perkhidmatan selepas jualan seperti yang dijanjikan.

Seramai 15 peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada pensyarah fakulti dan pelajar pascasiswazah UMS.

Terdahulu, satu sesi ceramah turut diadakan di Auditorium Perpustakaan yang bertajuk “How to Critically Evaluate a Manuscript.”

Dihadiri seramai 30 pelajar dan pensyarah, ceramah itu disampaikan Penolong Profesor Kanan Universiti Brunei Darussalam, Dr. Mamunur Rashid.

Dr. Mamunur turut menjadi juri Emerald Review Writing Competition  bersama Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dan Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMS.   

SELASA, 06 OGOS - Sempena pembukaannya yang dijadualkan pada tahun 2020, Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH UMS) menganjurkan Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020 dengan menawarkan hadiah bernilai RM10,500.

Penyelaras pertandingan, Prof. Madya Dr. Humin Jusilin berkata, tema pertandingan adalah bebas namun karya tersebut  harus berkaitan dengan  Borneo terutama Negeri Sabah.

“Ia bagi memberi peluang kepada pengkarya untuk meneroka dengan lebih mendalam keunikan pelbagai aspek sosiobudaya yang terdapat di kawasan Borneo terutama yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat dan alam sekitarnya.

“Kami mengharapkan melalui penyertaan daripada para pengkarya dalam pelbagai bidang seperti pelukis dan pembuat arca, ia akan dapat menghasilkan sebuah karya yang unik dan berbeza seterusnya dapat menarik masyarakat untuk menikmati dan menghargai karya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Humin, karya yang terpilih sebagai pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM4000, manakala tempat kedua RM2000 dan tempat ketiga RM1000.

Di samping itu katanya, penganjur juga menyediakan hadiah sagu hati untuk 10 pemenang bernilai RM350 setiap satu selain sijil penyertaan kepada semua peserta.

“Setiap karya terpilih juga akan dipamerkan melalui program khas sempena perasmian Galeri Azman Hashim UMS yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai GAH UMS, Dr. Humin memberitahu, galeri tersebut merupakan sebuah lagi ruang yang memberi peluang kepada para pengkarya dan penggiat seni terutama di Sabah untuk mempamerkan hasil-hasil karya mereka kepada masyarakat.

“Bangunan galeri tersebut juga akan menjadi sebuah mercu tanda baru Sabah yang berkonsepkan edu-tourism bagi menarik pelancong untuk menghargai keunikan sosiobudaya masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik melalui pelbagai aktiviti seperti pameran karya seni dan persembahan kebudayaan.

“Bangunan GAH UMS yang berbentuk bulatan sangat unik kerana reka bentuknya seperti gong yang merupakan alat muzik penting di Sabah,“ tambahnya yang juga Pensyarah Program Teknologi Seni Visual, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS.

Sehubungan itu mereka yang berminat dan mempunyai bakat dalam seni halus dan teknologi seni adalah dipelawa untuk menyertai dan menghantar karya ke Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh menghubungi Dr. Humin (019-8626696), Faez Huzaini (014-9559787) dan Noor Fazlilawaty Ghulamdinn (011-59764576) atau dengan melayari Facebook Galeri Azman Hashim UMS.

 

 

SELASA, 6 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi konvensyen 1st  Malaysian Universities National Convention (MUNCH) 2019 buat julung kalinya yang diadakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS bermula kelmarin.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 140 peserta yang mewakili Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi 20 Universiti Awam di Malaysia, selain penyertaan wakil dari hospital dan agensi swasta.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, konvensyen ini diharap akan dapat mengumpul dan menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan bidang kesihatan secara optimum agar dapat memanfaatkan peserta dan PKU yang diwakili.

“Penyebaran pengetahuan berkaitan isu-isu semasa dalam bidang kesihatan khususnya di Universiti Awam akan disusun semula oleh ahli-ahli profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi manfaat kepada kampus universiti secara keseluruhannya.

“Kemajuan dalam penyediaan penjagaan kesihatan di universiti sering memerlukan perubahan minda, yakni minda inovatif yang sanggup memecahkan halangan yang menyekat kemajuan tidak kira sama ada anda ahli akademik atau penyedia penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian konvensyen tersebut, yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul di Auditorium FPSK.

Justeru menurut Prof. Dr. Taufiq, penganjuran konvensyen ini adalah tepat pada masanya dalam membantu  memfokuskan dan menyusun semula objektif bagi memastikan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan mengekalkan kesihatan optimum bagi semua warga universiti.

“Dengan menggabungkan usaha pelbagai disiplin dari universiti yang berlainan, kita dapat belajar dari pengalaman dan pencapaian masing-masing, serta meningkatkan standard dan kualiti penjagaan kesihatan kepada warga universiti,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital UMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang; Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia, Prof. Dr. Durrishah Idrus; dan pengerusi penganjur konvensyen, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

JUMAAT, 2 OGOS – Pusat Perakaunan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Seminar Penyelidikan Perakaunan Edisi Ketiga yang berlangsung di Bilik Seminar MBA, FPEP baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Pusat Perakaunan UMS, seminar yang disertai seramai 20 peserta itu antara lain bertujuan untuk memberi ruang kepada kakitangan akademik UMS dalam bidang perakaunan untuk membentangkan hasil penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan.

“Penyertaan seminar ini juga melibatkan pembentang dan peserta daripada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, selain pelajar pascasiswazah UMS sendiri.

“Sejumlah 12 kertas kerja dibentangkan oleh kakitangan akademik dan pelajar yang menyertai seminar tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Seminar tersebut juga memberi peluang kepada para peserta seminar untuk bertukar pandangan selain membuat jaringan di dalam bidang penyelidikan perakaunan.

Hadir sama Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Pusat Perakaunan UMS, Jainurin Justine.

 

KHAMIS, 1 OGOS -  Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, 51, akan meneruskan dasar universiti itu dengan berbekalkan pengalaman sedia ada.

Prof. Dr. Taufiq Yap berkata beliau juga akan membawa idea-idea baharu, bagi menambah baik dasar yang telah dilaksanakan demi kemajuan UMS.

Katanya, perancangan awal beliau ialah meningkatkan 'keterlihatan' UMS untuk bukan hanya terkenal di Sabah, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kita berbangga UMS telah bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), namun tumpuan saya terarah kepada meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan IR4.0,” katanya di majlis serah terima tugas daripada bekas Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin kelmarin.

Majlis disaksikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K.Y. Mustafa.

Berasal dari Kota Kinabalu Taufiq Yap berkata, beliau bersama pasukan UMS akan bekerjasama, khususnya dengan pihak industri di Sabah dan antarabangsa agar dapat memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu Datuk Dr Yusof dalam sidang medianya melahirkan penghargaan kepada Datuk Dr. D Kamarudin atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UMS.

Beliau berkata peralihan tugas merupakan proses biasa, agar pendekatan baharu akan dapat menghasilkan mahasiswa lebih berkualiti.

"Selain bekerjasama dalam IR4.0, kita juga mahu UMS menjadi pusat penyelidikan terunggul di Sabah kerana negeri kita kaya dengan flora dan fauna," katanya.

Sementara itu K.Y. dalam satu kenyataan berkata beliau yakin berdasarkan pengalaman dan pencapaian Taufiq Yap, kecemerlangan universiti semasa di bawah legasi kepimpinan bekas naib canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin serta naib-naib canselor terdahulu akan berterusan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan pengalaman yang dimiliki beliau (Taufiq Yap) akan memacu kecemerlangan universiti ini di persada nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek, termasuk merealisasikan agenda UMS menghasilkan graduan ‘future-proof' demi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Saya bagi pihak warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini,” katanya.

K.Y. juga turut melahirkan penghargaan kepada Dr D Kamarudin atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS sepanjang menggalas amanah selaku Naib Canselor sejak Jun 2017 hingga Julai 2019. 

Katanya  Dr D Kamarudin telah menunjukkan kepimpinan yang baik dengan pelbagai pencapaian termasuk berjaya membawa universiti ini buat pertama kalinya tersenarai di dalam QS World Ranking 2020 sebagai 1,000 universiti terbaik dunia.

Sumber: BERNAMA