Pasca PendaftaramISNIN, 25 FEBRUARI - Seramai 245 orang pelajar baharu pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mendaftar dalam pelbagai bidang pengajian bagi kemasukan semester 2 sesi 2012/2013.

Sesi pendaftaran yang diadakan baru-baru ini di Kompleks Dewan Kuliah Pusat UMS selama dua hari menyaksikan kehadiran pelajar-pelajar baharu daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Alna Tugon berkata, para pelajar tersebut kemudiannya mengikuti Taklimat Universiti dan Kursus Metadologi untuk persediaan dalam menempuhi alam kehidupan sebagai penuntut pascasiswazah di UMS.

Katanya, ianya merupakan satu detik permulaan penting bagi pelajar baharu ke arah memperjuangkan budaya pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira umur dan pangkat.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Datin Dr. Mariam Abd.Latip turut mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu pascasiswazah UMS.

Katanya, pihak universiti sangat berbangga kerana dapat membantu para pelajar sekalian untuk meningkatkan ilmu sekaligus menyahut saranan kerajaan terhadap pemerkasaan modal insan melalui pembelajaran secara berterusan. Ia juga selari dengan matlamat UMS untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik yang bertaraf dunia.

“Pihak kami percaya bahawa usaha untuk meningkatkan ilmu ini dapat menyumbang kepada peningkatan kumpulan cendekiawan dan juga meningkatkan produktiviti masing-masing sejajar dengan pembangunan sosioekonomi Negara,” katanya.

 

Oleh : Salbinous Saribun, BPK

 

 

 

Delegasi MPPISNIN, 18 FEBRUARI 2013 - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2012/2013 telah menjalankan program kunjungan Delegasi Bayu baru-baru ini.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Masnahneh Masdin, program selama 12 hari itu telah menjelajah ke seluruh universiti awam di Semenanjung Malaysia dengan membawa objektif untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan IPTA yang terlibat.

Antara universiti awam yang dilawati termasuklah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 “Selain itu, program ini juga mampu mewujudkan rangkaian jalinan pertukaran sumber ilmu dari segi kepimpinan, akademik dan diplomatik antara pemimpin mahasiswa,” katanya yang juga merupakan pegawai pengiring program tersebut.

Menurutnya, selain memperkenalkan MPP UMS kepada pemimpin pelajar di setiap IPTA itu, program tersebut juga turut diisi dengan sesi dialog untuk tujuan perkongsian maklumat dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan mahasiswa.

Delegasi UMS yang disertai seramai 24 orang MPP dan dua pegawai pengiring turut mengadakan kunjungan ke Kementerian Pengajian Tinggi, Biro Tatanegara dan Jabatan Perdana Menteri. Rombongan itu juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Malaysia,  Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. 

 

Oleh : Faezah Mohamad Dun, BPK

 

 

 

MCIS 2013JUMAAT, 15 FEBRUARI – Persidangan Sistem Maklumat Malaysia (MCIS) 2013 yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu mampu menjadi platform yang sesuai dalam membincangkan dan meneroka kerjasama serantau dalam bidang teknologi maklumat.

Berucap pada majlis itu, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr. Yee Moh Chai berkata, inovasi berterusan terutama dalam bidang teknologi maklumat (ICT) adalah sangat penting seiring dengan peredaran masa. Tambahnya dalam membuat satu teori terhadap sistem tertentu, keperluan pengguna haruslah dititikberatkan.

Beliau turut menggariskan empat trend penting dalam sistem maklumat, iaitu media sosial, mobiliti, data besar dan pengkomputeran awan. Ujarnya hasil daripada trend ini, masyarakat benar-benar diperkasakan dengan segala kemudahan mencapai maklumat. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Sistem Maklumat Malaysia 2013 pagi tadi. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Terdahulu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dalam ucapannya berkata penganjuran MCIS 2013 ini menggambarkan inisiatif yang tepat di dalam pelan universiti yang selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dalam memberi tumpuan dan mengukuhkan bidang penyelidikan dan inovasi.

“UMS sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap penyelidikan dari UMS, dan penganjuran persidangan seperti ini adalah seiring dengan sasaran UMS. Saya berharap persidangan ini akan menggalakkan percambahan ilmiah tentang bidang sistem maklumat serta potensinya pada masa depan,” katanya. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof. Hadir sama Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Dekan Sekolah Sains Informatik Labuan, Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim serta Dekan Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya. Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

Persidangan yang bertemakan ‘Sistem Maklumat di Asia Tenggara’ itu diadakan selama empat hari sejak 13 Februari sehingga esok dengan membincangkan prospek industri ICT serta cabarannya pada masa hadapan.

 

Oleh : Mohd. Affzanizam, BPK

 

 

 

PascaResultRABU, 13 FEBRUARI – Para pemohon Kursus Pascasiswazah semester 2 sesi 2012/2013 Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini boleh menyemak keputusan status permohonan.

Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Alna Tugon berkata, status permohonan kursus itu boleh disemak melalui pautan laman web UMS bermula 18 Januari hingga 21 Februari 2013.

Menurutnya, mereka yang berjaya dikehendaki untuk membuat pengesahan manakala mereka yang tidak berjaya masih boleh membuat rayuan sehingga hari pendaftaran kursus berkenaan.

“Setakat 13 Februari, seramai 189 pelajar telah mengesahkan permohonan mereka. Sekiranya permohonan mereka tidak berjaya, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada pihak sekolah sehingga tarikh pendaftaran nanti,” ujar beliau.

Tambahnya, para pemohon yang mempunyai sebarang kemusyikilan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi pejabat Pusat Pengajian Pascasiswazah di talian 088-320000 sambungan 62133.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Datin Dr. Mariam Abd. Latip ketika dihubungi berkata, beliau amat mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu pascasiswazah UMS sebagai warga EcoCampus untuk mendaftar pada minggu hadapan.

Pendaftaran kursus tersebut akan dilakukan selama dua hari pada 22 dan 23 Februari 2013 bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

 

 

 

Iftihal UMSJUMAAT, 8 FEBRUARI - Penyertaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Unit Hal Ehwal Islam (UHEIM) dalam Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2013 baru-baru ini amat membanggakan apabila muncul johan dalam kategori Qariah.

Peserta UMS berjaya menjuarai kategori tersebut apabila berjaya mengenepikan 24 peserta Tilawah al-Quran lain dari seluruh ASEAN.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu sekaligus menyaksikan peserta Qariah UMS, Sofizah Mousin dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan tablet my-iman.

Selain itu, UMS turut menghantar peserta Tilawah al-Quran kategori Qari yang diwakili oleh Muhamad Hanafi Sedi dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) serta pertandingan nasyid yang diwakili oleh Suhaimi Hussin (SPPS), Kamal Abdul Rahim (SPE), Jamil Muhamad Sharif (Sekolah Perubatan), Azman Hanafiah dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPsiKS), Khairul Azlee Mohd Yunus (SPsiKS), dan Ahmad Ainullutfi Azzman (SPsiKS).

Turut mengiringi para peserta tersebut, Ustaz. Md. Razali Saibin dan Ustazah Ainah Ramlan Angusa daripada UHEIM.

 

Sumber : Ustaz Malik Hanafi Bin Achmad Rofi'ie, UHEIM