KOTA KINABALU – Hampir 100 orang pemimpin sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia merangkumi Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sedang mengikuti Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Majlis Flag-Off misi sukarelawan siswa yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.

Kata Rasid, penglibatan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar IPT selari dengan hasrat UMS untuk melahirkan graduan yang dapat menjadi pelapis pimpinan masa hadapan.

“Saya menyeru agar para sukarelawan menanam semangat cintakan negara dan menyemarakkan semangat patriotik tersebut melalui aktiviti kesukarelawanan yang merupakan platform yang terbaik dalam memecahkan tembok dan merapatkan jurang di antara komuniti dan universiti.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memperluaskan kegiatan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang berlangsung di Pejabat Pusat Islam UMS.

Tambah Rasid, misi kesukarelawan yang dilancarkan oleh KPT di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) itu harus dipuji dan harus mendapat sokongan semua pihak kerana ianya merupakan platform yang sangat baik untuk dijadikan pelantar bagi mendidik dan mendedahkan mahasiswa kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Bukan sahaja minda mahasiswa yang perlu berubah, malah transformasi minda secara konsisten dengan menyediakan ruang dan peluang yang luas serta dana yang mencukupi oleh pihak kerajaan dan swasta, institusi-institusi pengajian, badan-badan bukan kerajaan serta komuniti adalah diperlukan dalam memastikan nilai melalui aktiviti kerjasama komuniti yang pernah dikenali suatu masa dulu dapat diteruskan oleh generasi kini dan akan datang, secara mampan,” katanya.

Pelaksanaan misi ini berteraskan enam teras YSS merangkumi pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti, ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-65 serta Hari Malaysia ke-59, para sukarelawan YSS akan menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan serta semangat cintakan negara seiring dengan tema tahun ini “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.

Misi sukarelawan siswa yang bermula 28 Ogos itu akan berakhir pada 14 September 2022 dengan mengadakan aktiviti di tiga daerah iaitu Tuaran, Kudat dan Beluran.

 

 

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai naib johan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022.

Pertandingan yang berlangsung secara hibrid sejak 20 Ogos 2022 itu menobatkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai johan, sekali gus menewaskan 26 buah IPT yang bertanding.

Pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Noor Afifah Abdul Razak yang mewakili Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Sri Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, Noor Afifah ketika membacakan teks ucapan Ibrahim berkata, masyarakat diseru untuk lebih peka dan sensitif akan keseimbangan alam bagi memastikan kelestarian alam di negara ini dapat terus terjaga dengan sempurna.

Katanya, setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama bagi menangani isu kerosakan akibat bencana alam kesan daripada pemanasan global.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kelestarian alam.

“Antaranya ialah program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) serta penganjuran aktiviti KUDAH iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah di kawasan komuniti masing-masing.

“Aktiviti yang dirancang di bawah program DSK ini ialah pembinaan laluan denai di sepanjang jajaran sungai, kolam atau badan air sebagai kawasan riadah dan rekreasi. KASA mensasarkan sepanjang 10,000 kilometer denai menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 di UMS, baru-baru ini.

Katanya, dengan menggunakan pendekatan nature-based solution, program ini dijalankan secara bersama antara KASA, jabatan-jabatan serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Selain itu juga, kerjasama strategik turut dijalankan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan korporat, institusi pengajian tinggi, sekolah, pemimpin masyarakat, komuniti setempat dan pemimpin belia.

“Saya yakin, usaha-usaha pelestarian ini tidak terbatas oleh masa, tempat dan juga individu. Sebaliknya setiap daripada kita boleh memulakan dan melaksanakannya dengan pelbagai cara yang tersendiri.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama kita menyokong usaha yang digerakkan oleh KASA dan agensi-agensi di bawahnya terutamanya oleh Jabatan Alam Sekitar untuk terus melestarikan alam sekitar demi bumi yang hanya satu ini,” katanya.

UMS yang dibarisi oleh tiga pendebat iaitu Nur Fatehah binti Nordi@Nordie, Mohamad Fazli bin Losimin dan Muhammad Idris bin Mohd Hairie membawa pulang wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

 

 

 

 

 

KOTA KINABALU: An anesthesiology and critical care postgraduate specialist programme and other clinical programmes are being developed by Universiti Malaysia Sabah (UMS) through its Medical and Science Health Faculty.

The school’s Anesthesiology and Critical Care Department head Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (pic) said this was in line with the Hospital UMS’ role to complement the government healthcare system and services in Sabah.

“These programmes are expected to boost the medical clinical academic ecosystem, not only in Sabah, but the country and this region,” he said in a statement on Friday (Aug 26).

Dr Kamarudin earlier attended a session on the field with the Health Ministry on the potential and collaboration opportunities between UMS and the ministry.

He added that there was a critical need for these local specialists in Sabah as they would serve to strengthen and improve the human capital development and quality of services to the healthcare system in the state.

“With Indonesia’s capital city being relocated from Jakarta to Kalimantan, the shift of population is expected to also follow suit sooner than expected.

“This is also another reason why we need a better and more efficient healthcare system to cater to the growing demands in this region,” he said.

 

KOTA KINABALU – Majlis Dekan ICT (MaDICT) Malaysia dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Komuniti (CSR) di Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), di sini, baru-baru ini.

Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tingkatan empat dan lima tentang kepentingan, peluang dan kelebihan kerjaya dalam bidang Sains Komputer.

“Ia juga sebagai usaha mempromosi program-program akademik Sains Komputer yang ditawarkan di Universiti Awam (UA), serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia.

“Pihak MaDICT mengharapkan lebih ramai pelajar-pelajar cemerlang memilih bidang ICT sebagai laluan kerjaya bagi memenuhi keperluan tenaga dan kepakaran dalam bidang tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MaDICT Prof Dato’ Dr. Bahari Belaton,  Ahli-ahli MaDICT, dan Guru Kanan Mata Pelajaran merangkap Ketua Guru Bidang Sains dan Matematik SMESH Nurul Fatimah Muhd Chaerun.

Pada program tersebut, Pusat U-Science UMS turut berkongsi aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada para pelajar. Antaranya, demonstrasi pengawalan dron dan persembahan kereta robotik.

Dalam perkembangan berkaitan, Hanafi memaklumkan rombongan MaDICT turut mengadakan bengkel dan mesyuarat di UMS bagi membincangkan isu-isu dalam kalangan pelajar ICT.

“Dalam mesyuarat ini, ahli-ahli majlis dari 20 UA berkongsi pengalaman dan kepakaran ke arah menangani cabaran untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bidang ICT dan penarafan subjek Sains Komputer,” jelasnya.

Untuk rekod, MaDICT ditubuhkan sebagai satu platform setiap dekan ICT UA berkongsi pengalaman, kepakaran, idea dan pengetahuan berkaitan dengan pengurusan program pengajian, akademik, penyelidikan, penerbitan, libatsama komuniti/industri dalam bidang berkaitan ICT.

 

KOTA KINABALU: Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Sesi Interaksi bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, di sini kelmarin.

Pengarah BorIIS UMS, Prof. Madya Dr. Normah Abd Latip berkata, program itu antara lain bertujuan untuk membincangkan hala tuju penyelidikan UMS khususnya yang berkaitan dengan institut berkenaan.

“Pelbagai perkongsian dan pandangan diutarakan dalam usaha untuk terus memperkasakan lagi peranan institusi kajian ini.

“Antaranya termasuklah perbincangan Pemantapan Kursi Indigenous Sabah serta beberapa jalinan kerjasama yang akan diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Normah berkata, pihaknya akan menjalinkan hubungan kerjasama melalui Research Agreements (RA) Projek Pembangunan Darau River Cruise (DRC) pada 14 Ogos 2022.

“Projek ini akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.

“Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan sebuah kerjasama antarabangsa bersama Badan Riset dan Inovasi Nasional  (BRIN) Indonesia,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Normah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor atas kesudian hadir dan menjayakan program tersebut.

“Sudah pasti BorIIS akan terus berusaha untuk menggiatkan lagi pelbagai aktiviti khususnya dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan kebudayaan dan hal ehwal orang asal di negeri ini.

“Pada masa yang sama, kita juga mengalu-alukan penglibatan masyarakat daripada pelbagai etnik di Sabah untuk menyumbang idea dan terlibat sama dalam mengangkat martabat keunikan budaya bumi di Bawah Bayu ini,” katanya.

Pada sesi tersebut, Rosalam turut menyempurnakan Perasmian Mural Indigenous BorIIS di Bangunan Sains Sosial, UMS.

Hadir sama, Timbalan Pengarah BorIIS Dr. Jeannet Stephen, kakitangan akademik, felo dan ketua-ketua kluster penyelidikan BorIIS.