KHAMIS, 17 NOVEMBER - Seramai 500 peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Asian Tourism International (ATI), Kolej MAHSA dan Kolej Universiti MASTERSKILL Kota Kinabalu menghadiri Seminar Ecopreneur yang dianjurkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) UMS, pagi tadi.

Seminar tersebut membentangkan empat kertas kerja menarik iaitu Eko Pelancongan di UMS, Kepentingan Aktiviti Kitar Semula, Turning Wastes into Energy dan Eco Farm: Utilizing Wastes for Sustainable Dairy Business.

Dengan tema ‘Towards Sustainable Green Businesses’, seminar tersebut bertujuan memperkasa ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar di samping memupuk idea inspirasi dan kreativiti dalam menghasilkan produk hijau.

Menurut Pengarah Pengurusan EcoCampus UMS, Profesor Dr. Justin Sentian, pelaksanaan program eko kampus dapat memberi pulangan kepada UMS dalam penjanaan pendapatan selain mengadakan aktiviti pemuliharaan alam sekitar. 

“Pengalaman menjelajah tempat-tempat menarik di sekitar UMS secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada para pelajar, kakitangan serta masyarakat tentang kepentingan menjaga kehijauan bumi,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja beliau.

Bagi penceramah jemputan, Joseph Lee daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tzu Chi, beliau memaklumkan pelbagai langkah proaktif harus diambil untuk mengekalkan kehijauan alam sekitar agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Peningkatan suhu global harus dipandang serius oleh semua pihak kerana dikhuatiri akan memberi ancaman bukan sahaja kepada manusia tetapi semua hidupan di darat dan laut.

“Ketidakseimbangan empat elemen iaitu angin, api, air dan tanah akan memberi kesan buruk kepada bumi seperti gempa bumi, banjir kilat, ribut dan jerebu,” jelasnya.

Seminar yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 1 UMS itu turut memberi ruang pembentangan kertas kerja daripada wakil syarikat Gaya Recycle Sdn. Bhd. dan Yun Fook Resources Sdn. Bhd.

Foto: ERDEC

SELASA, 15 NOVEMBER - Pusat Pengajian Pascasiswazah (PPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA) baru-baru ini mengadakan Program “Black and Roses Fun Run”.

Menurut kenyataan PPPS, program yang julung kalinya dianjurkan itu bertujuan untuk menggalakkan pelajar pascasiswazah bergiat aktif dalam aktiviti riadah dan kesukanan.

Menurut kenyataan itu lagi, larian sejauh tujuh kilometer tersebut juga memberi ruang kepada mahasiswa khususnya pascasiswazah dari fakulti-fakulti yang berbeza merapatkan hubungan silaturahim sekali gus menggalakkan budaya hidup sihat dalam komuniti kampus.

Ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan seramai 254 peserta bagi mengambil bahagian dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori lelaki terbuka dan wanita terbuka.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Dekan PPPS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Larian itu turut diserikan dengan Car Boot Sales yang disertai 20 kereta menjual pelbagai barangan seperti makanan dan pakaian terpakai.

Turut diadakan cabutan bertuah dan karaoke terbuka “One RM One Song”.

 

Sumber: Pusat Pengajian Pascasiswazah

 

SELASA, 15 NOVEMBER – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpeluang untuk mempelajari dan menghayati budaya dan cara hidup masyarakat pelbagai kaum di daerah pedalaman negeri Sabah melalui program komuniti kerja sosial “Dari Mahasiswa kepada Masyarakat” yang dijayakan pelajar Kelab Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini.

Program tersebut yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Tambatuon, Kota Belud bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang suasana kehidupan bermasyarakat di kampung tersebut, malah pelajar turut berkesempatan menjalankan khidmat bakti melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan bersama penduduk kampung.

Pensyarah Kerja Sosial UMS, Dr. Peter Voo Siong berkata, program ini dianjurkan adalah bagi memberi pendedahan awal khususnya kepada pelajar program kerja sosial UMS dalam mendekatkan diri dengan masyarakat setempat, di samping memberi pengalaman kepada mereka untuk mengerah keringat dan menyumbang bakti kepada penduduk kampung.

“Melalui program ini siswa UMS juga sebenarnya secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak kampung dalam menghidupkan budaya sukarelawan seterusnya melahirkan generasi sukarelawan berminda kelas pertama.

“Saya difahamkan, sepanjang program ini berlangsung, siswa-siswi UMS turut mengadakan kerjasama bersama Jabatan Kesihatan bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk Kampung Tambatuon serta slot ceramah bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian Kota Belud.

“Kerjasama yang baik antara agensi kerajaan dengan mahasiswa ini adalah sesuatu yang patut dicontohi semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Komuniti Kerja Sosial “Dari Mahasiswa kepada Masyarakat” di Dewan Serbaguna Kg. Tambatuon, Kota Belud.

Sementara itu, Pengarah Program Adila Ismail berkata, program khidmat komuniti sebegini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar dalam menanam dan mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan interaksi dengan masyarakat sekeliling.

“Interaksi sosial ini penting untuk memberi impak kepada pembentukan sahsiah mahasiswa universiti sebagai satu softskill yang perlu ada pada diri setiap pelajar.

“Diharap setiap ilmu dan input-input yang berguna sepanjang program ini dapat ditanam, dibaja dan dituai dengan sebaik-baiknya oleh warga Kampung Tambatuon dan siswa-siswi UMS yang terlibat dalam program ini,” ujar beliau.

ISNIN, 14 NOVEMBER – Seramai kira-kira 200 pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sabah diraikan pada majlis makan malam Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) bersama kepimpinan kerajaan negeri Terengganu di sebuah hotel di 1Borneo Hypermall baru-baru ini.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan negeri Terengganu, YB Haji Bazlan bin Abd. Rahman dianjurkan oleh PERMATA Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Haji Bazlan, majlis yang dianjurkan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dengan pelajar IPTA yang berasal dari Terengganu supaya kemesraan dapat dijalin dengan lebih erat.

“Pelajar adalah aset penting kepada kerajaan negeri kerana merekalah yang akan mengisi jawatan-jawatan penting dan menerajui kepimpinan negeri pada suatu masa nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit.

Pada majlis itu, pelajar UMS yang mendapat gred CGPA 3.5 dan ke atas telah dihadiahkan sumbangan berupa wang tunai bagi pencapaian cemerlang mereka.

Selain itu, sebanyak 43 hadiah cabutan bertuah yang terdiri daripada barangan elektrik dan gajet elektronik disediakan bagi menghargai pelajar PERMATA UMS.

Turut hadir ke majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr Ismail Ali, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Mohamad bin Sulong dan Penasihat PERMATA UMS, Ir. Dr. Ahmad Mukifza Harun.

JUMAAT, 11 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan lagi usaha pengantarabangsaan dengan menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kementerian Pendidikan Republik Demokratik Timor-Leste pada Rabu (9 November 2016) di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

UMS diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, manakala Timor-Leste diwakili Timbalan Menteri Pelajaran 1, Dulce De Jesus ​​Soares.
Disaksikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri (Dr.) Yeoh Tiong Lay, perjanjian selama lima tahun itu antaranya bakal menyaksikan kehadiran pelajar dari Timor-Leste yang ditaja Kementerian Pendidikan negara itu melanjutkan pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah di UMS.

Terdahulu, Dulce De Jesus dalam ucapannya berkata, Timor-Leste memerlukan sumber manusia yang terbaik, dalam beberapa bidang pertanian mampan, pengurusan pelancongan, kejuruteraan, sains dan pendidikan kemanusiaan.

“Dengan sumber manusia bertambah baik, Timor-Leste bukan sahaja dapat menjadi sebuah negara yang makmur, tetapi boleh mempunyai cara untuk mencapai matlamat pembangunan mampan untuk menggalakkan masa depan yang cerah kepada rakyat,” katanya.

Beliau percaya bahawa memorandum yang ditandatangani akan menyokong Timor-Leste dalam mengambil satu langkah ke hadapan ke arah mencapai matlamat itu.

“UMS mempunyai semua kualiti yang kita cari sebagai sebuah institusi rakan kerjasama, iaitu rekod kecemerlangan berdaftar dalam bidang akademik dan penyelidikan selain pelbagai program yang telah tersedia menyokong pelajar untuk berjaya.

“Belajar di UMS merupakan peluang yang baik kepada para pelajar kami dalam mendapatkan ilmu dan pengalaman di sebuah institusi pendidikan yang terkenal di ASEAN,”  tambah Dulce.

Menurutnya lagi, pihaknya tidak mempunyai keraguan bahawa apabila pelajar-pelajar mereka lulus dari UMS,  mereka telah mencapai tahap pendidikan akademik yang lebih tinggi.

“Kami berharap para pensyarah serta seluruh warga UMS, akan memberi dorongan dan motivasi kepada pelajar kami untuk membuat perubahan kepada masyarakat Timor-Leste,” katanya.

Majlis menandatangani MoA itu turut dihadiri Duta Besar Republik Demokratik Timor-Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias; Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof. Dr. Marcus Jopony serta Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.