SELASA, 6 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi konvensyen 1st  Malaysian Universities National Convention (MUNCH) 2019 buat julung kalinya yang diadakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS bermula kelmarin.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 140 peserta yang mewakili Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi 20 Universiti Awam di Malaysia, selain penyertaan wakil dari hospital dan agensi swasta.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, konvensyen ini diharap akan dapat mengumpul dan menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan bidang kesihatan secara optimum agar dapat memanfaatkan peserta dan PKU yang diwakili.

“Penyebaran pengetahuan berkaitan isu-isu semasa dalam bidang kesihatan khususnya di Universiti Awam akan disusun semula oleh ahli-ahli profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi manfaat kepada kampus universiti secara keseluruhannya.

“Kemajuan dalam penyediaan penjagaan kesihatan di universiti sering memerlukan perubahan minda, yakni minda inovatif yang sanggup memecahkan halangan yang menyekat kemajuan tidak kira sama ada anda ahli akademik atau penyedia penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian konvensyen tersebut, yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul di Auditorium FPSK.

Justeru menurut Prof. Dr. Taufiq, penganjuran konvensyen ini adalah tepat pada masanya dalam membantu  memfokuskan dan menyusun semula objektif bagi memastikan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan mengekalkan kesihatan optimum bagi semua warga universiti.

“Dengan menggabungkan usaha pelbagai disiplin dari universiti yang berlainan, kita dapat belajar dari pengalaman dan pencapaian masing-masing, serta meningkatkan standard dan kualiti penjagaan kesihatan kepada warga universiti,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital UMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang; Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia, Prof. Dr. Durrishah Idrus; dan pengerusi penganjur konvensyen, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

JUMAAT, 2 OGOS – Pusat Perakaunan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Seminar Penyelidikan Perakaunan Edisi Ketiga yang berlangsung di Bilik Seminar MBA, FPEP baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Pusat Perakaunan UMS, seminar yang disertai seramai 20 peserta itu antara lain bertujuan untuk memberi ruang kepada kakitangan akademik UMS dalam bidang perakaunan untuk membentangkan hasil penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan.

“Penyertaan seminar ini juga melibatkan pembentang dan peserta daripada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, selain pelajar pascasiswazah UMS sendiri.

“Sejumlah 12 kertas kerja dibentangkan oleh kakitangan akademik dan pelajar yang menyertai seminar tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Seminar tersebut juga memberi peluang kepada para peserta seminar untuk bertukar pandangan selain membuat jaringan di dalam bidang penyelidikan perakaunan.

Hadir sama Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Pusat Perakaunan UMS, Jainurin Justine.

 

KHAMIS, 1 OGOS -  Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, 51, akan meneruskan dasar universiti itu dengan berbekalkan pengalaman sedia ada.

Prof. Dr. Taufiq Yap berkata beliau juga akan membawa idea-idea baharu, bagi menambah baik dasar yang telah dilaksanakan demi kemajuan UMS.

Katanya, perancangan awal beliau ialah meningkatkan 'keterlihatan' UMS untuk bukan hanya terkenal di Sabah, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kita berbangga UMS telah bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), namun tumpuan saya terarah kepada meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan IR4.0,” katanya di majlis serah terima tugas daripada bekas Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin kelmarin.

Majlis disaksikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K.Y. Mustafa.

Berasal dari Kota Kinabalu Taufiq Yap berkata, beliau bersama pasukan UMS akan bekerjasama, khususnya dengan pihak industri di Sabah dan antarabangsa agar dapat memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu Datuk Dr Yusof dalam sidang medianya melahirkan penghargaan kepada Datuk Dr. D Kamarudin atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UMS.

Beliau berkata peralihan tugas merupakan proses biasa, agar pendekatan baharu akan dapat menghasilkan mahasiswa lebih berkualiti.

"Selain bekerjasama dalam IR4.0, kita juga mahu UMS menjadi pusat penyelidikan terunggul di Sabah kerana negeri kita kaya dengan flora dan fauna," katanya.

Sementara itu K.Y. dalam satu kenyataan berkata beliau yakin berdasarkan pengalaman dan pencapaian Taufiq Yap, kecemerlangan universiti semasa di bawah legasi kepimpinan bekas naib canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin serta naib-naib canselor terdahulu akan berterusan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan pengalaman yang dimiliki beliau (Taufiq Yap) akan memacu kecemerlangan universiti ini di persada nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek, termasuk merealisasikan agenda UMS menghasilkan graduan ‘future-proof' demi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Saya bagi pihak warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini,” katanya.

K.Y. juga turut melahirkan penghargaan kepada Dr D Kamarudin atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS sepanjang menggalas amanah selaku Naib Canselor sejak Jun 2017 hingga Julai 2019. 

Katanya  Dr D Kamarudin telah menunjukkan kepimpinan yang baik dengan pelbagai pencapaian termasuk berjaya membawa universiti ini buat pertama kalinya tersenarai di dalam QS World Ranking 2020 sebagai 1,000 universiti terbaik dunia.

Sumber: BERNAMA

KHAMIS, 1 OGOS - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), K Y Mustafa  (gambar) mengalu-alukan pelantikan Naib Canselor UMS yang baharu, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang dilantik menjawat jawatan itu berkuatkuasa pada 30 Julai 2019.

Katanya, berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian Prof Dr Taufiq, beliau yakin kecemerlangan universiti semasa di bawah legasi kepimpinan Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta Naib-naib Canselor terdahulu akan terus berkesinambungan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan pengalaman yang dimiliki  beliau mampu memacu kecemerlangan universiti ini di persada nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek, termasuk dalam merealisasikan agenda UMS untuk menghasilkan graduan future-proof demi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Saya bagi pihak warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

K Y turut merakamkan penghargaan kepada Prof. Datuk Dr. Kamarudin, atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS sepanjang menggalas amanah selaku Naib Canselor dari Jun 2017 hingga Julai 2019.

“Prof. Datuk Dr. Kamarudin telah menunjukkan kepimpinan yang baik dengan pelbagai pencapaian termasuk berjaya membawa universiti ini buat pertama kalinya tersenarai di dalam QS World Ranking 2020 sebagai 1,000 universiti terbaik dunia.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya, dan semoga sukses selalu,” katanya.

Untuk rekod, pelantikan Prof Dr Taufiq telah diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 27 Julai dan akan berkuatkuasa selama tiga tahun hingga 29 Julai 2022.

Berasal dari Kota Kinabalu Sabah, Prof. Dr. Taufiq, 51, merupakan Profesor di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memperoleh Ijazah Kedoktoran dari University of Manchester Institute of Science and Technology,United Kingdom dalam bidang Heterogeneous Catalysis.

Beliau terlibat aktif dalam pelbagai penulisan jurnal akademik, konferens dan prosiding serta mempunyai jaringan kolaboratif yang luas di peringkat antarabangsa dan pernah dilantik sebagai Felo di The Royal Society of Chemistry, United Kingdom pada tahun 2008 dan Visiting Researcher/Professor di beberapa universiti terkemuka luar negara.

 

 

ISNIN, 29 JULAI – Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari telah berpeluang menyertai 6th World Congress on Positive Psychology yang diadakan di Melbourne Convention and Exhibition Centre, Melbourne, Victoria, Australia baru-baru ini.

Menurut beliau, kongres anjuran International Positive Psychology Association (IPPA) ini disertai lebih daripada 6,000 peserta yang datang dari 50 negara di seluruh dunia.

“Kongres ini telah menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai, antaranya ialah ingin memperlihatkan kepada dunia mengenai sains dan amalan terkini dalam bidang psikologi positif yang telah dibentangkan oleh para pengkaji dari seluruh dunia, selain menjadi satu platform untuk berinteraksi dan menjalinkan kerjasama antara cendekiawan, pengamal, pemimpin, ahli perniagaan, sekolah dan juga para pelajar.

“Dalam kongres ini juga, saya telah membentangkan hasil kajian bertajuk Subjective Happiness Among People with Physical Disabilities in Malaysia,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris Bullare, penyertaan dalam kongres ini sangat bermakna bagi beliau kerana dapat bersua muka dengan penceramah jemputan yang terdiri daripada beberapa orang tokoh yang terkenal dalam bidang psikologi positif seperti Profesor Martin Seligman, Profesor Barbara Fredrickson, Profesor Sonja Lyubomirsky, Profesor Michael Steger, Profesor Judith Moskowitz, Profesor James Pawelski, Profesor Roy Baumeister, Profesor Kim Cameron, dan Profesor Robert Vallerand,

“Saya berpeluang mendengar secara langsung tokoh-tokoh ini membentangkan hasil kajian mereka di sesi Plenari dan mendapat banyak input daripada pembentangan mereka mengenai bidang psikologi positif.

“Peluang yang diperoleh tidak akan disia-siakan dan akan saya manfaatkan untuk perkongsian maklumat yang diperolehi dengan rakan pensyarah dan para pelajar,” ujar beliau.