Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif sebagai satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pemimpin organisasi, persatuan, politik, perniagaan, dan eksekutif.

Program ini dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) serta tenaga pakar yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan governan.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan dengan membantu peserta membangunkan kemahiran kepimpinan strategik yang dapat membawa organisasi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Selain itu, program ini juga adalah inisiatif universiti dalam melahirkan pemimpin masa hadapan dengan memupuk kebolehan berfikir secara kritis dan bertindak secara proaktif bagi memastikan kelangsungan organisasi dan persatuan.

“Para peserta juga akan dilatih untuk menjadi pemimpin yang lebih fleksibel dalam menangani pelbagai cabaran dan situasi dalam organisasi mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini menyasarkan peserta dalam kalangan eksekutif tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ketua Pegawai Operasi (COO), dan Pengarah Urusan; Pengurusan Kanan, Pemimpin Pasukan atau Persatuan; Pengarah Lembaga atau Ahli Lembaga Pengarah organisasi; Usahawan atau Pemilik Perniagaan; Pengurus Berprestasi Tinggi yang dikenal pasti berpotensi untuk memegang peranan kepimpinan lebih tinggi; dan Pemimpin Dalam Peralihan yang sedang beralih ke peranan eksekutif baharu.

“Walau bagaimanapun untuk kohort pertama, program ini akan menyasarkan peserta dalam kalangan pemimpin parti – parti politik di seluruh Negeri Sabah.

“Program ini dicadangkan berlangsung selama enam bulan dengan enam modul, di mana setiap modul akan dijalankan sebulan sekali selama dua hari, iaitu 14 jam.

“Namun, bagi pelaksanaan pertama pada tahun 2025, program akan dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.

“Modul-modul yang ditawarkan antaranya Fundamentals of Leadership, Leadership Skills, Navigating Choices: The Art and Science of Leadership Decisions, Conflict Management, Leadership In Diversity: Navigating Multicultural Environments, dan Crisis Managment,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan program ini bolehlah berhubung dengan Jamli Ikhwan di talian 010-8879886, e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pembangunan teknologi negara melalui penyelidikan, inovasi, dan keusahawanan teknologi, khususnya di Sabah.

MoU antara kedua-dua pihak dimeterai dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor memaklumkan, menerusi MoU tersebut UMS dan MTDC akan bekerjasama dalam mempromosikan pengkomersialan dan keusahawanan dalam kalangan penyelidik, pelajar dan alumni UMS, selain akan  menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi tempatan, serta meneroka peluang pelaburan dan pembiayaan bagi syarikat berasaskan teknologi.

“MoU ini juga akan menyokong kerjasama antara akademia dan industri bagi meningkatkan pemindahan teknologi dan kemahiran, serta  bakal memacu jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang lain yang akan dipersetujui bersama.

“Pemeteraian MoU ini adalah titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UMS dan MTDC, dengan tempoh permulaan selama satu tahun.

“Kami berharap agar jalinan ini dapat diperpanjang dan diperluaskan lagi bagi memberikan impak yang lebih besar dalam landskap pengkomersialan dan keusahawanan teknologi di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan menegaskan kolaborasi tersebut akan menjadi platform strategik untuk menghubungkan penyelidik, usahawan, dan industri dalam mempercepatkan pemindahan teknologi serta pengkomersialan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi tempatan.

“Kolaborasi ini dijangka dapat mempercepatkan pengkomersialan inovasi universiti, membangunkan bakat teknousahawan, memperkukuh ekosistem penyelidikan, serta menyokong perkembangan syarikat pemula teknologi (tech startups) dari Sabah ke peringkat global.

“Melalui MoU ini, MTDC dan UMS akan menumpukan usaha untuk mempercepatkan pengkomersialan hasil aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari makmal UMS terus ke industri dan pasaran, di samping meningkatkan kapasiti keusahawanan dalam kalangan pelajar dan penyelidik UMS.

“Ini sekali gus mampu mewujudkan peluang kerjasama antara syarikat pemula teknologi di Sabah dengan ekosistem pembiayaan dan bimbingan MTDC,” katanya.

Mohammad Hazani menambah, UMS sebagai institusi penyelidikan utama di Sabah berpotensi besar untuk membangunkan teknologi berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada industri tempatan dan nasional.

“UMS dilihat sebagai sumber utama aliran tawaran produk dari Sabah untuk inisiatif MySTI.

“Kerjasama ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi di Malaysia Timur serta memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau,” katanya.

Ujar beliau, MTDC optimis MoU tersebut akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara melalui teknologi dan inovasi.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kajian Bencana Alam berhasrat untuk menyelaras dan memperkukuh kerjasama bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) khususnya dalam aspek pengurusan bencana negara.

Perkara itu dinyatakan NDRC ketika menerima kunjungan delegasi NADMA yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Dasar NADMA, Zamakhsari Hanipah baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, satu perbincangan bersama NADMA yang dipengerusikan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau membincangkan hasrat kolaborasi dalam bidang penyelidikan serta program-program yang berkaitan dengan pengurusan bencana negara di peringkat rentas sektoral.

“Kunjungan seumpama ini dilihat dapat menggalakkan kolaborasi pihak akademia serta menerokai persefahaman pintar antara pihak NDRC UMS dengan pihak agensi kerajaan seperti NADMA ke arah memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara,” katanya.

Dalam pada itu, Zamakhsari berkata NADMA menyambut baik hasrat dan cadangan kerjasama di antara NADMA dan UMS.

“Kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi seumpama ini merupakan langkah yang tepat dalam menyokong dasar pengurangan risiko bencana negara 2030.

“Maklumat penyelidikan dan juga program-program pengurangan risiko bencana (DRR) yang dijalankan oleh pihak NDRC UMS akan menjadi rujukan kepada pihak NADMA terutamanya berkaitan pengurusan bencana di peringkat Borneo,” ujar beliau.

Pada kunjungan tersebut, delegasi NADMA turut dibawa melawat Sistem Pemantauan Gempa Bumi, SEISCOMP3 di Makmal NDRC dan diberi penerangan mengenai fungsi teknikal SEISCOMP3 oleh Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

Dalam perkembangan lain, Zamakhsari telah mempengerusikan satu Sesi Perbincangan Awal Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (DRR) di Negeri Sabah yang diselaraskan oleh NADMA di Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah, dan turut dihadiri oleh Carolyn.

Dalam perbincangan tersebut, beliau menjelaskan NADMA telah melancarkan DRR Bencana Negara 2030 di peringkat persekutuan dan akan dilaksanakan di peringkat negeri yang seterusnya akan dipanjangkan di peringkat jabatan-jabatan serta daerah berkaitan.

“Justeru itu, Pelan Strategik DRR di peringkat negeri diperlukan bagi memeterai pelaksanaan Dasar DRR Negara 2030.

“Di peringkat negeri pula usaha ini memerlukan libat urus semua pihak terutamanya antara Kerajaan Negeri Sabah, agensi kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi seperti UMS sebagai pusat rujukan utama di peringkat perancangan dan seterusnya pelaksanaannya.

Dalam perbincangan yang sama, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, JKM Sabah, Mohd. Rizan Abran turut menyambut baik usaha tersebut dan bersedia bekerjasama dengan NDRC UMS dan agensi berkaitan.

Turut hadir dalam sesi perbincangan itu Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, Datuk Mazli Mazlan; Timbalan Pengarah APM Sabah, Leftenan Kolonel (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui; dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Mitigasi NADMA, Siti Mariam Abu.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor menerima kunjungan hormat daripada deligasi Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMY) Indonesia, baru-baru ini.

Delegasi UMY yang diketuai oleh Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sosial dan Sains Politik UMY, Dr. Sugito itu antara lain bertujuan meneroka peluang kerjasama, mobiliti dan penyelidikan di antara kedua-dua universiti.

Pada kunjungan tersebut juga, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS turut mengadakan syarahan bersama UMY yang dihadiri oleh kira-kira 80 pelajar Program Hubungan Antarabangsa UMS.

Syarahan anjuran Program Hubungan Antarabangsa FSSK UMS itu antara lain bertujuan melihat potensi kerjasama strategik Malaysia-Indonesia dalam menangani cabaran politik antarabangsa.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Dekan FSSK UMS, Dr. Asmady Idris di Kota Kinabalu. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan (Akademik) FSSK, Dr. Fauzi Sarjono.

Menurut Asmady, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja terjalin dalam konteks diplomatik dan ekonomi tetapi juga dalam bidang akademik dan penyelidkan.

“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi seperti UMS dan UMY memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau, memupuk kefahaman yang lebih mendalam mengenai isu politik antarabangsaserta menyumbang kepada pembangunan ilmu yang lebih lestari.

“Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh cabaran, kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani pelbagai isu geopolitik dan hubungan antarabangsa menjadi semakin relevan.

“Forum ilmiah seperti ini membuka ruang perbincangan yang produktif dalam memahami dan mencari solusi kepada cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara dan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Asmady, Kementerian Pendidikan Tinggi amat menggalakkan usaha memperbanyak kerjasama akademik antara universiti di ASEAN bersempena kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi di rantau ini tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan wacana akademik yang lebih inklusif dan strategik.

“Saya yakin bahawa syarahan bersama ini bukan sahaja akan memberikan manfaat akademik, tetapi juga memperkukuh hubungan persahabatan dan jalinan strategik antara kedua-dua institusi kita.

“Saya berharap agar perbincangan yang akan berlangsung hari ini dapat membuahkan idea-idea yang bernas serta mengukuhkan kolaborasi antara para akademik dan mahasiswa dari kedua-dua universiti,” katanya.

Hadir sama, Ketua Program Hubungan Antarabangsa UMS, Suzalie Mohamad serta wakil Persatuan Pelajar Pascasiswazah FSSK (PESAKUMS).

 

Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program Serahan Bantuan Back To School 2025 yang menyasarkan kakitangan asnaf UMS.
 
Menurut kenyataan dari PIUMS, program tersebut bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka.
 
"Sebanyak 57 orang penerima telah menerima bantuan tersebut, yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.
 
"Mereka merupakan anak-anak kepada 33 orang kakitangan UMS, merangkumi kampus Kota Kinabalu dan Sandakan.
 
"Program ini diharap dapat memberi sokongan kepada keluarga asnaf dan memastikan anak-anak mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang diperlukan, dan PIUMS akan terus komited untuk membantu golongan yang memerlukan dalam komuniti kampus," demikian menurut kenyataan dari PIUMS.
 
PIUMS turut mengajak semua kakitangan UMS khususnya untuk bersama-sama membuat caruman zakat di kaunter zakat PIUMS dan memilih Skim Potongan Zakat Berjadual (PZB) yang boleh dilakukan secara dalam talian (melalui sistem HR online UMS) atau secara fizikal (kaunter zakat PIUMS).