Hak Kebebasan Bersuara dan Keutuhan Integriti Institusi TYT di Sabah

Cetak

 

 

Artikel oleh:

Marja Azlima Omar

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Malaysia Sabah

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.  

 

Hak kebebasan untuk bersuara adalah satu perkara penting dalam sistem demokrasi moden dan sehubungan dengan itu ia merupakan satu hak asasi manusia yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Pada masa yang sama, integriti institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah adalah sesuatu yang mesti dilindungi dan dipertahankan sebagai satu simbol kestabilan negeri dan lambang keutuhan sistem berperlembagaan Malaysia yang berdaulat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa hak kebebasan bersuara dan integriti institusi kenegaraan seperti institusi TYT di Sabah ada kalanya berada dalam situasi tegang. Perkara yang sedemikian sememangnya tidak dapat dielakkan sama sekali. Sabah sebagai wilayah Borneo dalam Persekutuan Malaysia yang unik cirinya dari segi sejarah, sosial dan politik telah menyaksikan beberapa episod di mana kritikan dan eksperesi politik masyarakat awam kelihatan seolah-olah mencabar sempadan kebebasan bersuara dan kesantunan institusi TYT. Justeru itu pengamatan yang teliti berkenaan isu ini perlu dilaksanakan bagi memastikan kedua nilai ini dapat tangani dengan baik demi kelansungan kestabilan negara. Penulisan ini bertujuan menilai secara kritis keperluan untuk mengimbangi kebebasan bersuara dan keutuhan integriti institusi TYT Sabah berdasarkan prinsip perlembangan, lunas undang-undang dan amalan politik semasa.

 

Kebebasan Bersuara dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia

 

Perkara 10(1)(a) telah secara jelas memperuntukkan bahawa setiap warganegara Malaysia berhak untuk mengamalkan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun hak tersebut bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak tanpa sebarang limitasi dan kondisi dalam perlaksanaannya. Ini adalah kerana, provisi yang sama juga turut membenarkan Parlimen untuk menggubal undang-undang yang mengenakan sekatan demi memastikan kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, moral dan hak institusi-institusi negara seperti Majlis Raja Raja dan TYT terjamin dan dilindungi sewajarnya.

Berpandukan prinsip proportionality (kesepadanan) dalam undang-undang hak asasi manusia, sekatan terhadap kebebasan bersuara mestilah beralasan (legitimate), perlu (necessary) dan seimbang (proportionate). Ini bermakna sebarang larangan atau sekatan/hukuman terhadap ekspresi kekebebasan bersuara akan hanya sah sekiranya ianya dilaksanakan dengan adil dan tidak mengenepikan kebebasan demokratik secara berlebihan.

Dalam erti kata lain, prinsip proportionality ini berfungsi sebagai benteng perlindungan kepada kebebasan untuk bersuara dalam persekitaran demokarasi yang terjamin. Pihak berkuasa dipastikan tidak akan mengambil sebarang tindakan secara sewenang-wenangnya untuk menyekat eksperesi awam. Untuk memastikan prinsip ini tidak dicemari, mahkamah dan badan perundangan di Malaysia perlu dengan teliti menilai sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara terutamanya dalam isu-isu yang sensitif melibatkan ekspresi politik, agama, atau hak minoriti. Prinsip proportionality ini jelas sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan antara ketertiban awam dan kebebasan individu, tuntas kepada amalan demokrasi yang sihat.

 

Keperluan Melindungi Keutuhan Integriti Institusi TYT Sabah

 

Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia. Perkara 41 pula memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara. Di peringkat negeri pula, Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah Ketua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh empat tahun mengikut Artikel 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah. Walaupun tidak memegang kuasa eksekutif seperti yang dimilikki oleh Ketua Menteri, peranan TYT adalah penting dalam memastikan kelangsungan demokrasi berperlembagaan di Sabah. TYT juga mempunyai budi bicara dalam pelantikan Ketua Menteri – Artikel 6(3), pembubaran Dewan Undangan Negeri – Artikel 21(2), pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Artikel 7(2) dan hal-hal tertentu yang menyentuh kestabilan politik negeri. Justeru, pelbagai cabaran dan kontroversi dalam konteks pelantikan, pemecatan, dan tindakan TYT telah menimbulkan persoalan mengenai keutuhan integriti institusi ini.

Selain itu, institusi TYT juga berperanan sebagai lambang perpaduan rakyat Sabah yang majmuk. Institusi TYT bertindak sebagai simbol kesatuan dan identiti kolektif rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang agama, etnik, atau budaya. Masyarakat pluralistik seperti Sabah amat memerlukan institusi TYT dalam mewujudkan suasana yang inklusif, supaya semua Komuniti dan setiap lapisan masyarakat merasa diwakili secara adil dalam struktur kenegaraan. Kehadiran institusi TYT, yang berdiri atas prinsip neutraliti politik, membantu meredakan ketegangan antara kumpulan etnik dan menjadi titik temu kepada semangat Sabah untuk semua. Institusi TYT juga memainkan peranan sebagai elemen penyambung antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, terutamanya dalam perlaksanaan dasar yang melibatkan kepentingan bersama. Umum mengetahui bahawa hubungan Persekutuan-Negeri adalah satu isu yang mencabar terutamanya berkaitan isu autonomi, hak hasil bumi, perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan perkara 20. Ternyata, institusi TYT amat berperanan sebagai pengantara moral dan simbolik yang memelihara hubungan dua hala kekal harmoni.

Peranan penting institusi TYT pasti akan tergugat sekiranya terdapat sebarang percubaan untuk mengaibkan atau meremehkan institusi ini yang akan seterusnya menjejaskan legitimasi politik dan kestabilan sosial negeri. Apa yang pasti, institusi TYT Sabah bukan sekadar memenuhi fungsi perlembagaan secara formal, tetapi juga merupakan elemen penting dalam membentuk identiti negeri, mengukuhkan perpaduan sosial, dan menyumbang kepada hubungan yang harmoni antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Keutuhan dan integriti institusi ini adalah cerminan kepada kematangan politik Sabah, serta kunci kepada kestabilan dan keharmonian negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Perlu disebut bahawa proses pemilihan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah merupakan satu proses yang teliti dan berhemah, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan. Pemilihan ini melibatkan pertimbangan menyeluruh, termasuk latar belakang peribadi, pengalaman kepimpinan serta rekod perkhidmatan calon yang dicadangkan. Hanya individu yang benar-benar memenuhi kriteria kewibawaan, berintegriti tinggi serta mempunyai pemahaman mendalam terhadap hal ehwal negeri dan negara akan dipertimbangkan.

Mengikut Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri Malaysia, selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah. Justeru, pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan Kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap calon, malah turut mengambil kira keharmonian dan kepentingan rakyat Sabah secara menyeluruh. Proses yang teliti ini memastikan institusi Yang di-Pertua Negeri terus dihormati sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kebijaksanaan dalam sistem pemerintahan negeri.

 

Pertembungan antara Kritikan Awam dan Perlindungan Institusi

 

Di era digital dan pasca-Reformasi ini, kritikan orang awam terhadap institusi kerajaan seperti institusi TYT telah menjadi satu perkara biasa. Pendapat, kritikan, teguran, cemuhan semuanya boleh dimuat-naik di platform media sosial peribadi tanpa perlu ditapis oleh pihak berkuasa sebelum berbuat demikian. Contoh yang paling ketara ialah semasa krisis pelantikan Ketua Menteri Sabah pada 2018, ramai netizen, pemimpin politik dan aktivis awam dengan secara mudah dapat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan TYT Sabah ketika itu, Tun Juhar Mahiruddin.

Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2018, satu krisis berhubung pelantikan Ketua Menteri telah berlaku. Kritikan juga turut merangkumi kemungkinan pengaruh politik luar, dan ketelusan keputusan TYT. Pada masa yang sama, terdapat juga pihak yang menganggap kritikan tersebut melampaui batas dan mencemarkan integriti institusi. Kes ini akhirnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang memutuskan bahawa pelantikan Ketua Menteri seperti yang sepatutnya.

Terkini iaitu pada awal tahun 2025 dan akhir tahun 2024, institusi TYT kembali menjadi sasaran protes awam dan demonstrasi anti rasuah mahasiswa dan aktivis. Pelantikan Tun Musa Aman sebagai TYT Sabah telah menimbulkan kemarahan awam dan kontroversi serius. Walaupun beliau telah dibebaskan daripada semua tuduhan rasuah, ramai pihak masih tetap skeptikal dan berpendapat bahawa pembebasan tersebut adalah bukti sistem keadilan yang berat sebelah. Kebimbangan yang berleluasa mengenai pelantikan Tun Musa Aman akan menjejaskan kredibiliti institusi TYT adalah sangat ketara. Tambahan lagi pelantikan tersebut juga dilihat akan melemahkan usaha melawan rasuah di peringkat negeri.

 

Garis Pemisah antara Kritikan Membina dan Penghinaan

 

Adalah penting untuk kita meneliti perbezaan antara kritikan membina terhadap tindakan institusi TYT dan penghinaan terhadap individu yang memegang jawatan tersebut. Dalam sistem demokrasi matang, pemegang jawatan awam termasuk TYT harus terbuka dan menerima penilaian awam terhadap keputusan dan tindakan mereka, tanpa menyentuh maruah atau institusi secara keseluruhan. Sebagai contoh, membangkitkan persoalan perlembagaan berhubung pelantikan Ketua Menteri adalah sah di sisi demokrasi, manakala menuduh TYT bertindak sebagai 'boneka politik' tanpa bukti nyata dan sah boleh ditafsirkan sebagai penghinaan yang menjejaskan integriti institusi.

Reaksi pihak awam dan penganalisis membincangkan kesahan tindakan TYT dalam melantik Ketua Menteri baharu tanpa pemecatan formal terhadap penyandang seperti selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 adalah satu tindakan yang dianggap sah di sisi demokrasi. Malahan kes tersebut telah mengetengahkan kepentingan dan keperluan untuk semak imbang (check and balance). Dalam kes Datuk Amir Kahar Tun Datu Mustapha v Tun Mohd Said Keruak & Anor [1995] 1 MLJ 169, Mahkamah Tinggi Sabah menyatakan bahawa TYT mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Ketua Menteri di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah. Namun begitu, kuasa budi bicara tersebut mestilah digunakan dengan menghormati prinsip demokrasi dan keyakinan majoriti dalam DUN. Oleh itu, membangkitkan persoalan sama ada kuasa budi bicara TYT telah digunakan dengan betul adalah satu tindakan yang sah di sisi undang-undang malah perlu dipraktikkan secara terbuka dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, tuduhan yang menyifatkan TYT sebagai “boneka politik” atau “alat parti pemerintah” tanpa bukti nyata dan sah boleh dianggap sebagai menghina institusi negara dan menjejaskan maruah serta kedudukan Ketua Negeri yang dilindungi oleh kedaulatan undang-undang. Dalam kes PP v Azmi Sharom [2015] 6 MLJ 751, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu lesen untuk menyebar-luaskan tuduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau institusi negara. Walaupun dalam konteks akademik kebebasan berfikir adalah dihormati, namun ianya tetap tertakluk kepada batasan kebertanggungjawaban.

Selain itu, adalah penting juga untuk menegaskan semula keputusan mahkamah dalam kes Zaid Ibrahim v Kerajaan Malaysia [2020] MLJU 817. Dalam kes tersebut, mahkamah mengingatkan bahawa "institusi negara termasuk Raja dan TYT adalah entiti simbolik yang perlu dipertahankan maruahnya daripada tuduhan liar yang boleh menggugat kestabilan institusi." Maka, dalam amalan demokrasi, perbezaan antara kritikan terhadap tindakan pentadbiran dan serangan peribadi tanpa asas terhadap institusi mestilah dibezakan dengan jelas. Kritikan terhadap pelantikan Ketua Menteri, jika disertakan dengan hujahan perundangan dan fakta politik adalah sebahagian daripada perbahasan sihat dan terbuka dalam masyarakat. Sebaliknya, tuduhan berbentuk serangan peribadi yang tidak disokong dengan bukti yang jelas seperti mendakwa TYT "disogok", “ditunggang parti” atau "tidak layak moral" secara terbuka tanpa asas kukuh boleh dianggap sebagai tindakan yang melampaui batas serta boleh dikenakan disabitkan kesalahan undang-undang. Antara tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (komunikasi jelik dalam talian) atau Kanun Keseksaan Seksyen 504 (menghina dengan niat memecah keamanan).

Perlu ditegaskan bahawa penghinaan ke atas institusi TYT boleh disamakan secara undang-undang seperti menghina institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Ini adalah kerana kedua institusi ini adalah institusi berpelembagaan yang mempunyai kedudukan yang sama tinggi dalam struktur Negeri dan Persekutuan. YDPA adalah Ketua Negara mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan manakala TYT adalah Ketua Negeri bagi negeri-negeri tanpa raja (Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang), berdasarkan Perkara 1(2) dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan negeri masing-masing. Di setiap negeri tersebut iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, TYT adalah wakil sah YDPA. Mewakili YDPA yang dimaksudkan di sini bukanlah wakil secara individu tetapi mewakili keseluruhan prinsip pemerintahan berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing. Ini bermakna penghinaan ke atas kedua institusi ini ibarat serangan ke atas struktur tertinggi kenegaraan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Tambahan lagi, kedudukan kedua institusi YDPA dan TYT adalah lambang perpaduan dan neutraliti politik yang memainkan peranan sebagai simbol perpaduan rakyat tanpa mengira etnik, agama dan fahaman politik. Sebarang penghinaan terhadap institusi YDPA dan TYT boleh menjejaskan persepsi awam terhadap neutraliti institusi ini, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan berparlimen dan demokrasi berperlembagaan. Ekoran implikasi yang serious akibat penghinaan ke atas institusi kenegaraan seperti YDPA dan TYT, kehormatan kedua institusi tersebut dilindungi oleh undang-undang melalui Akta Hasutan 1948. Secara spesifik, Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan untuk membawa kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Yang di-Pertua Negeri. Sehubungan dengan itu, penghinaan terhadap TYT adalah setaraf dari sudut jenayah dengan penghinaan terhadap YDPA. Melalui Keputusan penghakiman kes-kes terdahulu, mahkamah telah secara jelas mengiktiraf bahawa kedua-dua institusi ini memerlukan perlindungan yang sama dari gangguan atau serangan retorik yang berbaur kebencian. Misalnya dalam kes Public Prosecutor v. Ooi Kee Saik & Ors [1971] 2 MLJ 108, mahkamah telah memutuskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu adalah bahagian penting dalam struktur kenegaraan dan penghinaan terhadap institusi ini adalah perbuatan yang boleh menggugat kestabilan awam. Walaupun kes ini merujuk kepada Raja-Raja Melayu, prinsipnya turut boleh diperluas kepada TYT sebagai Ketua Negeri berdasarkan struktur federalisme dan perlindungan undang-undang yang serupa.

 

Keseimbangan Jalan Tengah: Satu Penyelesaian?

 

Apa yang terjadi sejak kebelakangan ini sepertinya menuntut pihak kerajaan negeri bersama badan kehakiman untuk merangka pendekatan atau governan/tadbir-urus pengawalseliaan terhadap ekspresi awam yang seimbang. Prinsip seperti 'harm test' dan 'chilling effect' yang boleh “dopinjam” dari undang-undang antarabangsa boleh diguna pakai bagi menentukan sama ada sesuatu kenyataan benar-benar mengancam kestabilan institusi TYT atau sekadar satu bentuk kebebasan ekspresi politik.

Prinsip harm test atau "ujian kemudaratan" digunakan untuk menilai sama ada ekspresi tertentu membawa kemudaratan nyata/jelas kepada kepentingan awam seperti keselamatan negara, ketenteraman awam, atau maruah institusi.

Menurut General Comment No. 34, UN Human Rights Committee (CCPR/C/GC/34) mengenai Artikel 19 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), sekatan terhadap kebebasan bersuara hanya dibenarkan jika wujud risiko kemudaratan yang jelas, spesifik dan boleh dibuktikan, bukan semata-mata berdasarkan andaian atau rasa tidak selesa oleh pihak berkuasa.

“Restrictions must be necessary and proportionate to achieve a legitimate aim and must demonstrate a direct and immediate connection between the expression and the threat.”

Dalam konteks institusi TYT Sabah, jika seseorang itu menuduh TYT sebagai “boneka politik”, maka harm test perlu digunakan untuk menentukan samada kenyataan itu membawa kemudaratan nyata kepada kestabilan institusi TYT atau tuduhan tersebut cuma sekadar satu pandangan politik yang tidak membawa ancaman langsung kepada fungsi perlembagaan TYT. Jika didapati tiada bukti bahawa kenyataan tersebut menghasut keganasan, pemberontakan, atau mengganggu fungsi institusi, maka sekatan ke atas kenyataan itu tidak melepasi harm test.

Prinsip chilling effect pula merujuk kepada kesan ketakutan yang terjadi apabila individu enggan bersuara atau mengkritik secara sah kerana takut dihukum oleh undang-undang. Kesan ini merupakan satu bentuk kepincangan tidak langsung terhadap amalan demokrasi. Ini adalah kerana ketakutan tersebut akan menjadikan ruang awam seolah dibisukan akibat sekatan yang tidak seimbang.

European Court of Human Rights (ECtHR) / Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dalam kes Lingens v Austria (1986) 8 EHRR 407 menekankan bahawa:

“The limits of acceptable criticism are wider with regard to the government than in relation to a private citizen… Freedom of political debate is at the very core of the concept of a democratic society.”

Sekiranya tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengkritik TYT Sabah tanpa bukti kukuh bahawa kenyataan mereka membahayakan keselamatan atau fungsi negeri, ianya ditafsir sebagai boleh mewujudkan chilling effect. Contoh chilling effect dalam konteks integriti TYT Sabah ialah situasi di mana aktivis, wartawan dan rakyat biasa menjadi takut untuk bersuara, demokrasi deliberatif (deliberative democracy) di Sabah menjadi lesu dan kewibawaan institusi TYT kelihatan seolah kebal kerana tidak tertakluk kepada pengawasan awam. Dalam konteks Malaysia, ujian kesepadanan (proportionality test) juga perlu diguna-pakai selari dengan prinsip harm test dan chilling effect untuk menentukan sama ada sekatan terhadap kenyataan awam wajar dilaksanakan.

Tidak dapat dinafikan juga sebahagian besar konflik antara hak bersuara dan integriti TYT berpunca daripada ketidakfahaman atau kurang kepekaan awam terhadap fungsi institusi tersebut. Sehubungan dengan itu, pendidikan sivik dan program literasi perlembagaan yang menyeluruh dapat membantu rakyat menyalurkan pandangan membina secara sah, tanpa menjejaskan integriti institusi berdaulat.

Media massa dan pengendali laman sosial juga perlu mengamalkan prinsip kewartawanan beretika dalam melaporkan isu berkaitan TYT. Undang-undang berkaitan berita palsu atau fitnah perlu dikuatkuasakan secara telus dan menyeluruh (tidak selektif) demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

 

Kesimpulan

 

Kebebasan bersuara dalam demokrasi Malaysia memberi ruang yang luas kepada rakyat untuk menilai dan mengkritik institusi politik dan pentadbiran, termasuk TYT. Namun, prinsip undang-undang juga menuntut keseimbangan antara kebebasan bersuara dan kewajiban melindungi integriti institusi negara. Kritikan yang disokong oleh fakta dan perbahasan undang-undang adalah sah. Sebaliknya, tuduhan terhadap TYT tanpa asas kukuh bukan sahaja tidak demokratik, malah boleh membawa implikasi undang-undang dan menjejaskan kehormatan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Mengimbangi kebebasan bersuara dan melindungi integriti institusi TYT di Sabah terbukti bukan satu tugas mudah, terutamanya dalam suasana politik yang sering berubah. Namun, kedua-dua elemen ini tetap perlu dipelihara secara seimbang demi menjamin kelangsungan demokrasi dan kestabilan institusi berperlembagaan. Selain itu, adalah penting untuk menegaskan lagi bahawa penghinaan ke atas institusi TYT tidak boleh diremehkan sebagai satu isu kecil kerana tindakan tersebut membawa implikasi meluas ke atas perlembagaan, simbolik dan undang-undang. Sepertimana YDPA dihormati sebagai lambang negara, TYT juga adalah lambang negeri dan kesinambungan institusi kenegaraan. Oleh itu, penghinaan terhadap institusi TYT adalah serupa sifatnya dari segi prinsip dan kesan dengan penghinaan terhadap institusi YDPA. Penghinaan ke atas kedua institusi ini sewajarnya boleh dikenakan tindakan undang-undang demi mempertahankan integrity institusi berpelembagaan.

Walau bagaimanapun institusi TYT sebagai Ketua Negeri bukanlah entiti yang kebal daripada kritikan, tetapi institusi tersebut mestilah dihormati dalam kerangka perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam masa yang sama, rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan selagi tidak bersifat fitnah atau hasutan yang merosakkan tatanan dan keharmonian negara. Maka dengan itu, pembinaan budaya demokrasi yang matang di Sabah mestilah berasaskan pada kefahaman perlembagaan, penghormatan terhadap institusi, dan amalan komunikasi yang bertanggungjawab. Hanya dengan itu, prinsip kebebasan bersuara dan keutuhan integriti institusi TYT akan saling menyumbang ke arah pengukuhan negara bangsa Malaysia yang lebih demokratik dan saksama.