Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberi penekanan kepada inovasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMS mempunyai sumber kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu komuniti setempat.

“Usaha ini adalah sejajar dengan langkah pemerkasaan komuniti yang merupakan antara tujuh fokus utama yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun ini.

“Kerjasama strategik antara UMS dan syarikat tempatan, Maha Sawit dalam model penanaman halia misalnya dilihat mampu memberi pendapatan tambahan kepada pelajar-pelajar B40 yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan sulung beliau ke Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan baru-baru ini.

Mustapha menambah, model tersebut sekiranya dilaksanakan mampu membantu pelajar-pelajar dan staf untuk menambah pendapatan mereka.

Terdahulu, Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad ketika menyampaikan taklimat sempena kunjungan tersebut merakamkan penghargaan kepada Mustapha serta rombongan KPT atas keprihatinan dalam memastikan isu pembangunan dewan kuliah pusat baharu di fakulti tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, bangunan dewan kuliah pusat yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada lebih 500 pelajar semasa di samping tambahan pelajar melalui penawaran dua lagi program baharu pada tahun ini iaitu Program Perladangan Kepersisan Pintar dan Program Agro Pelancongan Lestari.

Program lawatan Mustapha bersama rombongan antara lain adalah bertujuan untuk mendapat maklumat awal berhubung isu pembangunan dewan kuliah pusat, meninjau fasiliti kampus di samping menyantuni warga FPL.

Pada sesi lawatan tersebut beliau turut berkesempatan menyempurnakan tanaman anak pokok mangga Chukanan dan kemudian dibawa melihat sendiri operasi harian di Fidlot Lembu Pedaging, FPL.

Mustapha mengakhiri kunjungan dengan sesi beramah mesra dengan pelajar dan bergambar kenangan di lokasi menarik sekitar kampus FPL.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Hj. Gimba dan Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop.

 

Seramai 386 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan Semester 2, Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Bankuasi, Dewan Canselor UMS baru-baru ini.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang pengajian mereka, termasuk 18 pelajar yang meraih Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.0, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik yang dicapai di UMS.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan para pelajar, terutamanya ibu bapa serta tenaga pengajar fakulti.

Beliau turut menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan pelajar sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan usaha gigih para pelajar, tetapi juga dedikasi dan sokongan daripada pensyarah serta ahli keluarga.

“Saya berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dijadikan inspirasi serta pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut, dua wakil pelajar cemerlang, Arman Idlan Haidis dari Program Bioteknologi dan Yvone Tse Iyi Wen dari Program Sains Marin, turut berkongsi pengalaman serta cabaran yang mereka hadapi sepanjang pengajian.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin; dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan, Ts. Dr. Abu Bakar Abd Rahman.

 

Seramai 61 pelajar tahun dua program Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai aktiviti 'On-Site Learning' di Sandakan baru-baru ini.

Pensyarah FKJ, Dr. Asmawan Mohd Sarman memaklumkan, aktiviti tersebut antara lain mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya dan Kompleks Latihan Untuk Orang Kurang Upaya.

“Program lawatan ini bertujuan memperkenalkan konsep 3D, iaitu Sukar (Difficult), Bahaya (Dangerous), dan Kotor (Dirty) dalam industri pembinaan.

“Dengan pengalaman ini, mereka dapat menggambarkan suasana sebenar dalam pelaksanaan projek dan bersedia menghadapi cabaran kerjaya mereka nanti,” katanya.

Pengarah program, Atalarick Firman Syach Suhaini turut berkongsi bahawa aktiviti tersebut memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui interaksi dengan jurutera profesional di tapak pembinaan.

Program tersebut yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bandaraya Sandakan, Babankong Sdn Bhd dan Rigi Development Sdn Bhd. memberi peluang kepada peserta untuk mendapat penerangan dan perkongsian pengalaman sendiri daripada jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan.

Program itu turut melibatkan aktiviti jejak alumni menerusi kehadiran Jurutera JKR Bandaraya Sandakan, Nur Elfira Afifa Mansor dan Azamawi yang merupakan alumni FKJ UMS.

Kedua-dua mereka berkesempatan menyampaikan perkongsian pengalaman dan memberi nasihat kepada pelajar tentang persiapan kerjaya dalam industri pembinaan.

 

Kejohanan Pickleball Junior Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) 2025 membuka tirai kalendar kejohanan pickleball Sabah bagi tahun ini.  

Acara itu dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi HUMS (KKRHUMS) dengan kerjasama Persatuan Pickleball Sabah (Sapa). Menariknya, ini adalah kejohanan pertama di Sabah yang dikhususkan sepenuhnya untuk pemain junior.  

Menurut Presiden Sapa, Julita Akabal, tujuan kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain junior dan menggalakkan pemain baharu untuk terus memupuk minat serta pencapaian dalam sukan ini.  

“Kejohanan ini juga merupakan platform terbaik untuk memberi peluang kepada pemain junior berpengalaman untuk bersaing dalam pertandingan berkualiti tinggi di peringkat tempatan sebagai persediaan menghadapi kejohanan antara negeri dan antarabangsa.  

“Sehubungan itu, kejohanan ini dibahagikan kepada kategori Novice dan Intermediate, untuk menggalakkan pemain baharu dan kurang berpengalaman mendapat pengalaman bersaing tanpa rasa takut ditandingi oleh pemain negeri,” katanya.  

Sementara itu, Pengarah HUMS Profesor Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh, yang hadir menyaksikan majlis penutupan kategori bawah 12 tahun (U12) dan menyampaikan hadiah kepada pemenang, memuji sukan pickleball sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan awam yang penting, terutama bagi golongan muda yang kini berhadapan dengan dua cabaran utama iaitu ketagihan telefon pintar dan obesiti.  

“Saya gembira melihat ramai golongan muda menyertai kejohanan ini dan bangga bahawa untuk sukan yang baru diperkenalkan, terdapat tahap keterlihatan, latihan, dan pertandingan yang begitu tinggi.  

“Saya berharap Sapa dan HUMS akan menganjurkan lebih banyak kejohanan pickleball untuk pemain junior serta pertandingan berkala, dan saya berharap Arena Pickleball UMS suatu hari nanti akan mencapai piawaian kejohanan,” katanya.  

Kejohanan tersebut menampilkan 30 pemain junior berusia antara 7 hingga 17 tahun, mewakili lebih 10 sekolah rendah dan menengah, termasuk dua pemain yang memiliki kewarganegaraan British.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu terus meneroka kerjasama pintar dengan pelbagai agensi bagi mengukuhkan lagi aspek pengurusan bencana alam.

Perkara ini dinyatakan Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus ketika mengalu-alukan lawatan kerja daripada delegasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) yang diketuai Ketua Unit Pengurusan Bencana, Ambika Devi a/p Daran ke UMS baru-baru ini.

Menurut Carolyn, lawatan kerja PSUKPP itu antara lain bertujuan untuk mengenal pasti fungsi dan kajian yang dijalankan oleh NDRC dengan lebih mendalam serta meneroka peluang kolaborasi rentas sektor dalam pengurusan bencana.

“Kami amat mengalu-alukan kunjungan daripada agensi kerajaan serta NGO yang lain seperti pihak PSUKPP yang mampu membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan serta perundingan yang berkaitan dengan pengurusan bencana negara di peringkat rentas sektoral.

“Kunjungan seumpama ini dilihat dapat menggalakkan kolaborasi pihak akademia serta menerokai persefahaman pintar antara pihak NDRC UMS dengan pihak agensi kerajaan negeri seperti PSUKPP ke arah memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, NDRC sememangnya berperanan sebagai pusat tumpuan untuk semua penyelidikan yang berkaitan dengan bencana alam di Sabah.

“Pusat ini juga aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program kesedaran awam terutamanya dalam kesiapsiagaan komuniti terhadap bencana.

“Ini termasuk program memperkasakan perlaksanaan Community-based Disaster Risk Management (CBDRM), iaitu pengurusan risiko bencana yang berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.

Pada sesi kunjungan tersebut, Carolyn berkesempatan memperkenalkan ahli penyelidik NDRC serta pegawai yang hadir dalam lawatan tersebut, antaranya Felo Penyelidik untuk Komunikasi Bencana dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanuasiaan (FSSK) UMS, Dr. Mumamad Ikhram Mohamad Ridzuan; Timbalan Pengarah I, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr.Chai Mui Fatt yang juga merupakan Felo Penyelidik Bersekutu NDRC; dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Pada akhir lawatan tersebut, delegasi seramai 9 orang itu telah dibawa melawat Sistem Pemantauan Gempa Bumi, SEISCOMP3 di Makmal NDRC, Stesen Seismologi Kota Kinabalu (UMS) dan Stesen Tolok Pasang Surut (Tsunami), MET Malaysia di Jeti UMS.

Penerangan mengenai fungsi teknikal SEISCOMP3, Stesen Seismologi dan Tolok Pasang Surut (Tsunami) ini telah disampaikan oleh Dr. Chai Mui Fatt.

Hadir bersama dalam lawatan tersebut Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia PSUKPP, Roziyah Shariff; Ketua Unit Komunikasi Korporat & Inovasi, Saiful Syarizal Yaakob; Ketua Unit Integriti, Mohd Faizal Che Meh; dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Mohd Roshidi Azmi.