ISNIN, 18 MAC - Dr. Anantha Raman Govindasamy, Pensyarah Kanan dalam bidang Politik, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dijemput sebagai tetamu untuk rancangan bual bicara di stesen TV Alhijrah, Kuala Lumpur. Rancangan Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung di saluran Astro 114 itu membicarakan topik tentang Kedaulatan Sabah. 

Selama tempoh 20 minit, Dr. Anantha menyatakan fakta-fakta ilmiah daripada sudut pandang penyelidik politik yang berhujah menolak pembabitan elemen kekerasan dengan  provokasi ketenteraan  dalam  mengancam  kedaulatan sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia. Sekaligus menafikan, tidak ada mana-mana negara atau warganegara sesebuah negara di dunia ini  yang  dihalalkan untuk merampas hak kedaulatan sesebuah Negara berdaulat seperti Malaysia.

Tambah beliau lagi, selagi ada bulan dan bintang, hak kedaulatan Malaysia terhadap Sabah tidak boleh diganggu-gugat apatah lagi  berdasarkan illusi atau khayalan emosi keluarga Kiram yang memang diragui status kesultanannya.

Dalam temuramah selepas pogram bual bicara tersebut, Dr. Anantha turut menyatakan penghargaan serta sokongan beliau terhadap inisiatif Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bagi menubuhkan Pusat Kajian Strategik Sabah. Bukan hanya tertumpu pada aspek politik, keselamatan maritim atau undang-undang antarabangsa sahaja, penubuhan pusat kajian itu antara lain menunjukkan keprihatinan pengurusan UMS yang peka dengan situasi sejarah, budaya, bahasa, warisan sastera rakyat yang signifikan dalam menentukan  asal usul  kepelbagaian etnik yang membentuk Negeri Sabah hari ini.

Beliau berkata, pusat kajian itu kelak mampu memanfaatkan tenaga kepakaran penyelidik-penyelidik sains, kejuruteraan, sains sosial, ekonomi, undang-undang, ketenteraan dan mungkin juga salah satu pusat yang bersifat cross-dicipline di bawah satu bumbung.

 

Sumber: Jabatan Canselori, Universiti Malaysia Sabah.

tun mISNIN, 18 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar mengadakan penyelidikan terhadap jenis-jenis peperangan khususnya sistem peperangan gerila yang disifatkan sukar untuk dikalahkan.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kajian terhadap sistem peperangan itu penting memandangkan teknik tersebut merupakan sistem peperangan yang sering digunakan pada masa kini.

“Sistem Perang gerila ini bukan seperti peperangan biasa. Kalau kita tidak meningkatkan kecekapan kita dalam jenis peperangan seumpama ini, besar kemungkinan negara kita tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika mengulas cadangan UMS  untuk menubuhkan Pusat Kajian Strategik Sabah.

Jelasnya lagi, penubuhan Pusat Kajian itu amat bertepatan dalam usaha membantu kerajaan untuk mengukuhkan aspek pertahanan dan kedaulatan negara.

Terdahulu, Tun Dr. Mahathir dalam syarahan perdananya yang bertajuk Peranan Generasi Muda Ke Arah Negara Maju dan Berdaulat berkata Kemajuan dikecapi negara masa kini bukan datang dengan sendirinya tetapi adalah hasil usaha dan perjuangan pemimpin terdahulu dan rakyat perlu menghayatinya.

Sambil menegaskan, rakyat Malaysia kini menikmati pembangunan dalam semua peringkat termasuk pembangunan minda, beliau berkata perkembangan itu memerlukan generasi muda melengkapi diri dengan ilmu terkini terutama dalam bidang sains dan teknologi. 

"Kita sedar bahawa kemajuan kita, hidup selesa dan kebahagiaan bukan datang dengan begitu mudah tetapi ia diusahakan, jika kita sedar maka kita boleh menyediakan diri kita untuk masa depan, kita membekalkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang tidak statik dan sentiasa bertambah seumur hidup," katanya.

Beliau menambah, generasi muda pada zaman sekarang berpeluang mendapat ilmu pengetahuan tanpa batasan berbanding pada zaman dahulu, sekali gus mereka dapat berfikir dan menilai apa juga pendapat dan pengaruh terutamanya dari negara luar. 

"Sekiranya rakyat ingin melihat negara maju, ia bukan saja perlu menguasai ilmu terkini tetapi juga perlu berpegang dengan nilai-nilai dan sifat yang baik serta mulia yang pasti boleh menyumbang kepada kemajuan negara...inilah peranan penting muda mudi di negara ini," katanya. Turut hadir bersama lebih 3,000 hadirin ialah isteri Tun Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Naib Canselor UMS, Datuk Mohd Harun Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Abdul Hamid Egoh serta ahli akademik UMS. 

 

Oleh: Salbinous Saribun,BPK

Foto: Musaab Umair, BPK

 

Perjanjian ProgramJumaat, 15 Mac - Universiti seharusnya berusaha dan lebih proaktif dalam meningkatkan penjanaan sumber pendapatan sendiri melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten dan penerbitan berimpak tinggi.

Demikian saranan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Universiti 2012-2013 yang berlangsung di Galeri Majlis baru-baru ini.

“Berdasarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Universiti seharusnya menjana pendapatan sebanyak 30% menjelang tahun 2020 untuk menampung perbelanjaan Universiti. Sebagai makluman, pada masa ini sumber pendapatan UMS masih terhad kepada pungutan yuran pengajian, sewaan ruang dan lain- lain,” katanya.

Tambahnya lagi, Lembaga Pengarah Universiti telah meluluskan Dasar Penjanaan Pendapatan Universiti Malaysia Sabah pada 13 Februari lalu.

“Melalui kelulusan dasar ini, adalah diharap agar Jabatan Bendahari dapat berperanan membantu dan mengatur selia sumber penjanaan baru, mendapatkan buah fikiran dan kerjasama dari semua Jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit (JSPIU) demi kepentingan semua,” jelasnya.

Datuk Dr. Mohd Harun turut berpesan agar setiap JSPIU mengamalkan Perbelanjaan Berhemat di dalam pengurusan kewangan masing- masing.

“Perbelanjaan berhemat ini adalah penting memandangkan kantung UMS adalah terhad sedangkan di dalam masa yang sama operasi kita tidak boleh berhenti. Kita harus terus berbelanja seperti yang telah kita anggarkan sewaktu penyediaan belanjawan dan berdasarkan kelulusan yang diberi supaya kita mencapai apa yang dirancangkan,” katanya.

Beliau juga menyeru setiap JSPIU untuk memastikan urusan harian terutama urusan kewangan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Katanya tindakan Jabatan Bendahari untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas setiap JSPIU pada setiap 6 bulan adalah satu langkah kawalan dan pencegahan yang baik bagi mengelakkan sebarang kesilapan dan salah praktis.

“Demi kebaikan bersama, setiap JSPIU haruslah memberi kerjasama dan berbincang dengan Jabatan Bendahari atas apa jua dapatan sewaktu pemeriksaan mengejut ini diadakan” tegasnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. Mohd Harun menandatangani perjanjian program tersebut bersama-sama dengan setiap ketua JSPIU, sambil disaksikan oleh Bendahari UMS, Tuan Haji Rizal Othman. Datuk Dr. Mohd Harun turut menyerahkan ‘Financial Kit’ kepada setiap ketua JSPIU.

 

 

Oleh : Mohd. Affzanizam Mohd Amin, BPK

Foto : Musaab Umair, BPK   

aerobikJUMAAT, 15 MAC -  Penganjuran program Senamrobik  peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat sambutan mengalakkan apabila berjaya menarik penyertaan lebih 200 golongan mahasisiwi universiti berkenaan. Program yang diadakan di Padang Kawad universiti berkenaan baru-baru ini telah dirasmikan oleh Ketua Dekan Sekolah Perniagaan Dan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Hajah Arsiah Hj. Bahrom.

Dalam ucapannya beliau berkata, penganjuran aktiviti senamrobik itu amat bertepatan dan selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang menghendaki proses perkembangan potensi pelajar dilaksanakan secara menyeluruh untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi jasmani, intelek, rohani dan emosi.

Beliau turut memberitahu, untuk kekal sihat dan ceria, para mahasiswi juga perlu mengamalkan aspek penjagaan dari segi diet pemakanan, kecergasan fizikal badan dan rehat yang mencukupi.

“Diet yang seimbang perlu dititikberatkan berdasarkan kepada piramid makanan dan pengambilan makanan segera perlulah dielakkan. Para pelajar juga harus mengutamakan waktu tidur kerana badan manusia juga memerlukan masa untuk berehat,” katanya.

Aktiviti senamrobik itu telah diketuai oleh jurulatih jemputan luar, Hasnan Muan. Ketika sesi tersebut beliau memberitahu, aktiviti senamrobik merupakan satu aktiviti yang melibatkan pergerakan otot-otot utama dan ia boleh diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, pelajar perlulah bersifat agresif dalam mengembangkan bakat mereka selari dengan hasrat kerajaan dalam merealisasikan slogan ‘Malaysia Cergas’ yang memberi penekanan kepada usaha memperluaskan kegiatan sukan dan rekreasi kepada rakyat Malaysia.

Penganjuran aktiviti senamrobik ini merupakan salah satu daripada aktiviti Exco Hal  Ehwal Wanita, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS bersempena Minggu Inspirasi Sanubari.

 

Oleh: Dr. Nizam Nazarudin, SPPS 

pusat strategikRABU, 13 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menubuhkan sebuah Pusat Penyelidikan yang berfungsi sebagai pusat rujukan berkaitan dengan hal ehwal negeri Sabah dan kawasan sekitarnya.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, pusat itu yang dinamakan Pusat Kajian Strategik Sabah akan menumpukan skop kajian yang merangkumi Sejarah dan kedaulatan negeri Sabah dalam Malaysia disamping aspek perundangan, keselamatan dan hubungan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, pusat kajian ini juga akan menyelidik isu-isu persempadanan Negara dan pulau-pulau di sekitar perairan Sabah selain mengadakan penyelidikan berhubung peranan negeri ini dalam menentukan kestabilan ekonomi dan sosio-politik di rantau Asia Tenggara.

Tambah beliau, cadangan penubuhan pusat tersebut tercetus atas keprihatinan UMS terhadap isu-isu semasa seperti insiden pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna. Katanya, UMS akan sentiasa memberi sokongan padu dan komitmen yang tinggi sebagai sebuah institusi yang sentiasa relevan dalam menyumbang kepada pembangunan dan pertahanan keselamatan Negara.

Beliau mengumumkan penubuhan pusat penyelidikan itu pada Majlis Amanat Naib Canselor 2013 di Dewan Canselor UMS.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK