Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan dalam Huawei ICT Competition Global Final 2022-2023 yang berlangsung di Shenzhen Bantian Huawei Base, China, baru-baru ini.

UMS diwakili oleh tiga pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Lau Liyi, Ng Chi Yan dan Soh Hiu Man dan dipimpin oleh pensyarah kanan FKI, Dr. Tan Soo Fun.

Selain muncul naib johan, UMS turut menerima anugerah khas ‘Women in Tech’.

Menurut Tan, pengiktirafan ‘Women in Tech’ itu diberikan bertujuan memberi inspirasi kepada peserta wanita untuk terlibat secara aktif dalam inovasi teknologi, menggalakkan pertumbuhan industri ICT serta mempromosikan keterangkuman sosial.

Selain itu katanya pengiktirafan itu bagi menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta mewujudkan masyarakat yang lebih pelbagai serta inklusif.

“Pertandingan yang berakhir pada 27 Mei yang lalu telah menyaksikan penyertaan seramai 120,000 pelajar dari lebih 2,000 universiti dan kolej yang merangkumi 74 negara dan rantau.

“Pencapaian Pasukan UMS dalam pertandingan ini diharap akan memberi inspirasi kepada semua pelajar di samping memberi penekanan pentingnya mempromosi kepelbagaian gender dalam bidang teknologi.

“Dengan dedikasi para peserta, pasukan UMS tidak hanya telah membawa pengiktirafan kepada diri mereka sendiri tetapi juga telah memacu reputasi universiti dan negara di arena global ICT,” katanya.

 

Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan gabungan tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai dalam satu Majlis Jalinan Mesra, baru-baru ini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan satu inisiatif fakulti dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Rekreasi FSSA (KRiS), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar dalam usaha memupuk kerjasama dan saling menyantuni antara satu dengan yang lain.

“Semangat kerjasama yang diterapkan merupakan tonggak utama kejayaan pelaksanaan majlis ini dalam mewujudkan kemeriahan di kalangan pelajar dan kakitangan fakulti.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Majlis Jalinan Mesra FSSA 2023,” katanya.

Bertemakan kelestarian warisan budaya berbilang kaum di Sabah dan Sarawak, majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian oleh kumpulan pelajar FSSA, persembahan nyanyian kumpulan Buskers UMS, serta Pertandingan Gerai Terbaik dan Pakaian Tradisional Tercantik kategori pelajar dan staf.

Turut hadir Pegawai-pegawai Utama, Dekan Fakulti, Pusat, Institut di UMS serta kakitangan akademik, pentadbiran dan pelajar-pelajar dari sembilan program pengajian di FSSA.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science telah mengadakan perbincangan bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi kerjasama strategik berkaitan program pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin ketika menerima kunjungan rombongan lawatan kerja daripada YIM.

Katanya, selain perbincangan kerjasama strategik, U-Science UMS dan YIM turut mengadakan sesi perkongsian maklumat di antara kedua-dua pihak.

“Semasa menerima kunjungan ini, kita telah memberi penerangan tentang usaha-usaha yang dijalankan U-Science termasuk pameran Physics Fest dan IT Project Exhibition yang berlangsung baru-baru ini.

“Dengan kerjasama yang lebih strategik, saya percaya penganjuran program-program untuk membudayakan STEM kepada masyarakat Sabah khususnya boleh dirangka dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, rombongan YIM yang diketuai Ketua Pegawai Operasi YIM, Mohd Rozaidi Abdul Rahman telah menyumbangkan lapan buah alat peranti pintar kepada U-Science.

Sumbangan tersebut telah diterima oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor, yang turut merakamkan penghargaan atas kesudian YIM untuk mengadakan lawatan kerja ke UMS serta pemberian sumbangan peranti tersebut.

“Semoga usaha murni ini dapat dikekalkan bagi membantu meningkatkan pembelajaran sains di Sabah,” ujar beliau.

Hadir sama dalam sesi kunjungan tersebut Eksekutif Kanan YIM, Syaifuldeen Muda; Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; dan dua Pegawai Sains Kanan U-Science, Malcolm Jilimin dan Saidah Mat Salleh.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan mengadakan program Latihan Kawad Pengungsian Bangunan dan Memadam Kebakaran di Kolej Kediaman Lestari UMS di sini, baru-baru ini.

Timbalan Pengetua Kolej Lestari, Borhan Abdul Haya @ Yahya berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai latihan awal kepada semua penghuni kolej kediaman sekiranya berlaku kecemasan dan kebakaran.

“Selain itu, program ini bertujuan sebagai memenuhi keperluan pelaksanaan latihan kebakaran di kolej kediaman sesuai saranan dalam pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Di samping itu, ia juga bagi mengenalpasti sebarang ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam persediaan menghadapi bencana atau sebarang bentuk kecemasan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Borhan, kira-kira 230 penghuni kolej kediaman terlibat dalam program tersebut yang merangkumi pelajar Blok A, Blok B dan Blok C.

“Terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan yang telah membantu menjayakan program ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua jawatankuasa lain yang terlibat iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kolej Kediaman Lestari, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Klinik Rawatan Warga FPL, Felo Kolej Lestari, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman KKLS (JAKMAS) dan syarikat Teamcons Sdn. Bhd.

“Program ini bukanlah yang terakhir dianjurkan malah akan ada banyak program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan diadakan pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Borhan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Penyelia Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan, Chauslim Sunsubin.

Hadir sama, Ketua Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, Alnadine Barri; Penolong Jurutera Kanan UMS Sandakan, Addy Laminit; dan Presiden JAKMAS Kolej Kediaman Lestari Sandakan, Charles Rayner.

 

 

 

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Wilayah Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Bank Rakyat telah mengadakan Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat, di Menara UMSKAL, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata kerjasama tersebut dapat memberi manfaat kepada para usahawan asnaf di sekitar Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, bimbingan dan pantauan khas kepada para usahawan akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah FKAL yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan projek-projek keusahawanan bersama industri.

“Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi UMS berasa amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang dilihat berjaya mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP, Bank Rakyat dan UMSKAL.

“Pada kesempatan ini, FKAL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPZ-MAIWP atas sumbangan tajaan makanan untuk 400 pelajar asnaf di samping sumbangan bank makanan kepada kolej kediaman UMSKAL,” tambahnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Pelancaran Program Jihad Pendidikan @ UMSKAL yang bertujuan memperluas dakwah zakat dalam kalangan pelajar dan pekerja insititusi pendidikan tinggi.

Melalui program ini juga PPZ-MAIWP melalui dana wakalah menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar asnaf UMSKAL dan Food Bank UMSKAL dengan jumlah masing-masing RM14,000 dan RM10,000, menjadikan sumbagan keseluruhan adalah berjumlah RM24,000.

Majlis perasmian Projek Asnafpreneur tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak manakala Jihad Pendidikan dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.