SELASA, 7 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Sukan,  Rekreasi dan Libatsama Masyarakat (KARIB),  Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) menyalurkan bantuan bernilai RM6,000 kepada mangsa banjir di Kota Marudu dan Pitas baru-baru ini.

Menurut pengerusi misi bantuan itu, Budi Anto Mohd Tamring, bantuan terdiri daripada beras, milo, makanan tin, biskut selain sumbangan pakaian dan barangan kegunaan harian.

“Kita telah mengagihkan lebih 100 bungkusan kepada mangsa banjir di Kampung Kuranji dan Kampung  Beliajung, Kota Marudu.

“Di daerah Pitas, bantuan diserahkan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya ketika dihubungi media.

Budi berkata, derma tersebut diperoleh melalui pusat pengumpulan sumbangan dan derma banjir yang dianjurkan KARIB PPIB sebagai langkah membantu masyarakat Kota Marudu dan Pitas yang terjejas.

“Saya berterima kasih kepada semua warga UMS yang tampil memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik ini. Sumbangan yang diberikan sudah pastinya akan mendapat balasan daripada Allah S.W.T.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Dekan PPIB UMS yang juga ketua rombongan, Prof. Madya Dr. Jualang @  Azlan Gansau serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi ini berjalan dengan lancar,” tambah beliau.

 

SELASA, 7 FEBRUARI – Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing bagi mendepani cabaran semasa universiti.

Pendaftar UMS, No’man Ahmad berkata, cabaran kewangan yang dihadapi setiap universiti awam pada masa kini tidak memungkinkan universiti untuk mendapatkan waran perjawatan baru, justeru tenaga yang sedia ada diperlukan bagi melaksanakan pelbagai tugas di peringkat  jabatan dan fakulti.

“Kakitangan harus bersedia untuk melaksanakan pelbagai tugasan, dan tidak mengkhusus kepada satu tugas atau mengikut tugas skim jawatan masing-masing.

“Keperluan terhadap kepelbagaian bidang tugas dan kemahiran ini sememangnya amat dititik beratkan oleh pengurusan universiti,” katanya.

No’man berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Meraikan dan Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Pentadbiran (Kumpulan Pelaksana) di Galeri Majlis, UMS.

Menurut beliau, selain kemahiran, jawatankuasa pemilih kenaikan pangkat juga melaksanakan penilaian berterusan terhadap aspek pengetahuan dan kompetensi kakitangan bagi memilih calon yang layak dan berkualiti.

Seramai 49 kakitangan dari 22 skim jawatan menerima surat tawaran kenaikan pangkat, yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada majlis tersebut.

Turut hadir Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Ketua Bahagian Sumber Manusia, Luqman Ridha Anwar.

ISNIN, 6 FEBRUARI – Program Malaysian Professional Prospect Convention (MyProspec) anjuran  Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kelab Rakan Pustaka UMS dan Syarikat Youth Challenge (YC) baru-baru ini mampu membantu dalam membangunkan potensi diri belia tempatan dalam memilih kerjaya yang akan diceburi kelak.

Ketua Penerangan Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, program MyProspec bertujuan untuk memberi idea dan inisiatif dalam membangunkan potensi diri dan minat pelajar Asasi dan Matrikulasi berkaitan kerjaya pada masa hadapan serta mengasah bakat kepimpinan peserta.

“Program seperti ini mampu mempersiapkan para graduan dengan ilmu pengetahuan agar bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam menempuhi realiti kehidupan yang serba mencabar pada masa kini demi membina masa depan yang cerah.

“Diharapkan melalui program ini para peserta mampu mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh serta dapat membuka minda agar berfikiran jauh, kreatif dan kritis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan MyProspec di Auditorium Perpustakaan UMS.

Beliau turut memuji semangat dan kerjasama yang diberikan oleh lebih 50 orang sukarelawan di bawah Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia dari seluruh Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang turut terlibat dalam menjayakan program ini.

“Syabas diucapkan kepada para sukarelawan ini yang melibatkan diri dalam program sebegini demi melakukan perubahan positif dalam kalangan belia pada zaman yang serba mencabar ini,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta terbaik program tersebut kepada Muhammad Hafiz Awang Arsat bagi peserta terbaik lelaki, dan Fira Amidah A. Amir bagi peserta terbaik perempuan.

Program yang berlangsung selama sehari itu disertai lebih 100 orang peserta lepasan SPM, pelajar sekolah menengah dan pelajar matrikulasi dari beberapa sekolah menengah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Badin, Sekolah Menengah Sains Labuan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort, dan beberapa sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

 

JUMAAT, 3 FEBRUARI - Semua kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurut Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj Ahmad, peluang pekerjaan yang diberikan oleh pihak pengurusan universiti kepada semua kakitangan seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin.

“Sebagai kakitangan UMS yang dilantik, tanggungjawab kerja yang diberikan adalah sama rata, tidak kira seseorang itu berstatus jawatan tetap atau kontrak. Secara asasnya, peranan kerja antara semua kakitangan adalah sesuai mengikut jawatan masing-masing.

“Justeru, amanah yang dipikul dalam menjalankan tanggungjawab tidak seharusnya dicurangi dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah,” ujarnya.

No’man berkata demikian ketika berucap dihadapan kira-kira 250 kakitangan kumpulan pelaksana lantikan kontrak UMS di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) pagi tadi.

Beliau turut menasihatkan kakitangan lantikan kontrak agar sentiasa memastikan prestasi kerja mereka berada di tahap optimum.

“Kekangan belanjawan negara dan universiti mengkehendaki pihak pengurusan untuk mengkaji dan meneliti semula perjawatan kakitangan lantikan kontrak.

“Kita akan berusaha untuk mengekalkan kakitangan sedia ada meskipun berdepan cabaran dari segi kewangan untuk pembayaran gaji kakitangan,” tambah No’man.

Perjumpaan itu turut diikuti secara siaran langsung oleh kakitangan Fakulti Pertanian Lestari, Kampus Antarabangsa Labuan dan Pusat Perubatan Sikuati Kudat FPSK melalui ‘video conference’.

 

 

 

JUMAAT, 3 FEBRUARI - Seramai 80 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja (MPKFM) yang berlangsung di Dewan Auditorium Mini, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS baru-baru ini.

Ketua Kluster MPKFM UMS, Hasmi Hashim berkata, fokus utama bengkel itu adalah untuk memberi ruang kepada semua Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) di UMS menyeragamkan Manual Prosedur Kerja (MPK) masing-masing menggunakan acuan yang digunapakai oleh universiti.

“Di samping itu,  ia sebagai medan pengkongsian idea dan maklumat baharu dalam kalangan peserta seterusnya dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan setugas di pejabat masing-masing,” katanya ketika berucap mewakili Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj Ahmad.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kluster dan ahli jawatankuasa lain atas usaha dan kerjasama yang diberikan bagi merealisasikan  penganjuran bengkel tersebut.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang meluangkan masa untuk hadir pada bengkel ini.

“Diharap objektif dan sasaran universiti dalam menyeragamkan MPK di semua JFPIU dapat dicapai pada 2017,” tambah Hasmi.

Bengkel itu dijayakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia  (MAMPU) Sabah, Fredoline Gilbert.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kualiti dan Inovasi Pentadbiran UMS, Talib Abdullah Shani.

 

Sumber : Kenny Uwai (FSSA)