Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) sesi 2023/2024 telah mengadakan Program Kunjung Kasih 2.0 KKTF di Kampung Gudon, Manggatal baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan sosial mengenai aktiviti kemasyarakatan sepanjang program dijalankan di kampung tersebut selain menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan yang merupakan mantan pensyarah kanan UMS telah menyempurnakan perasmian program tersebut.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, inisiatif oleh siswa-siswi UMS itu tidak hanya membantu meningkatkan infrastruktur dan kerjasama antara komuniti, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dan komuniti setempat.

“Saya dimaklumkan bahawa pada hari pertama, peserta program Kunjung Kasih telah bersama-sama membersihkan kawasan sekolah yang terkena musibah akibat kejadian banjir.

“Manakala pada hari kedua peserta menjalankan aktiviti mengecat masjid dan mengadakan sukaneka bersama-sama pelajar sekolah dan penduduk Kampung Gudon.

“Saya turut difahamkan ini merupakan kali kedua penganjuran program seumpama dan JAKMAS KKTF melalui Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA) masih bergiat aktif dalam misi menyantuni masyarakat setempat, justeru syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan penduduk kampung dalam menjayakan program ini,” katanya.

Ujar beliau, diharapkan melalui program kemasyarakatan ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dengan komuniti setempat selaras dengan slogan program, “Jalinan Kasih, Tautan Budi”.

Hadir sama pada program tersebut Ketua Kampung Gudon, Md. Aruf Rajit; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gudon, Mohadis KK Sabtu; Timbalan Pengetua KKTF, Muhammad Jumrat Minsun; dan Pengarah Program Kunjung Kasih 2.0 KKTF, Noryah Marjip.

 

Penganjuran Seminar Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Universiti: Peranan Pascasiswazah di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu mewujudkan platform kepada para penyelidik dan pemain industri untuk berkongsi idea dan pengalaman serta mengadakan kolaborasi untuk manfaat bersama.

Seminar anjuran bersama Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) itu tidak hanya melibatkan forum perbincangan, tetapi turut membuka peluang kepada ramai pencipta yang telah berjaya mengkomersialkan produk mereka untuk mempamerkan hasil inovasi mereka kepada peserta.

Menurut kenyataan dari FPEP, program tersebut diadakan antara lain adalah untuk memupuk budaya inovasi dan pengkomersialan di kalangan pelajar pascasiswazah.

“Seminar ini juga bertujuan untuk mendorong kolaborasi dan pertukaran pengetahuan dengan mewujudkan platform untuk para penyelidik dan pemain industri berkongsi idea dan pengalaman, selain peluang untuk memperluas jaringan kerja dengan membangun hubungan yang lebih kuat antara universiti dan industri.

“Memperkenalkan penemuan-penemuan terbaru kepada khalayak yang lebih luas merupakan salah satu fokus utama seminar ini, termasuk inovasi terbaru yang dihasilkan oleh pelajar dan penyelidik universiti.

“Usaha ini turut mendorong inovasi dan pengembangan perniagaan dengan menggalakkan pelajar untuk meneroka peluang pengkomersialan dan pembangunan perniagaan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Peningkatan kesedaran tentang isu-isu pengkomersialan turut menjadi agenda penting seminar tersebut.

“Dengan menyediakan maklumat dan panduan tentang cabaran serta peluang dalam pengkomersialan hasil penyelidikan, seminar ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada universiti dalam memupuk budaya inovasi dan pengkomersialan di kalangan pelajar pascasiswazah.

“Diharapkan penganjuran seminar ini terus menjadi platform yang efektif dalam mendorong lebih banyak kerjasama antara universiti dan industri, serta memperkasakan pelajar pascasiswazah untuk terus berkarya dan berinovasi,” demikian kenyataan dari FPEP UMS.

Antara yang hadir dalam forum perbincangan sempena seminar tersebut Pengarah PPIP, Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun; Ketua Pegawai Eksekutif Eternity Mode Sdn. Bhd, Gesiri Gambung; dan wakil dari Sabah Creative Economy & Innovation Centre (SCENIC), Ulianti Sarjuni.

 

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membantu perkembangan dan daya saing usahawan tempatan menerusi kajian serta inovasi berkaitan perniagaan tempatan.

Menerusi satu program pembentangan akhir oleh pelajar kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu, para pelajar terlibat dalam membentangkan hasil kerja mereka dengan penglibatan usahawan perniagaan berasaskan produk tempatan Sabah.

Dengan membawa tema, “The 2nd Product Development and Promotional Campaign Competition for BG31903 Integrated Marketing Communication Pitching to Judges”, program pembentangan akhir yang diadakan di FPEP itu melibatkan 93 orang pelajar Tahun Dua, yang kemudiannya membentuk 13 kumpulan bagi pembentangan hasil kerja.

Menurut Pensyarah Kanan FPEP, Dr Siti Nor Bayaah Ahmad yang mengendalikan kursus tersebut, program itu antara lain bertujuan melibatkan pelajar dari program pemasaran untuk mencipta serta menghasilkan idea pembungkusan baru dan inovatif.

“Program ini juga menjana komunikasi digital yang efektif bagi membantu usahawan tempatan untuk mengembangkan keluaran mereka di peringkat tempatan dan nasional.

“Selain itu, usaha ini turut memberi peluang pelajar tahun dua Program Pemasaran yang terlibat untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam menghasilkan idea yang unik dan kreatif, sejajar dengan sasaran program pemasaran iaitu menghasilkan graduan berilmu, berkualiti dan berdaya saing.

“Tambahan pula, ini merupakan salah satu tonggak bagi merealisasikan aspirasi penubuhan UMS sebagai wadah ilmu untuk membantu komuniti tempatan dalam meningkatkan sosioekonomi dan menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar UMS,” katanya.

Siti Nor Bayaah turut memaklumkan, program pengemukaan idea ini melibatkan seramai tujuh pensyarah dari pelbagai program FPEP bersama dengan empat orang usahawan tempatan yang bertindak sebagai penilai pertandingan.

“Empat usahawan itu ialah Juddy Lasisu, pemilik Aurora Mutiara Enterprise yang menghasilkan produk dari buah-buahan dan tumbuhan yang dikeringkan; Rosalia Anthony, pengasas Ohakakita Food Sdn Bhd, satu produk berkaitan sos pencicah, sambal tausi dan sambal tuhau.

“Vellarry Maydelina Yong, pengusaha Oupus Organic yang menghasilkan produk krim berasaskan buah bambangan; dan Sainah Asoh, pengusaha Tumuna Enterprise yang baru melibatkan diri dengan produk keladi serbuk, keladi keping dan kopi Pensiangan.

“Pelajar yang terlibat telah menyelidik, mengaplikasi dan mencadangkan pembungkusan baru serta melaksanakan pengiklanan digital melalui aplikasi Tik Tok sebagai mempromosi produk usahawan-usahawan wanita ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usahawan-usahawan wanita tempatan tersebut atas sumbangan hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori produk yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan pelajar.

“Penglibatan usahawan tempatan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan mereka melalui pembentangan idea dan mempromosikan hasil kerja kepada industri seperti yang berlaku di luar universiti.

“Ini membolehkan mereka mendapat pengalaman berharga iaitu mengaplikasikan idea pembungkusan produk yang kreatif dan promosi secara realiti dan bukan hanya bersandarkan kepada teori sahaja,” katanya.

Beliau turut berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bersama-sama dengan pelajar universiti dalam menghasilkan output kreatif bagi organisasi mereka.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal pelajar FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil; Ketua Program Pemasaran, Dr Brahim Chekima; dan pensyarah kanan FPEP, Charlie Albert Lasuin yang turut bersama mengendalikan kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu.

 

Menyedari pelbagai cabaran graduan memasuki alam kerjaya, Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan program SME Bank Career Day @ UMS.

Menurut Pengarah PKPKP, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris, program tersebut memberi ruang dan pendedahan para pelajar mengenai pelbagai peluang pekerjaan serta mengenal pasti minat dan kemahiran berkaitan dunia perbankan.

Sidah berkata selain itu program tersebut membantu dan membimbing para pelajar dalam merancang laluan kerjaya yang sesuai dengan aspirasi dan potensi diri.

“Program ini membantu pelajar memahami keperluan industri dan membina rangkaian profesional yang berguna.

“Dengan kerjasama SME Bank, program ini mendedahkan dengan lebih terperinci tentang program latihan industri dan Graduate Talent yang ditawarkan oleh SME Bank.

“Saya percaya program ini akan memberi manfaat besar kepada para pelajar dalam menyediakan diri mereka untuk melangkah ke alam kerjaya dengan lebih yakin dan bersedia,” katanya.

Pada program tersebut, seramai 60 pelajar daripada pelbagai program akademik menyertai program tersebut yang turut menyediakan bengkel penyediaan resume serta aktiviti bersifat interaktif.

“Saya berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada pada hari ini. Gunakanlah setiap sesi sebagai platform untuk menimba ilmu, bertanya soalan, dan membina jaringan yang akan membantu dalam perjalanan kerjaya anda kelak,” tambah Sidah.

 

Pameran Solo “The Kingdom: Rivers and Tributaries (II)” oleh pengkarya seni abstrak tersohor dari Negara Brunei Darussalam, Pengiran Abd. Wahab Hassan Al-Abbas di Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) memperlihatkan usaha galeri tersebut dalam memartabatkan hasil seni pengkarya dari rantau Borneo.

Pameran yang berlangsung bermula 27 Jun sehingga 15 Ogos itu mempamerkan 82 karya yang mengangkat pelbagai kisah sejarah dan keunikan biodiversiti di Kepulauan Borneo yang diterjemahkan melalui hasil seni berbentuk abstrak.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dalam ucapannya sempena perasmian pameran tersebut baru-baru ini berkata, kepelbagaian kaum dan budaya di negeri Sabah itu sendiri merupakan satu keunikan yang berpotensi untuk diceritakan melalui hasil karya seni.

“Melihat kepada potensi itu, GAH-UMS ini ditubuhkan sebagai menyokong usaha-usaha penggiat seni di Sabah dalam menghasilkan karya serta mengembangkan lagi industri seni khususnya seni visual di negeri ini.

“Walaupun dengan kepesatan teknologi serta perkembangan kecerdasan buatan yang telah menggantikan pelbagai kemahiran, namun bidang seni masih memerlukan sentuhan manusia dan tidak boleh diganti dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau turut menyeru para pelajar UMS khususnya pelajar program Teknologi Seni Visual, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) untuk memanfaatkan program pameran yang giat dijalankan oleh GAH-UMS dalam mempelajari dan mendalami bidang seni daripada pengkarya-pengkarya berpengalaman sebagai panduan untuk kerjaya pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengiran Abd. Wahab menjelaskan, pameran solonya antara lain mahu membawa potensi dimiliki rantau Borneo ke peringkat antarabangsa.

“Banyak hasil karya pengkarya berwibawa serantau boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada pengkarya seni, malah mampu memberi nilai keuntungan kepada kerajaan negeri khususnya dalam memacu sektor ekonomi dan pelancongan serantau.

“Justeru, usaha-usaha seperti meningkatkan infrastruktur bagi menyokong industri seni serta memperbanyakkan lagi platform untuk pameran seni perlu dilaksanakan dalam mengembangkan lagi industri seni serantau,” ujar beliau.

Hadir sama pada perasmian pameran tersebut Konsul, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Sabah, Mohamad Ashrul Abdul Samad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pembangunan Seni Negara, Rohana Mohd. Yusof; dan Pengarah GAH-UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit.