SELASA, 21 MAC - Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menyokong program berkaitan sukan dan rekreasi untuk warga universiti secara keseluruhan.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, peruntukan bajet khas kepada Pusat Sukan diberikan agar program sukan dapat dirancang dan dijalankan sepanjang tahun, termasuk penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan pengelolaan program sukan  di UMS.

“UMS mempunyai kemudahan sukan yang kondusif dan mesra pelanggan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya sama ada bersukan untuk kesihatan atau sebagai atlet yang akan bertanding di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Mahasiswa UMS 2017 dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup 2018’ di Stadium UMS baru-baru ini.

“Sukan merupakan salah satu agenda negara, maka itu pihak universiti menekankan kepentingan sukan selari dengan aspirasi negara,” ujarnya.

UMS dilengkapi kemudahan hampir semua jenis sukan termasuk yang terbaru iaitu padang bola sepak rumput tiruan yang diiktiraf FIFA telah siap sepenuhnya pada bulan Oktober tahun lalu.

“Saya menggalakkan agar mahasiswa menyertai atau melibatkan diri dalam pelbagai sukan melalui pelbagai kejohanan atau pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan.

“Melalui program sebegini, mahasiswa akan dapat berinteraksi dan membina jati diri melalui kepimpinan di samping mendapat manfaat secara langsung untuk kesihatan diri," ujar beliau.

Sukan Mahasiswa dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 mahasiswa.

Sukan Mahasiswa merangkumi liga sukan membabitkan sukan bola sepak, futsal, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, bola jaring, bola baling, badminton, ping pong, tenis dan catur.

Manakala Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ pula melibatkan pelajar antarabangsa yang mewakili negara masing-masing iaitu Brunei, China, India, Indonesia, Timor-Leste dan Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut, Konsul Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, Cahyono Rustam; Konsulat Brunei di Kota Kinabalu, Pengiran Haji Yussof; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali serta pegawai-pegawai kanan UMS.

ISNIN, 20 MAC - Program Rakan Borneensis 2017 anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dengan kerjasama Japanese International Cooperation Agency  - Sustainable Development For Biodiversity and Ecosystem Conservation (JICA-SBDEC) dan South East Asia Rainforest Research Programme (SEARRP) mampu melahirkan generasi menghargai kepentingan alam sekitar.

Menurut Pengarah IBTP, Prof. Dr. Charles S. Vairappan, program selama tiga hari itu memperlihatkan kefahaman peserta apabila mereka dengan lantang mengetengahkan pendapat masing-masing.

“Ini adalah satu sikap yang sangat baik dan saya amat berharap agar mereka sentiasa dapat memikirkan secara mendalam serta membuahkan pendapat yang bernas dalam memastikan khazanah biodiversiti di Sabah diberi keutamaan dalam usaha kita memajukan negara.

“Saya sangat gembira kerana IBTP dapat memberikan sumbangan keilmuan yang dijana dan dicanai di UMS kepada masyarakat generasi muda di Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada majlis perasmian epnutupan Rakan Borneensis UMS 2017 di Tapak Perkhemahan, Lembah Ex-Situ IBTP kelmarin.  

Melalui program ini katanya para peserta dapat berinteraksi dengan pakar-pakar yang terkemuka dalam bidang kajian masing-masing.

Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta tentang kewujudan kepelbagaian biodiversiti serta langkah pemuliharaannya.  

Kira-kira 30 pelajar dari SM All Saints, SM St Micheal Penampang dan SMK Tebobon menyertai program ini.

KHAMIS, 16 MAC – Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2018 bakal memfokuskan terhadap usaha memperkembangkan sistem tadbir urus lautan dan sumber marin secara holistik.

Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Rossita Shapawi berkata, perkhidmatan dalam ekosistem marin semakin meningkat namun peningkatan tersebut tidak seiring dengan tahap pengurusan.

“Lautan turut menerima impak daripada  pelbagai aktiviti di darat, maka satu pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh perlu bagi mengkaji semua isu-isu yang berkaitan dalam perkara ini.

“Justeru, ICOMSA 2018 adalah platform yang sesuai bagi mengajak individu-individu yang bekerja atau terlibat dengan persekitaran laut, sungai, tasik, pantai dan sebagainya untuk bersama-sama berkongsi maklumat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam satu majlis makan malam sempena meraikan peserta-peserta ICOMSA 2017 di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Tambah Prof. Rossita, dengan penyertaan yang lebih luas pada ICOMSA akan datang, pelbagai maklumat mengenai hubungan antara kepelbagaian sistem marin dan bidang yang berhubung kait dengan laut dan tanah seperti biologi, budaya, politik dan sosio ekonomi dapat dibincangkan.

“Dengan adanya ahli sains, ahli sains sosial, pakar ekonomi, jurutera, dan pakar-pakar dalam disiplin ilmu yang lain berinteraksi dalam satu platform, kita harap agar budaya perkongsian pengetahuan dan penjanaan ilmu dapat dipupuk,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis makan malam tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan pengerusi persidangan ICOMSA, Prof. Madya Dr. Julian Ransangan.

 

RABU, 15 MAC - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang giat menganjurkan program Jom Sihat Bah! 2017 telah mengadakan aktiviti FitFSSA (Power Walk), iaitu aktiviti berjalan kaki dari Kompleks Sains dan Teknologi ke Kompleks Perhutanan.  

Berlangsung meriah dengan sambutan menggalakkan daripada kakitangan akademik dan bukan akademik FSSA, acara dimulakan pada pukul 4.30 petang di perkarangan tempat letak kenderaan Kompleks Sains dan Teknologi.

Dekan, Prof. Dr. Baba Musta dalam ucapannya berkata, aktiviti seumpama itu perlu diteruskan bukan sahaja kerana mendapat sokongan daripada seluruh kakitangan, malah dilihat mampu menyemai amalan budaya sihat di pejabat.

“Aktiviti ini juga amat sesuai dalam membina dan menyemai budaya hidup sihat seterusnya memberi kesan positif terhadap moral, prestasi dan komitmen kerja dalam kalangan kakitangan.

“Mereka akan lebih bermotivasi, lebih baik dalam menyelesaikan permasalahan, dan menyumbang kepada peningkatan budaya kerja yang lebih efektif,” katanya.

Program Jom Sihat Bah! yang akan dijalankan sepanjang tahun 2017 akan mengadakan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti pertandingan futsal, bola tampar, senam tari dan boling.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

Razuan Matthew (Foto)

 

ISNIN, 13 MAC - Bakti Siswa Perdana dan Pesta Bubuk anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Binsulok, Membakut mampu menjadi landasan untuk mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan berasaskan pengeluaran makanan yang diusahakan penduduk kampung tersebut.

Sehubungan itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat Membakut, Tuan Haji Latif Osman mencadangkan agar program seperti itu diperluas menerusi pembangunan potensi pelancongan di peringkat kampung bersama institusi pengajian tinggi seperti UMS.

“Kehadiran para pelajar tempatan dan antarabangsa ke kampung ini sedikit sebanyak membantu mempromosikan pelbagai produk makanan tradisional seperti bubuk dan belacan yang sememangnya sinonim dengan Kampung Binsulok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis itu mewakili Pembantu Menteri, Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif yang juga Wakil Rakyat Membakut di kampung berkenaan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, program itu juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa UMS menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat setempat di samping memupuk nilai-nilai kesukarelawan dalam kalangan mereka.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali.

Lebih 250 siswa-siswi UMS termasuk 30 pelajar antarabangsa turut terlibat dalam program selama tiga hari itu.

Beberapa pengisian program turut menyerikan majlis berkenaan, antaranya demonstrasi pembuatan makanan berasaskan bubuk, pameran pengusaha produk makanan tradisional, pameran agensi kerajaan negeri dan persekutuan, dan pertandingan lumba perahu.

40 pelajar UMS juga telah berkampung bersama 20 keluarga angkat di Kampung Binsulok dan Kampung Likas, Membakut.