RABU, 14 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) menghantar enam pelajar mengikuti Program Mobiliti Berkredit di Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia baru-baru ini.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni FPP, Dr. Getrude Cosmas berkata, kesemua pelajar yang terlibat merupakan pelajar daripada Program Industri dan Organisasi, Program Pembangunan Belia dan Komuniti serta Program Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga.
“Mereka akan mengikuti program tersebut selama satu semester atau enam bulan sebelum kembali semula ke UMS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang turut mengetuai rombongan pelajar tersebut ketika berangkat ke Jakarta turut mengongsikan pengalaman apabila disambut mesra oleh pelajar UMB yang pernah mengikuti program yang sama di UMS.
“Saya bersama semua pelajar UMS yang terlibat menerima layanan yang baik dan kami turut diberi taklimat dan penerangan terperinci berkaitan dengan kampus UMB semasa majlis penyerahan pelajar UMS kepada UMB di sana.
“Kami sangat berterima kasih kerana kami turut dialu-alukan dalam majlis tersebut oleh enam pegawai utama UMB yang diketuai Wakil Rektor Bidang Kelembagaan dan Sumber Daya, Dr. Purwanto SK,” tambah Dr. Getrude.
Para pelajar UMS turut dibawa melawat ke sekitar UMB termasuk ke Fakultas Psikologi, Perpustakaan, Pusat Latihan Pelajar, Pusat Penyelidikan dan beberapa kawasan menarik di kampus berkenaan.
Turut berangkat sama ke UMB Jakarta ialah Penolong Pendaftar FPP, Jamal Atong.
Sementara itu, Dr. Getrude juga berkata, kerjasama yang dijalinkan antara UMS-UMB menerusi program berkredit banyak memberikan peluang kepada pelajar daripada program Psikologi untuk mendapatkan pengalaman baharu dan ilmu yang mungkin berbeza dengan persekitaran di UMS.
“Terdapat beberapa kursus psikologi yang tidak ditawarkan di FPP ditawarkan di UMB seperti Psikologi Forensik dan Analisis Kesulitan Belajar,” katanya.
Untuk rekod enam pelajar UMS yang terpilih mengikuti program mobiliti itu ialah Chiew Hing Chun, Noor Syazlin Noh, Nurul Nabila Burhanuddin, Dhasni Chander, Ruvina Indran dan Herdanarena Samsuddin.
Sumber: Fakulti Psikologi dan Pendidikan



SELASA, 13 SEPTEMBER – Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan oleh pihak Universiti Malaysia Sabah bersempena dengan sambutan Aidiladha peringkat UMS.
SELASA, 13 SEPTEMBER - Hampir seribu mahasiswa menjayakan Sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat Kolej Kediaman E, semalam.
JUMAAT, 09 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, kerjasama tiga penjuru menjadi cara terbaik di peringkat antarabangsa untuk menentukan pembangunan mampan serta pengurusan pemuliharaan ekosistem di negara-negara membangun secara bersepadu.
JUMAAT, 26 OGOS – Program Daycare Pusat Minda Lestari (PML) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan pertandingan mewarna sempena bulan kemerdekaan baru-baru ini.