RABU, 03 Januari - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan para kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan universiti diingatkan untuk memperbaharui pelekat kenderaan masing-masing bagi tahun 2016.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan UMS yang kini sedang giat menjalankan pemeriksaan pelekat kenderaan di pintu utama universiti bermula 1 Februari lalu.

Permohonan pelekat kenderaan boleh dibuat di pejabat bahagian itu dengan kadar bayaran RM1.00 untuk setiap pelekat.

Para pemohon juga dinasihatkan untuk mengemukakan salinan kad pengenalan dan kad pekerja untuk permohonan baharu, manakala salinan lesen memandu dan cukai jalan diperlukan untuk permohonan lanjutan.

Sebarang pertanyaan berhubung permohonan pelekat kenderaan boleh menghubungi pejabat Bahagian Keselamatan UMS di talian sambungan 613207.

SELASA, 02 FEBRUARI – Acara Olahraga Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 membutirkan satu lagi emas buat kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Pingat emas tersebut berjaya diperoleh menerusi Ana Lydia Tinggi dalam acara lompat jauh wanita.

Dengan jarak lompatan 5.10 meter, rekod lompatan tersebut jauh meninggalkan pesaing beliau, Ang Xiao Wen dari Institut Pendidikan Guru Perlis yang mencatat jarak 4.96 meter bagi pingat perak.

Pingat gangsa diperoleh Lily Hartini Ahmad Zamri dari kontinjen Universiti Teknologi MARA dengan catatan 4.89 meter.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan jumlah pingat UMS sehingga kini meningkat kepada lima emas, tiga perak dan tujuh gangsa.

Pingat emas sebelum ini diperoleh daripada acara taekwondo yang menyumbang dua emas, pencak silat dan karate-do masing-masing menyumbang satu pingat emas.

UMS kini hanya memerlukan satu lagi pingat emas bagi mencapai enam pingat emas yang disasarkan pada SUKIPT yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih, Pusat Sukan

SELASA, 02 FEBRUARI – Seramai 73 pelajar pascasiswazah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membentangkan hasil kajian pada Seminar Pelajar Pascasiswazah Peringkat Fakulti baru-baru ini.

Seminar dua hari yang berlangsung di Kompleks Sains dan Teknologi serta Kompleks Perhutanan itu melibatkan pelajar Sarjana, Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah yang membentangkan Usul Kajian, Pra-Viva, Laporan Kemajuan Wajib dan Laporan Kajian Semasa masing-masing.

Menurut pengerusi seminar, Dr Maria Lourdes T. Lardizabal, tujuan utama seminar ini dianjurkan adalah untuk memberi ruang kepada para pelajar pascasiswazah membentang kemajuan dan hasil penyelidikan mereka.

“Selain itu, seminar ini mampu menjadi medium untuk berkongsi pengalaman dan pendapat bagi mengatasi sebarang masalah dengan baik tanpa menjejaskan prestasi pengajian pelajar pascasiswazah di peringkat fakulti.

“Seminar ini juga menjadi ruang kepada para pelajar untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta dalam ucapan perasmian yang dibacakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik dan Alumni) FSSA, Prof. Madya Dr. Saafie Salleh berkata, seminar itu diharap dapat menyumbang ilmu dan manfaat kepada semua pihak terutama para pelajar pascasiswazah dalam mempersiapkan diri menangani permasalahan kritikal yang dihadapi oleh dunia.

“Dengan adanya seminar sebegini, FSSA dapat menyumbang usaha dalam meningkatkan kredibiliti dan kualiti universiti di samping penambahbaikan dalam semua aspek bidang yang dikaji,” ujar beliau.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

ISNIN, 1 FEBRUARI – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah berjaya menambah satu lagi pingat emas dalam kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi  (SUKIPT) 2016 hari ini.

Pingat emas tersebut disumbang menerusi acara Karate Do kategori Kata Wanita berpasukan.

Pasukan Karate-Do wanita UMS yang terdiri daripada Nur Syahirah Bryanna Gomes, Nyuk Yin Tseu dan Velora Jessica Peter mempamerkan aksi hebat dalam perlawanan akhir, sekali gus berjaya menundukkan pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kejayaan terbaru ini sekali gus meletakkan UMS di tempat keenam dalam senarai pungutan pingat, dengan memperoleh empat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Berbaki empat hari lagi, UMS memerlukan dua emas lagi bagi mencapai enam emas yang disasarkan. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih, Pusat Sukan UMS

ISNIN, 01 FEBRUARI - Pusat Hubungan Industri Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini dikenali Pusat Jaringan Industri dan Komuniti berkuatkuasa 19 Januari 2016.

Pertukaran nama tersebut selepas mendapat pengesahan penjenamaan semula dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti kali ke-70 pada tarikh yang sama.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendaftar Bahagian Pentadbiran dan Governan Jabatan Pendaftar  merangkap Urusetia Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Talib Abdullah Shani dalam satu surat bertarikh 28 Januari 2016.

Sehubungan itu katanya, sebarang urusan dengan pusat itu kini perlu menggunakan nama baharu pusat berkenaan.

Maklumat lanjut boleh terus menghubungi Pejabat Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS di sambungan 612207 atau 612203. -SS