Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Kongres Antarabangsa Fisiologi baru-baru ini sebagai lensa unik untuk memahami isu berkaitan penyakit berjangkit.

Menurut Pengerusi Kongres Antropologi Fisiologi, Profesor Dr. Kamruddin Ahmed, penganjuran kongres adalah satu penghormatan kepada UMS kerana berpeluang menjadi tuan rumah selepas tujuh tahun.

“Kongres kali ini mengangkat tema persekitaran dan kesihatan manusia memfokuskan kepada penyakit berjangkit terhadap kesihatan manusia, struktur sosial dan ekonomi.

“Di samping itu, kongres ini menyoroti kepentingan aktiviti antropologi dalam mempengaruhi penyakit berjangkit, terutamanya penyakit berjangkit yang muncul.

“Saya berharap acara ini menjadi lensa yang unik untuk memahami hubungan yang canggih antara manusia, persekitaran, penularan dan kesan penyakit berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.

Prof. Kamaruddin turut memaklumkan, ilmu antropologi fisiologi adalah medium terbaik untuk menerangkan hubungan asas antara proses fisiologi, faktor budaya, persekitaran dan evolusi yang telah membentuk spesies manusia.

“Penerokaan kolektif dalam kongres ini bukan sahaja meningkatkan lagi pemahaman tentang masa lalu manusia tetapi juga merupakan harapan dalam mempengaruhi masa depan kita.

“Justeru itu, syabas diucapkan kepada semua peserta, jawatankuasa penganjur, dan penaja atas sumbangan bagi merealisasikan acara ini menjadi kenyataan,” ujar beliau.

Seramai 104 orang peserta termasuk beberapa peserta antarabangsa terlibat dalam kongres dua hari itu, antaranya peserta dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, China dan Singapura.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Antarabangsa Antropologi Fisiologi, Prof. Dr. Barry Bogin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kolaborasi bersama Universiti Nagasaki, Jepun bagi penganjuran Nagasaki University 1st Joint Symposium on Planetary Health di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo (BMHRC), FPSK itu bertujuan untuk memberi tumpuan kepada nilai perjalanan pendidikan dan penyelidikan, memupuk pertukaran budaya serta menangani cabaran peringkat global.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, penyelidikan kolaboratif boleh menjadi pemacu yang kuat dalam kerjasama antara universiti.

“Kolaborasi ini akan menggalakkan penyelidikan antara disiplin yang memanfaatkan kekuatan kedua-dua institusi.

“Ini kerana, projek penyelidikan bersama berpotensi membawa kepada penemuan baru, peningkatan peluang pembiayaan dan rangkaian akademik yang diperluas,” katanya.

Tambah beliau, dengan objektif yang jelas, kedua-dua institusi berkongsi matlamat yang sama dalam memastikan kerjasama yang membuahkan hasil.

“Hal ini dilihat melalui kepimpinan dan penyelarasan yang jelas dari Pengarah BMHRC, Prof. Dr. Kamruddin Ahmed dan Prof. Dr. Kazuhiko Moji dari Universiti Nagasaki.

“Mereka memastikan semua pihak sejajar dan bekerjasama secara kolaboratif ke arah mencapai hasil yang sama,” ujar beliau.

Melalui simposium tersebut, terdapat tujuh topik yang dibincangkan, antaranya kesihatan planet, perubatan tropika, zoologi, ekologi manusia dan sebagainya.

Turut hadir, Presiden Universiti Nagasaki, Prof. Dr. Shigeru Kohnom; wakil-wakil dari Universiti Nagasaki, iaitu Prof. Dr. Kiyoshi Kita, Prof. Dr. Fumiko Kasuga, Prof. Dr. Chino Watanabe, Dr. Shigeharu Sato, Dr. Teruaki Yoshida; dan wakil dari UMS iaitu Dr. Noor Haliza Hassan dan Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad.

 

Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS), meraikan kakitangannya yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan melalui penganjuran Majlis Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2023 (MAF2023) baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Le Meridian, Kota Kinabalu itu merupakan inisiatif FKJ dalam mengiktiraf dan menghargai kakitangannya yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam aspek seperti pentadbiran, pengurusan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar dan pengurusan penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penganjuran majlis tersebut adalah satu tanda bahawa pengurusan fakulti amat menghargai dan mengiktiraf kakitangannya yang berprestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

“Percayalah bahawa setiap pencapaian kakitangan dalam semua peringkat merupakan satu kebanggaan untuk universiti dan sentiasa dititikberatkan oleh pengurusan UMS.

“Saya berharap agar majlis ini akan meniup semangat kakitangan untuk terus menyumbang secara cemerlang dan memperkasakan lagi diri untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof.

Tambah beliau, usaha warga FKJ yang komited untuk mengekalkan budaya kerja cemerlang akan membawa martabat fakulti ke peringkat yang lebih tinggi.

Terdahulu, Dekan FKJ, Profesor Madya Ts. Dr. Ismail Saad dalam ucapannya menekankan MAF2023 bukan setakat memberi penghargaan tetapi memberi aspirasi.

“Ini supaya semua kakitangan sentiasa berlumba-lumba dalam mencapai sesuatu cita-cita sehingga berjaya yang boleh menyumbang kepada FKJ khususnya dan UMS amnya dalam pelbagai bidang.

“Kakitangan yang memberikan perkhidmatan mutu dan penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya wajar diberikan penghargaan dan pengiktirafan.

“Perkhidmatan yang diberikan boleh menjadi contoh dan ikutan serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecerdasan pekerja dan daya usaha staf yang lain,” katanya

Pada majlis tersebut, sejumlah 64 penghargaan dan lima anugerah khas disampaikan kepada para penerima mengikut lima kategori.

Lima kategori tersebut adalah kategori Pengurusan dan Pentadbiran, Penghargaan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Penghargaan Akademik dan Antarabangsa, Penghargaan Penyelidikan dan Inovasi, dan Anugerah Khas FKJ.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempergiatkan pelbagai usaha berkaitan pemuliharaan alam semula jadi dan perlindungan biodiversiti yang merupakan khazanah berharga khususnya bagi negeri Sabah.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, usaha berterusan oleh Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS adalah amat penting sebagai latihan dan sokongan kepada generasi akan datang untuk memanfaatkan dan mengurus alam semula jadi secara mampan.

“Isu pembangunan manusia, kehilangan biodiversiti dan kepupusan spesis haiwan liar telah menjadi kemelut kepada dunia masa kini.

“Dengan kekayaan hutan hujan tropika yang asli serta ekosistem marin, negeri Sabah menjadi lokasi terbaik bagi usaha latihan dan sokongan terhadap pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti alam semula jadi.

“Ciri biodiversiti di Sabah yang unik membolehkan aktiviti penyelidikan secara konsisten dapat dijalankan bagi memahami nilai, interaksi, dan sumbangannya kepada kesejahteraan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UMS dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Jabatan Hidupan Liar Sabah, dan Hutan di Galeri Majlis, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Menyentuh mengenai pemeteraian perjanjian antara agensi-agensi tersebut, Kasim memaklumkan perjanjian kerjasama yang dijalankan adalah ke arah usaha untuk memulihara alam semula jadi dan melindungi biodiversiti daripada kepupusan.

“Kerjasama ini adalah selaras dengan peranan MPOGCF yang menyokong dan memperkukuh usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah sebagai pihak berkuasa hidupan liar tempatan, berdiri sebagai mercu tanda perlindungan untuk kekayaan biodiversiti di rantau kita,” ujar beliau.

Beliau menambah, pemeteraian perjanjian ini juga melambangkan perpaduan, dedikasi dan harapan untuk masa depan dalam melindungi alam semula jadi untuk generasi yang akan datang.

“Usaha ini adalah permulaan kepada lebih banyak usaha niaga yang direka untuk lebih mendalami pemahaman dan penghayatan terhadap alam semula jadi,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung acara pelancaran buku ‘A Ten-Year Journey Savings Sabah’s Wildlife Rescue Unit’ yang disempurnakan oleh Pemangku Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Roland Oliver Niun; Pengarah Saintifik HUTAN, Dr. Marc Acrenaz; Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago, Severinus Tukah @ Tukang; dan Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited dalam memastikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terlibat secara langsung dalam menggubal dan merangka garis panduan berkaitan aktiviti hiburan (konsert).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan menjelaskan, pihak pengurusan universiti juga menyokong penuh agar garis panduan tersebut digubal dan dirangka oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) masing-masing mengikut kesesuaian dan lokaliti IPT serta berpandukan saranan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (JPT, KPT).

“MPP sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam menyuarakan pandangan serta isi hati para mahasiswa, justeru itu penglibatan MPP dalam merangka garis panduan ini adalah wajar agar suara dan keperluan setiap mahasiswa diambil kira.

“Hal ini juga sekali gus dapat memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa berada di landasan yang tepat selaras dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan media oleh JPT berkaitan arahan agar pengurusan IPT memastikan MPP dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan tersebut, semalam.