Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus Sandakan telah mengadakan perkongsian ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada Ahli Jemaah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan, baru-baru ini.

Sesi perkongsian disampaikan pensyarah penyelidik yang juga Ketua Insektarium dan Living Lab RagBio, Prof. Madya Dr. Suzan Benedick @ Sarah Abdullah.

Antara yang dikongsikan termasuklah dapatan hasil penyelidikan berkaitan ciri-ciri madu kelulut tulen yang dibiayai Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).

Katanya, madu kelulut tulen adalah kaya dengan unsur mineral seperti Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Natrium (Na), Kalium (K), dan Dihydroxyacetone (DHA).

“Ia juga mengandungi Methylglyoxal (MGO) dan volatile organic compounds (VOCs) yang biasanya tidak terdapat dalam madu tiruan.

“Bagi di Sabah, kita mempunyai madu dari spesies kelulut Heterotrigona itama yang mempunyai kandungan VOCs, DHA dan MGO yang tinggi.

“Manfaatnya ialah untuk kesihatan antimikrob, dan ia setanding dengan khasiat madu lebah monoflora dari New Zealand dan Australia,” jelas Suzan.

Sesi perkongsian itu dihadiri 35 ahli PPK terdiri daripada 24 ketua-ketua unit dan 11 anggota pengurusan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kawasan PPK Sandakan, Arifin Bacho merakamkan ucapan penghargaan atas perkongsian ilmu dan sambutan daripada warga pengurusan FPL UMS.

“Kehadiran PPK bertujuan mempelajari tentang ilmu penternakan lebah kelulut dan khasiat madu yang efektif dan lestari.

“Untuk makluman, PPK mempunyai sebanyak 120 log lebah kelulut yang terletak di Batu 10, Rancangan Sungai Manila Selatan Sandakan.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi penternakan lebah bagi penghasilan produk madu yang semakin tinggi permintaannya di pasaran,” ujarnya.

Rombongan PPK Sandakan turut berpeluang menyaksikan kaedah penternakan lebah kelulut yang diternak sejak 2016 dan menghasilkan produk madu yang baik di Insektarium dalam kampus FPL.

Hadir sama Dekan FPL UMS, Prof. Madya Dr. Azwan Awang; Timbalan Dekan Pengurusan Ladang dan Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely @ James Silip dan Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Hj. Gimba.

Yang turut hadir, Pegawai FOKAL Kolaborasi Industri Fakulti, Dr. Salumiah Mijin; Pegawai Pertanian, Hamdy Roslee dan Penolong Pegawai Sains FPL, Zilpiree Jaabi.

 

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah telah membuka tirainya kelmarin dengan penuh gilang gemilang.

Pelbagai pameran dan aktiviti menarik yang berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) diadakan seperti STEM Speaker Series, Robotic Show dan pelbagai lagi.

Program anjuran kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) itu berlangsung selama tiga hari sehingga 26 Ogos 2023 bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 (DKP 2) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Berucap pada majlis tersebut, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penganjuran MSN dan Malaysia Techlympics bertujuan sebagai usaha untuk terus membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030.

“DSTIN menekankan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia.

“Sejajar dengan itu, pelaksanaan MSN adalah bagi meraikan kepelbagaian dan keperluan negeri dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan,” katanya.

Arthur berkata, penganjuran Malaysia Techlympics 2023 juga adalah inisiatif MOSTI bagi memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan kemahiran dan inovasi yang berimpak tinggi.

“Selaras dengan penganjurannya pada tahun kedua ini, MOSTI komited untuk meraih satu juta penyertaan daripada pelajar dan belia yang berusia tujuh hingga 30 tahun dalam pertandingan berteraskan teknologi terkini,” katanya. 

Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri KSTI, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd. Arif. Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dari Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Universiti Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), baru-baru ini.

Ketibaan delegasi UMPSA disambut Jawatankuasa EKSA Induk UMS yang diketuai Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan merangkap Ketua Kluster EKSA UMS, Azmi Jumat; Setiausaha EKSA Induk UMS, Joanne Justin; Penolong Setiausaha, Wenddye John serta Ahli Jawatankuasa Audit, Jaini Sapirai, Erwin Rusfian Rukkung dan Shone De Nelco Edie Gadur.

Menurut Azmi, delegasi PHKK UMPSA telah dibawa berkunjung ke Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS), Pusat Islam UMS (PIUMS), dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), UMS.

“Lawatan ini antara lain bagi menimba pengalaman, pengetahuan dan melihat pelaksanaan amalan EKSA di UMS.

“Pada masa yang sama, ia bagi mengeratkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin antara UMS – UMPSA ke arah mencapai kecemerlangan secara berterusan dalam amalan EKSA di institusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azmi menjelaskan, EKSA merupakan inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam dengan mengambil kira keperluan bagi mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti.

“Persekitaran tempat kerja yang selesa sangat penting supaya lebih relevan kepada jabatan atau agensi sektor awam di Malaysia.

“Semoga hasil daripada kunjungan Penanda Aras EKSA ini, hubungan dua hala di antara UMS dan UMPSA akan terus berkekalan,” ujarnya.

Pada kunjungan itu, delegasi PHKK UMPSA disertai Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh selaku ketua rombongan dan Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik dan Kualiti (BPSK), Profesor Madya Ir. Dr. Norazwina Zainol.

Turut serta ialah Eksekutif Kanan Unit Pengurusan Kualiti (UPK) PHKK, Faisal Jusoh dan Eksekutif Kanan, Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Emma Melati Baharuddin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Adamson University (AdU), Filipina, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS, di sini, pada Rabu.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Pengarah Perhubungan Universiti AdU, Sr. Maruja S. Padre Juan.

Ia turut disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan AdU, Prof. Madya Engr. Erison C. Roque.

Menurut Kasim, pemeteraian MoU itu merangkumi kolaborasi akademik, serta kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga meliputi program mobiliti pelajar dan kakitangan akademik, persatuan, persidangan, lawatan akademik dan aktiviti-aktiviti lain yang dipersetujui kedua-dua belah pihak tertakluk kepada undang-undang dan dasar dari semasa ke semasa.

“Adalah diharapkan MoU ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua universiti dan memberi manfaat bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maruja dalam ucapannya memaklumkan bahawa UMS sebagai sebuah universiti yang tepat untuk jalinan kerjasama MoU.

“Saya sangat selesa di sini dan berasa seolah-olah berada di rumah sendiri kerana masyarakat yang begitu mesra selain budaya yang hampir sama dengan masyarakat di Filipina.

“Saya percaya pelajar dari AdU juga nanti akan mempunyai perasaan seperti ini dan menikmati pengalaman suasana pembelajaran yang kondusif di UMS,” katanya.

Untuk rekod, MoU UMS – AdU akan berkuat kuasa serta merta dan akan kekal untuk tempoh lima tahun.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ir. Rosalam Sarbatly; dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim; Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim; dan Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP, Prof. Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul.

 

Minggu Sains Negara (MSN) 2023 peringkat negeri Sabah akan diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 (DKP 2), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 24 - 26 Ogos 2023. 

Objektif MSN bagi tahun ini adalah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan seharian, serta menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar dan sumber manusia dalam bidang STI.  

Selain itu, program MSN juga bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang telah memberi sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains.  

Program itu merupakan anjuran kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), serta UMS selaku tuan rumah pameran. 

Tema MSN pada tahun ini adalah “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi” yang menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini dan seterusnya melahirkan modal insan berliterasi saintifik serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan. 

Program ini juga akan mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di dalam UMS yang mana lawatan ke setiap tempat akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang sepanjang MSN berlangsung.   

Sepanjang program ini berlangsung, terdapat juga aktiviti lain yang akan diadakan seperti video salingan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Speaker Series, Robotic Show dan lain-lain.  

Majlis perasmiannya dijangka dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, esok (Khamis).  

Dijadual hadir sama Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri KSTI, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd. Arif; Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Pembantu Menteri KSTI, Datuk Harun Durabi; Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim; dan Ketua Setiausaha Tetap MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.