logoums1. Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah, tidak akan sesekali berkompromi dengan isu keselamatan pelajar UMS. Kami sentiasa mendahulukan keselamatan pelajar berbanding hal yang lain.

2. Dalam situasi pihak keselamatan negara mendepani ancaman pencerobohan, saya menasihatkan para pelajar usah terpengaruh dengan khabar angin yang dapat mencetuskan suasana panik sehingga mengganggu fokus pada pembelajaran. Saya ingin jelaskan, suasana pembelajaran masih berjalan seperti biasa dan penutupan kampus tidak berlaku sebagaimana yang diwar-warkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

3. Situasi terkini menunjukkan tiga buah kampus UMS yang merangkumi Kampus Tetap di Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan berada dalam zon selamat dan amat terkawal.

4. Pihak UMS sentiasa berhubung dari masa ke semasa, dengan pasukan keselamatan untuk mengetahui kondisi sebenar perkembangan terkini. Setiap maklumat secara rasmi akan dikeluarkan pihak universiti dan disebarkan kepada umum menerusi capaian pada laman sesawang rasmi UMS di alamat http://www.ums.edu.my.

5. Justeru itu, saya merasakan para ibu bapa tidak perlu khuatir dengan keselamatan anak-anak mereka, Insya Allah keselamatan pelajar keutamaan kami. Setakat ini pihak keselamatan memberi jaminan bahawa keadaan terkawal memandangkan lokasi ketiga-tiga kampus UMS berada jauh dari zon operasi keselamatan.

6. Sebagai langkah awal meredakan khabar angin, pihak Polis telah mengadakan taklimat keselamatan di Kampus Sandakan pada 04hb Mac 2013 pukul 3.00 petang.

7. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mail:Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. ; tel: 088-320854 dan 088-320855 atau sms ke 014-5566033

 

 

PROF. DATUK DR. MOHD. HARUN ABDULLAH

NAIB CANSELOR

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

logo umsPara Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai Keselamatan siswa siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung isu pencerobohan yang berlaku di kawasan Lahad Datu, Sabah.

Pada ketika ini pihak universiti tidak mempunyai sebarang aktiviti pelajar dan aktiviti penyelidikan di kawasan tersebut. Sehubungan itu, keselamatan semua warga kakitangan serta pelajar adalah terjamin.

Selain kawalan ketat daripada pihak keselamatan negara, jarak sejauh lebih 400 kilometer antara Lahad Datu dengan kampus UMS di Kota Kinabalu turut membolehkan warga UMS terhindar daripada kemelut yang berlaku di Pantai Timur Sabah. Dua kampus cawangan iaitu UMS Cawangan Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan juga selamat dan jauh terhindar daripada ancaman pencerobohan itu.

Walaupun demikian, pihak universiti akan sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan tahap keselamatan di dalam dan sekitar kampus untuk memastikan sesi tutorial dan kuliah terus berjalan dengan lancar dan selamat.

 

BAHAGIAN PERHUBUNGAN KORPORAT

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

 

 

resizeJUMAAT, 01 Mac - Seramai 14 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Korea Selatan baru-baru ini. Lawatan tersebut yang yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) antara lain menyasarkan lima teras objektif iaitu kesarjanaan, kesahsiahan, kokurikulum, kebajikan dan kesepaduan demi menyatukan mahasiswa dan mahahsisiwi UMS yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.

Pegawai pengiring rombongan tersebut, Rohani Hadi berkata, lawatan itu juga bertujuan mengantarabangsakan mahasiswa dan mahasisiwi UMS dengan memberi peluang kepada para MPP untuk mengetahui budaya yang terdapat dalam masyarakat di Korea Selatan.

“Ini juga sebagai penghargaan kepada usaha MPP UMS sesi 2010/2011 di sepanjang pimpinan selama tiga semester sekaligus memberi peluang kepada mereka menimba ilmu dan pengalaman di negara tersebut. Dalam masa yang sama ia membolehkan para pelajar untuk melihat budaya masyarakat di Korea Selatan khususnya dari aspek budaya kerja dan budi bahasa,” katanya.

Tambah beliau, delegasi pelajar itu telah mengunjungi Kedutaan Malaysia dan diberi taklimat mengenai negara berkenaan. Antara yang dimaklumkan termasuklah peranan kedutaan itu sendiri yang sering terlibat dengan aktiviti–aktiviti bersama pelajar–pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Korea Selatan selain merancang program – program yang mempromosikan Malaysia di negara berkenaan.

Beliau yang juga Penolong Pendaftar di Jabatan HEP UMS berkata, rombongan MPP UMS juga telah mengadakan lawatan ke Seoul National University (SNU).

“Melalui lawatan ke universiti ini, pelbagai maklumat telah diperolehi oleh ahli rombongan khususnya yang berkenaan dengan isu pendidikan dan kaitannya dengan kepesatan pembangunan teknologi di negara itu. Di sini minda para pelajar terbuka apabila melihat masyarakatnya yang amat mementingkan pendidikan dengan menetapkan matlamat untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Universiti dan SNU adalah satu-satunya universiti yang menduduki senarai pilihan pertama apatah lagi kedudukannya sebagai antara universiti terbaik dunia,” ujarnya lagi.

Sebelum berangkat balik ke tanah air, delegasi MPP sempat melawat ke Pulau Nami Island yang turut dikenali sebagai Naminara Republic. Lawatan ke pulau yang aktif dalam badan-badan kerja amal itu turut menarik perhatian para peserta rombongan.

“Di pulau ini budaya menyemai amalan membaca diterapkan secara menyeluruh kepada semua pengunjung dengan penyediaan ruangan yang menempatkan buku-buku hasil sumbangan orang awam untuk bacaan para pelancong atau pelawat yang datang. Disamping itu pulau ini turut menganjurkan festival buku kanak-kanak untuk menarik minat membaca di peringkat awal usia,”ujar seorang lagi pegawai pengiring rombongan, Mohd Khairuddin Ahmad.

Katanya, pada kunjungan itu satu pengajaran yang cukup berguna untuk diteladani turut diperolehi para pelajar menerusi penelitian terhadap budaya masyarakat Korea yang mengutamakan nilai ilmu yang sentiasa menggalakkan budaya membaca walaupun dimana sahaja berada.

“Mungkin idea pelaksanaan dari pulau tersebut mampu membantu meningkatkan tahap kesedaran pembacaan di UMS sendiri,” kata Pegawai Kebudayaan di Jabatan Hep itu lagi. Lawatan selama lapan hari itu juga turut diisi dengan sesi dialog antara MPP UMS bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PMK).

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

 

 

uniszaKHAMIS, 28 FEBRUARI 2013 - Terkenal dengan keindahan landskap yang memukau, kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mendapat tumpuan pelawat dari dalam dan luar negara. Hari ini, UMS sekali lagi menerima rombongan seramai 21 orang pelawat dari Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Rombongan tersebut diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed dan disertai oleh Dekan dan Timbalan Dekan fakulti tersebut serta beberapa kakitangan pentadbiran.

Menurut Prof. Dr. Amran Ahmed, kunjungan rombongan tersebut diharap dapat menjalinkan hubungan baik di antara kedua-dua universiti agar dapat saling bertukar idea untuk pembangunan universiti.

Antara pengisian lawatan itu termasuklah melawat ke Akuarium dan Muzium Marin di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), serta kunjungan ke Muzium UMS selain taklimat mengenai kampus universiti tersebut.

Hadir sama menyambut rombongan itu, Pengarah Pusat Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mahmud Sudin dan Timbalan Pendaftar di Jabatan Pendaftar UMS, Norti Hj. Sirin. Mereka turut menyampaikan taklimat universiti kepada rombongan UniSZA.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK

 

 

 

ISFPRABU, 27 FEBRUARI 2013 - Program Asasi Pelajar Antarabangsa (ISFP) yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Profesional UMS Link (UCPD) sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan daripada penuntut luar negara.

Terbaru, bertempat di Bangunan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS), seramai 25 orang pelajar dari negara China mendaftar untuk mengikuti kursus jangka singkat bagi program persediaan Bahasa Inggeris.

Menurut Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Pelajar UMS Link, Sheir Musa, sesi pendaftaran yang bermula pukul 9:00 pagi sehingga 12:00 tengah hari itu turut merangkumi pembayaran yuran pengajian, maklumat pertukaran wang pelajar serta taklimat dan pengenalan tentang kampus UMS.

“Kursus pembelajaran akan dijalankan selama enam bulan bermula 1 Mac 2013. Setelah tamat lulus pengajian, pelajar boleh meneruskan pengajian di UMS mengikut kursus yang mereka pilih,” katanya.

Program ISFP dirangka untuk penuntut antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda di setiap institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengantara.

 

Oleh : Faezah Mohamad Dun, BPK