ISNIN, 25 NOVEMBER - Seorang graduan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Jepun mencuri tumpuan kerana kemampuannya untuk fasih berbahasa Melayu dan Dusun.

Fuyuko Iwasaki, 29, yang berasal dari Chiba, Jepun ketika ditemui media memberitahu beliau mula mempelajari bahasa Melayu dan Dusun ketika menjalankan kerja lapangan di Kampung Buayan, Penampang pada tahun 2013 iaitu ketika beliau menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Gakushuin, Tokyo.

“Pada ketika itu saya menetap selama tiga bulan di Kampung Buayan, dan saya terpaksa bergantung kepada kamus bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai rujukan dan panduan untuk berkomunikasi dengan penduduk kampung.

“Dari situ, saya mula perlahan-lahan mempelajari bahasa tersebut dan dalam tempoh tiga bulan itu saya mampu untuk mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan menguasai sedikit bahasa Dusun,” katanya ketika ditemui di sini.

Minat Fuyoko terhadap bahasa Melayu dan Dusun serta etnik Dusun di Sabah mendorong beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi Sosial di UMS pada tahun 2015 dan ketika itu beliau sudah pun mahir berbahasa Melayu dan Dusun.

“Apabila melakukan kerja lapangan di luar bandar, saya akan berbahasa Melayu dan bahasa tempatan untuk berkomunikasi dengan komuniti tempatan, bahkan saya juga menulis tesis dalam bahasa Melayu selepas mendapat tunjuk ajar daripada penyelia saya,” kata Fuyuko.

Tambah Fuyuko, dengan dorongan serta bantuan daripada pihak UMS terutama penyelianya, beliau akhirnya berjaya menamatkan penyelidikannya sekali gus berjaya bergraduat sebagai graduan Ijazah Sarjana Sastera (Sosiologi dan Antropologi).

Fuyuko merupakan salah seorang daripada 123 pelajar antarabangsa UMS yang bergraduat pada tiga hari berlangsungnya Majlis Konvokesyen UMS ke-21 di Dewan Canselor, UMS.

(Artikel disediakan oleh Gelianah Beling dan Rosnah Rahim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

AHAD, 24 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan tempat pengajian yang menjadi penanda aras dalam ketamadunan intelektualisme mahasiswa sekali gus pembekal sumber manusia yang berkualiti untuk negara dan bangsa.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS merupakan tanda aras ketamadunan intelektualisme iaitu di mana para pelajar mempelajari tentang budaya, menghayati ilmu, mencanai minda dan mewarisi sebuah tamadun bangsa.

“24 November 2019 genaplah usia 25 tahun penubuhan UMS dan pelbagai pengalaman sama ada pahit atau manis yang menggembirakan namun berkat komitmen tidak berbelah bahagi daripada warga UMS universiti ini kekal teguh berdiri hingga ke hari ini.

“Sejajar dengan motto keramat UMS iaitu “Bertekad Cemerlang” yang bererti tekad inilah para pelajar UMS mampu merealisasikan dengan beberapa kecemerlangan yang selama ini ingin dikecapi,” katanya dalam ucapan pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS ke-21 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS, kelmarin.

Datuk Taufiq Yap menambah, UMS merupakan universiti yang unggul dengan membudayakan kecemerlangan bukan sahaja dari segi kokurikulum, bahkan lebih cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan.

“Ini dibuktikan dengan pencapaian UMS mendapatkan kedudukan 801-1000 universiti terbaik di dunia oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings dan pencapaian ini merupakan kejayaan buat seluruh warga UMS.

“Pencapaian daripada para penyelidik UMS turut menyerlah dalam pertandingan penyelidikan peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun ini seperti Pertandingan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA 2019), UMS telah memenangi lima pingat Emas, lima pingat Perak, dan dua pingat Gangsa,” kata Datuk Taufiq Yap.

Pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS, Datuk Taufiq Yap menyampaikan skrol ijazah kepada 820 graduan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan.

(Artikel disediakan oleh Al Hidayah Awang, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

 

AHAD, 24 NOVEMBER - Biarpun mengalami masalah kesihatan dalam tempoh menamatkan pengajiannya, graduan Ijazah Doktor Falsafah Juraidah Manggul merupakan antara penerima skrol pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-21 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS kelmarin.

Juraidah yang menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Pendidikan ini berdepan dengan cabaran untuk menyiapkan tugasannya apabila beliau mengalami serangan strok lumpuh separuh badan semasa dalam tempoh pengajian.

Katanya, pembuluh darahnya juga pecah dan darah terus memenuhi otak sebelah kanannya.

“Tetapi berkat sokongan penuh daripada penyelia saya, Dr. Mohd Khairuddin @ Jerry Abdullah yang sentiasa mengunjungi saya di Labuan sehingga saya berjaya menyiapkan tesis, saya terus menguatkan semangat untuk meneruskan pengajian dan akhirnya mendapat PhD.

“Pengaruh orang-orang hebatbdi sekeliling juga menjadi penguat buat saya untuk membuktikan bahawa masalah kesihatan yang dialami ini bukan menjadi penghalang untuk saya mengecapi kejayaan,” katanya.

Berkaitan kesihatan dirinya pada ketika ini, beliau berkata sehingga kini rawatan terhadap masalah kesihatan yang dialaminya masih diteruskan selain turut menjalankan pelbagai kaedah rawatan lain seperti rawatan urutan yang dilakukan di Labuan.

Juraidah merupakan antara 71 graduan Ijazah Doktor Falsafah yang menerima skrol daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

(Artikel disediakan oleh Nur Syazana Ladin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

SABTU, 23 NOVEMBER: Graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Muzik, Agnes Ku Chun Moi tidak menjadikan faktor usia sebagai penghalang dalam hidup untuk mengecapi kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Berusia 73 tahun, anak jati dari Membakut, Sabah yang juga merupakan pensyarah separuh masa dalam program Seni Muzik (HA05) di UMS menjadikan anak didiknya dalam program Seni Muzik, Fakulti Kemanusiaan, Seni danWarisan (FKSW) sebagai pendorong beliau untuk lebih maju ke hadapan.

“Pelajar-pelajar Seni Muzik inilah penguat hati saya dalam menamatkan pengajian ini di samping melihat rakan sekerja yang turut bersama-sama menamatkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Saya amat bersyukur dapat menamatkan pengajian walaupun mengambil masa enam tahun, iaitu sejak 2013 untuk menamatkan pengajian,” katanya.

Agnes turut berpesan kepada para pelajar UMS agar lebih bekerja keras dan sentiasa berhubung dengan mana-mana pensyarah untuk mendapatkan pandangan atau pendapat yang lebih tepat.

“Saya sentiasa mengingatkan mereka untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu tugasan yang diberikan dan berjumpa dengan pensyarah bagi mendapatkan lebih kefahaman terhadap sesuatu perkara,” ujar Agnes.

Agnes merupakan antara 538 graduan yang menerima Ijazah PhD, Ijazah Sarjana, Diploma Pascasiswazah dan Ijazah Sarjana Muda yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-21 di Dewan Canselor UMS.

(Artikel disediakan oleh Cik Rickfonylin Podirik, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)

SABTU, 23 NOVEMBER - Para graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi tonggak kekuatan dan cerminan kepada perkara yang bakal berlaku kepada negara pada masa hadapan.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seru Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin berkata sedemikian kerana generasi lama bakal pergi dan akan meninggalkan generasi baru sebagai pewaris dan penerus kepada kegemilangan kepada bangsa dan negara.

“Sebagai bakal pemimpin kepada negara ini, para graduan haruslah peka dengan perubahan semasa.

“Jadilah individu yang positif dan berintegriti, dan dengan sikap yang utuh dan kental ini para graduan akan mampu untuk meneruskan kegemilangan negara Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMS ke-21, hari ini.

Tambah beliau, ilmu sangat penting kepada masyarakat kerana individu yang mencari ilmu akan dipandang setinggi-tingginya sejak zaman berzaman serta menjadi rujukan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Berlangsung di Dewan Canselor UMS, acara pengurniaan ijazah berlangsung dalam enam sidang, dengan Tun Juhar merasmikan majlis pada sidang pertama dan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Diploma Pascasiswazah kepada 538 graduan.

(Artikel disediakan oleh Maxwell Atan Hillary Saing, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi FKSW)