JUMAAT, 27 SEPTEMBER - Sebuah Bicara Buku diadakan di Ruang Santai Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini dalam usaha ke arah memperkenalkan karya baharu kepada masyarakat di samping mendapatkan maklum balas daripada pembaca terhadap karya buku berkenaan.

Pada program itu, buku bertajuk Mediasi Dalam Perkembangan Novel Sabah tulisan Pengarah Penerbit UMS, Prof Madya Dr. Asmiaty Ahmad telah diulas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul di hadapan pelajar Tahun 2 Program Komunikasi dan Program Seni Kreatif, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Menurut Dr. Ramzah, mediasi bermakna perantara atau faktor yang menjadi pemangkin atau pengubah  kepada penghasilan sesuatu karya.

“Pensejarahan novel di Sabah memperlihatkan mediasi sosiobudaya, konvensi, institusi dan ideologi sebagai pemangkin perkembangan penghasilan novel sejak tahun 1970-an.

“Mediasi ekonomi hanya diperlihatkan pada sekitar tahun 1960-an melalui beberapa karya antaranya karya K Bali berjudul Bogel / Sarini dan Bulan Muda hati Muda,” katanya pada majlis itu yang diadakan sempena Pesta Buku UMS 2019.

Dr. Ramzah berkata, penulis novel Sabah sangat langka dalam membicarakan isu sensitif seperti kebergantungan ekonomi sabah terhadap warga luar.

“Selain itu penulis Sabah masih berkarya dalam ruang lingkup selesa tanpa berani mengutarakan isu-isu sensitif seperti hak orang asal, isu sosial seperti pelacuran sebagaimana yang pernah dikupas oleh Sasterawan Negara A Samad Said dalam masyarakat di Tanah Melayu menerusi novel Salina sekitar tahun 1970-an.

“Realiti kehidupan masyarakat di Sabah tidak dikupas secara tuntas oleh kebanyakan pengkarya berkemungkinan disebabkan oleh latar budaya,” jelasnya yang turut menyeru penulis untuk meneruskan kritikan terhadap perkembangan persuratan dalam era digital yang serba mencabar. 

Bagi yang berminat, Buku Mediasi Dalam Perkembangan Novel di Sabah boleh didapati menerusi kedai buku UMS dengan harga RM50. 

 

KHAMIS, 26 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin mengajak seluruh warga universiti untuk terus bersama-sama ke arah membentuk masa depan UMS yang lebih baik.

Menurutnya, perkara itu perlu dilaksanakan tanpa menoleh ke belakang seiring dengan slogan UMS iaitu Bertekad Cemerlang.

“Setiap ketua di peringkat jabatan masing-masing juga perlu berbincang dengan kakitangan dan menunjukkan ke mana hala tuju yang perlu dicapai.

“Ikhlaskan hati kita menyumbang kepada universiti dan beri tumpuan yang sebaiknya kepada kejayaan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program “In Person With...” Yang Berbahagia Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah sempena Hari Pentadbir Peringkat UMS 2019.

Program anjuran Persatuan Pegawai Pengurusan Profesiona(PPUMS) itu berlangsung di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS, kelmarin.

Prof. Datuk Dr. Taufiq berkata, nilai-nilai murni juga perlu diterapkan dan diabadikan dalam kehidupan sebagai inspirasi dalam menjalankan tugas di UMS dengan lebih baik.

“Saya harap kita akan bergerak maju bersama dengan pimpinan universiti dengan menghindari sikap-sikap tidak baik seperti memburuk-burukkan orang lain tetapi binalah tabiat yang terbaik untuk sama-sama memajukan UMS,” ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden PPUMS, Mohamad Edrus Othman; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; dan Ketua Pustakawan UMS, Haji Zawawi Tiyunin.

SELASA, 24 SEPTEMBER - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani satu Surat Niat (LoI) bersama The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), kelmarin.

Upacara menandatangani kerjasama tersebut menyaksikan UMS diwakili Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin manakala CILTM diwakili Pengerusinya, Siti Noraishah Azizan.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan kira-kira 100 warga FPEP bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1 UMS.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Raman berkata, LoI itu merangkumi kerjasama dalam mengenal pasti dan meneroka pembangunan yang berpotensi dalam kemajuan sektor logistik dan pengangkutan di Sabah.

Ujar beliau, UMS dan CILTM juga akan bekerjasama dalam penyebaran pengetahuan dan pendidikan dengan menganjurkan acara, aktiviti, seminar dan kuliah.

“Antaranya termasuklah memajukan peruntukan pensijilan profesional berkaitan logistik terutamanya CILT Professional Qualifying Examination (PQE) CILTM.

“Kerjasama ini juga membolehkan pengembangan sumber data UMS berkaitan logistik di Sabah sebagai rujukan bagi tujuan aktiviti akademik,” tambahnya lagi.

Dr. Raman turut berterima kasih atas LoI yang dijalinkan dan berharap ia akan membawa kepada  permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua belah pihak pada masa akan datang.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Program Perniagaan Antarabangsa, Dr. Sidah Idris dan Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Ariff Kamisan Pusiran.

ISNIN, 23 SEPTEMBER - Pasukan Robotik Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai pemenang tempat ketiga pada kejohanan University Robot Competitions: Kingdom of Champions (U-ROCK 2019) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) di Arau, Perlis pada 21 – 22 September 2019.

Pasukan UMS telah memberikan saingan sengit terhadap 28 pasukan yang bertanding sekali gus berjaya meraih hadiah berupa wang RM1,500, piala dan sijil penyertaan.

Kejayaan tersebut diterjemahkan oleh pelajar tahun 2 Fakulti Kejuruteraan yang dibarisi oleh Tiong Lin Rui, Ong Tun Yau, Nur Faeza Farhana Anggu, Mohd Nur Syafiq Noor, Rahmat Hidayat Arifai, Lee Kin Wai, Soh Chia Seng dan Stanley Ka.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian yang disifatkannya amat memberangsangkan apatah lagi ia merupakan penyertaan buat julung kalinya dalam pertandingan tersebut.

“Kejayaan ini sudah pasti memberi dorongan dan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meraih pelbagai kejayaan lain pada masa akan datang.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pelajar serta Penyelaras Projek, Prof. Madya Ir. Dr. Muralindran Mariappan dan Pengurus Pasukan, Dr. Khong Wei Leong atas usaha dan tungkus-lumus bagi menzahirkan pencapaian yang membanggakan ini,” katanya.

Kejohanan selama dua hari itu itu menyaksikan pasukan UNIMAP A dan UNIMAP B masing-masing muncul sebagai johan dan naib johan.


RABU, 25 SEPT - Pusat Pengurusan EcoCampus (EcoCampus) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah proaktif mengatasi masalah pencemaran plastik dengan menggunakan cara Kitar Semula Tambah Nilai dalam menyahut tuntutan model Ekonomi Pekeliling.

Ekonomi Pekeliling merupakan model ekonomi di mana nilai produk dan bahan dikekalkan dalam pasaran selama yang mungkin menerusi penambahan dan pembaharuan nilai produk dan bahan tanpa pembuangan sisa mahupun penghasilan semula bahan asas.

Langkah proaktif tersebut merupakan kerjasama diantara pihak EcoCampus UMS bersama Persatuan Farmasi Sabah (SPS) serta rakan industri, Upcycled Shack.

Menurut Timbalan Pengarah EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee, sepasukan pelajar UMS telah berjaya menjalankan projek ‘upcycling’ sisa plastik sekali guna untuk dijadikan medal sebagai saguhati sempena acara World Pharmacists Day 2019 Plog Run yang akan diadakan pada 28 September 2019 di Taman Teluk Likas.

Tambah beliau, projek yang bermula pada bulan Jun lalu itu telah mengumpulkan lebih 350 bekas plastik sekali guna (kod 6) dan daripada jumlah tersebut mereka berjaya menghasilkan 300 keping medal melalui proses pembakaran dalam ketuhar.

“Kejayaan projek ekonomi pekeliling menggunakan cara Kitar Semula Tambah Nilai yang julung kali direalisasikan oleh UMS ini amat bermakna dan penting sebagai titik tolak dalam merancakkan projek seumpama itu pada masa akan datang dengan merangkumi skop penglibatan dan impak sosial yang lebih besar,”ujarnya pada Majlis Penyerahan Bahan Kitar Semula Tambah Nilai itu, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Presiden SPS, Hiew Chui Li berkata, pembelian 300 keping medal daripada Kumpulan Pelajar EcoCampus UMS itu akan menjadi satu kelainan pada acara larian anjuran SPS memandangkan corak dan reka bentuk medal tersebut merupakan idea asal kumpulan pelajar berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi UMS), Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan Pengurus Upcycled Shack, Tressie Yap. 

Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah turut menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM 900 yang diserahkan kepada Kumpulan Pelajar EcoCampus UMS oleh SPS.