RABU, 18 DISEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut sama menjayakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai yang telah diadakan di Jabatan Pesakit Luar, Hospital Pitas baru-baru ini.
Program anjuran Hospital Pitas dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Perubatan Sabah (PERKIPS) itu merupakan acara tahunan PERKIPS untuk aktiviti berkhatan kanak-kanak di daerah Pitas, dengan acara tahun ini melibatkan pakar-pakar bedah dan pegawai-pegawai perubatan yang dijemput khas daripada Jabatan Pembedahan Am, Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan FPSK.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) FPSK UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd. Hayati yang merupakan salah seorang wakil dari FPSK menyertai program tersebut, program tersebut diadakan untuk memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat melalui aktiviti kemasyarakatan seperti berkhatan yang dilakukan secara percuma terutama kepada pelajar sekolah.
“Dalam program ini turut diadakan ceramah Continuous Medical Education (CME) dan aktiviti Credential and Priviledging (C&P) kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan di hospital dan klinik kesihatan di sekitar daerah Pitas, yang bertujuan untuk memberikan maklumat yang tepat tentang teknik berkhatan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kebanyakan komplikasi seperti pendarahan dan jangkitan kuman adalah disebabkan oleh teknik dan prosedur yang tidak menepati garis panduan, justeru dengan adanya aktiviti ini, kita harapkan Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan di daerah Pitas dapat melakukan prosedur dengan selamat dan komplikasi berkhatan dapat dielakkan” ujar Dr. Mohd Firdaus.
Majlis berkhatan tersebut telah disertai oleh 60 kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, dan turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Pitas, Dr. Gerald Marcus dan Pengerusi PERKIPS cawangan Pitas, Awang Nasran Harun.



SELASA, 17 DISEMBER – Negara Malaysia mempunyai potensi besar sebagai sebuah negara maritim dari aspek perkembangan ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
SELASA, 17 DISEMBER - Seramai 25 peserta terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Ketua Jabatan, dan Pegawai Pengurusan dan Profesional Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengikuti retreat Pelan Strategik Tahun 2020 anjuran fakulti itu bertempat di Mesilou, Kundasang, baru-baru ini.
ISNIN, 16 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar satu lagi sejarah apabila menubuhkan Institut Confucius (CI) iaitu sebuah institut bahasa Mandarin yang pertama di Borneo.
JUMAAT, 13 DISEMBER – Seramai 48 pelajar Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program komuniti “Mahasiswa Perintis Komuniti Sejahtera” di Kampung Tinangol, Kudat baru-baru ini.