Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus menghasilkan graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang selaras dengan misi dan visi penubuhan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS selain kemudahan universiti yang disediakan.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, warga universiti tanpa mengira pangkat dan lapisan umur juga perlu berganding bahu untuk bersama-sama mencapai visi dan misi universiti.

Katanya, perkara itu mampu disempurnakan dengan ikhlas agar semua pihak dapat bersatu selain menetapkan fikiran yang satu bagi menyempurnakan matlamat universiti agar senantiasa melangkah maju ke hadapan.

“UMS sebagai menara gading yang menjadi pusat penyebaran ilmu seharusnya berupaya melahirkan pelajar dan cendekiawan berpendidikan tinggi, berkualiti dan bertaraf global.

Justeru, pengurusan universiti bertekad untuk menyediakan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Sejak ditubuhkan, UMS telah memberikan usaha yang konsisten dengan menyediakan ahli akademik yang berkebolehan, membangunkan infrastruktur dan mekanisme moden, dan juga disokong oleh pihak pengurusan yang menyediakan dasar yang berkesan dalam usaha memupuk pemikiran kritis generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Afaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Program Asasi Sesi 2023/2024.

Kasim berkata, universiti wujud disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan yang tinggi.

Katanya, zaman yang serba mencabar ini, keperluan untuk mendapatkan pendidikan tinggi adalah satu kemestian.

“Adalah menjadi harapan saya agar pelajar semua memanfaatkan segala peluang dan kesempatan di PPST dengan sebaik-baiknya bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah.

“Saya percaya bahawa proses pembelajaran itu haruslah seimbang di antara bilik kuliah dan kehidupan kampus,” katanya.

Terdahulu, seramai 347 pelajar terdiri dari pelbagai daerah di negeri ini termasuk Semenanjung; Sarawak dan Labuan telah mendaftar bagi sesi kemasukan 2023/2024

 

Kelab Pendidikan Awal kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Kesedaran Hak Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kindu, Tuaran, baru-baru ini.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa tentang hak kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak dan mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik kanak-kanak sejak awal umur lagi.

Tambah Juppri program itu antara lain memberi peluang kepada pelajar UMS menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Melalui program ini juga, pelajar dapat melihat dan merasai sendiri persekitaran dan suasana di sekolah luar bandar bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan kompeten dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu dan pengetahuan yang telah dipelajari kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut.

Juppri turut menekankan kepentingan pendidikan awal termasuklah prasekolah yang dapat membantu kanak-kanak menguasai 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul) sebagai asas persediaan sebelum mereka ke sekolah rendah.

“Pendidikan merupakan salah satu hak yang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak demi menjamin masa depan mereka. Ini perlu bermula sejak awal umur kanak-kanak lagi sama ada bermula di rumah, taska, mahupun di prasekolah atau tadika,” tambahnya.

Manakala Pengarah Program, Muhammad Ehsan Kamba berkata, program itu merupakan kerjasama FPP bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sabah.

“Peserta program terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah yang disajikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah keibubapaan, sesi pengajaran dan pembelajaran dan sukaneka.

“Selain itu juga, terdapat aktiviti bersama kanak-kanak yang dijalankan oleh pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu membuat kraf diorama bertemakan hidupan laut di kelas prasekolah.

“Aktiviti ini dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf, dan seterusnya meningkatkan kreativiti dan imaginasi mereka,” jelasnya.

Pada program tersebut, turut diadakan ceramah keibubapaan yang menjelaskan tentang hak kanak-kanak yang merangkumi Hak Kehidupan, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan, dan Hak Penyertaan yang disampaikan oleh wakil SUHAKAM, Mohd Irsyad Hamilin dan Qalista S. Dohny.

Turut hadir, Guru Besar SK Kindu, Sitiamah Hi. Sahat dan Ketua Penolong Setiausaha SUHAKAM Sabah, Dr. Alfonso Min.

 

 

Program Khidmat Masyarakat oleh sekumpulan pelajar Non Residen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di SK. Bungalio, Tuaran baru-baru ini memberi motivasi kepada murid-murid di sekolah tersebut untuk terus meningkatkan pencapaian diri dan mencapai kecemerlangan.

Bertemakan 'Siswa Prihatin, Masih Ada Yang Sayang’, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen sesi 2022/2023 (JAKMAS NR) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurut pengarah program, Jane April Teo, program tersebut membabitkan 22 pelajar non residen bersama-sama dengan beberapa kakitangan PNRF.

“Objektif utama program ini diadakan adalah bagi menambah pengetahuan dan pengalaman para peserta program dalam berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan, serta memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya.

Jane turut memaklumkan, antara aktiviti yang diadakan oleh peserta sepanjang program tersebut berlangsung adalah sesi Latihan dalam kumpulan (LDK), sukaneka, penyerahan sumbangan buku dan juga melukis mural di dinding bangunan yang diabadikan untuk kenang-kenangan bersama.

Dalam pada itu, Guru Besar SK. Bungalio, Jalius Gadsong merakamkan penghargaan kepada pihak UMS atas inisiatif mengadakan program khidmat masyarakat bersama murid-murid di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah menyambut baik usaha ini dan berharap agar program murni seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai motivasi kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita ke menara gading,” katanya.

Pengarah PNRF, Hasmi Hashim juga menyokong usaha kumpulan pelajar Non Residen UMS untuk meneruskan program-program yang memberi manfaat baik kepada pelajar mahupun kepada masyarakat.

“Program murni ini menyokong kepada amanat dan fokus ke-11 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar, serta menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society),” ujar beliau.

Seramai 37 murid SK. Bungalio dan dibantu oleh guru-guru sekolah telah menjayakan program tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut Yang Dipertua JAKMAS NR, Mohd. Nazarruddin Zulkipli.

 

Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan MBSB Bank mengadakan “Program MBSB Bank University Career Kick-Start (MBUCK) with UMS”, di sini, baru-baru ini.

Ketua Talent Acquisition and Employer Branding MBSB, Santhana Krishnasamay berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pengenalan dan berkongsi peluang pekerjaan ditawarkan di MBSB Bank.

“Selain itu, para peserta berpeluang untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan industri perbankan bersama wakil industri yang hadir.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi pendedahan tentang hala tuju dan cabaran kerjaya di MBSB Bank sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kadar pekerjaan dalam bakal graduan,” katanya.

Santhana berkata demikian dalam satu kenyataan sempena program itu yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS.

Turut hadir Ketua Industrial Relations and Governance, Mathew Jr Johnson; Pegawai Psikologi PKPKP UMS, Nurul Fatiha Firdaus Roslan; Pegawai Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Aashiqin; dan Penolong Pegawai Tadbir PKPKP UMS, Anita Jamo Rudy.

Menurut Nurul Fatiha, seramai 100 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada pelajar tahun akhir UMS dan UiTM dari pelbagai bidang ijazah sarjana muda.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang diadakan buat julung kalinya di UMS ini.

“Semoga ia dapat memberi manfaat kepada para peserta khususnya dari segi ilmu berkaitan industri peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak MBSB Bank,” katanya.

 

Program Gotong-Royong Perdana di peringkat Kolej Kediaman Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu meningkatkan kesedaran warganya akan kepentingan menjaga kebersihan serta meningkatkan keceriaan dan keselamatan di kolej kediaman.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini juga mampu menyemai semangat kesukarelawanan dan cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar yang perlu dipupuk sejak awal lagi.

“Semangat sebegini menjadi batu asas kepada warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, saling bantu membantu demi menjaga kebersihan setempat yang akan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat.

“Justeru, tahniah diucapkan kepada Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) atas kejayaan penganjuran program ini menerusi penglibatan warga kolej kediaman walaupun para pelajar masing-masing sedang sibuk dengan persiapan dan persediaan peperiksaan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Ujar Kasim, aktiviti sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan staf dan pelajar, tetapi turut memberi impak positif kepada para peserta kerana selain menjadi aktiviti fizikal yang menyihatkan tubuh badan, usaha ini turut memberi pendedahan untuk lebih menghargai keindahan serta kepentingan memelihara alam sekitar.

Program tersebut melibatkan semua kolej kediaman termasuk Cawangan Sandakan dan Labuan dan disertai semua pihak pengurusan Kolej kediaman, kakitangan PNRF dan pelajar di kolej kediaman masing-masing.

Selain aktiviti gotong-royong, terdapat juga aktiviti lain yang dilaksanakan seperti sesi taklimat ringkas kesihatan awam berkaitan nyamuk Aedes oleh Dr. Muhammad Aklil Abd Rahman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, sesi senam robik, Mini Pameran Kawalan Penyakit Bawaan Vektor daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Covid-19 (PKTC) UMS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Aktiviti pameran yang dilaksanakan itu adalah untuk memberi kesedaran kepada warga kolej kediaman berkenaan aktiviti mencegah, mengawal dan membasmi penyakit-penyakit bawaan vektor.

Kasim turut melancarkan Menu Siswa Rahmah serendah RM3.50 pada program tersebut.