Risiko Integriti: Ancaman Senyap Terhadap Tadbir Urus Universiti

Cetak

 

[ARTIKEL BIUMS Siri 2/2025]

 

Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

 

Dalam dunia pengurusan awam dan institusi pendidikan tinggi, risiko integriti semakin menjadi isu yang menuntut perhatian serius.

Integriti bukan hanya tentang tidak melakukan rasuah, tetapi mencakupi etika kerja, ketelusan, tanggungjawab, dan amanah dalam menjalankan tugas. Kegagalan memelihara integriti boleh mencetuskan pelbagai kesan buruk, termasuk keruntuhan kepercayaan, ketirisan kewangan dan kerosakan reputasi institusi.

Di peringkat negara, laporan tahunan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa kes-kes salah guna kuasa dan rasuah masih tinggi, khususnya dalam sektor perolehan, pentadbiran awam, dan institusi pendidikan. Ini menandakan bahawa pengurusan risiko integriti belum diinstitusikan sepenuhnya dalam banyak organisasi.

Di peringkat universiti juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ini. Antara bentuk risiko integriti yang boleh berlaku termasuk:

 

Penubuhan Bahagian Integriti yang berkecuali dan bertindak sebagai entiti pemantau di Universiti Malaysia Sabah merupakan langkah ke hadapan yang strategik.

Antara tanggungjawab Bahagian Integriti ini adalah bertindak untuk membudayakan integriti, mengesan dan menilai risiko salah laku, serta menyediakan latihan kesedaran kepada staf akademik dan pentadbiran.

Namun begitu, cabaran sebenar ialah memastikan setiap warga agensi, daripada pelajar sehingga ke pengurusan tertinggi, benar-benar menghayati budaya integriti secara konsisten dan menyeluruh, bukan sekadar simbolik.

Untuk menangani risiko ini, UMS telah mengambil beberapa inisiatif seperti penubuhan Bahagian Integriti, pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), pelaporan konflik kepentingan secara berkala, dan penyediaan saluran aduan (whistleblowing) yang lebih selamat dan mesra pengguna.

Di samping itu, penekanan terhadap pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 mengenai liabiliti korporat juga menjadi pengingat bahawa institusi bukan sahaja perlu mengurus pekerjanya, tetapi juga mesti bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap sebarang salah laku yang berlaku dalam organisasi.

Kesimpulannya, risiko integriti merupakan musuh senyap yang boleh menjatuhkan kredibiliti sesebuah institusi jika tidak ditangani secara sistematik.

UMS perlu terus komited bukan hanya dalam menghasilkan graduan cemerlang, tetapi juga dalam membentuk warga kerja yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.

Integriti bukan sekadar dasar. Ia adalah budaya dan nilai yang perlu hidup dalam setiap langkah dan keputusan organisasi.

 

(Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.)