Gelombang protes besar-besaran yang tercetus di Indonesia sejak Ogos lalu memberi isyarat jelas tentang ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan negara itu, dan dalam masa sama dilihat sebagai amaran kepada Malaysia untuk tidak memandang ringan isu-isu domestik.
Protes yang bermula selepas kematian seorang penghantar makanan, Afnan Kurniawan, akibat dirempuh kenderaan taktikal polis Brimob, merebak pantas ke seluruh Indonesia selepas kejadian itu tular di media sosial. Insiden tersebut menjadi simbol ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa pihak berkuasa.
Menurut data rasmi Kementerian Kesihatan Indonesia, lebih 350 orang cedera dan sekurang-kurangnya 12 maut, termasuk seorang wartawan bebas, Syawal Rahmat, akibat kecederaan kepala. Dalam tempoh dua minggu pertama, lebih 2,500 penunjuk perasaan ditahan oleh pihak berkuasa.
Demonstrasi yang tercetus di bandar besar seperti Jakarta, Surabaya, Jambi dan Makassar itu tidak sekadar menuntut keadilan bagi Afnan, sebaliknya mendedahkan isu lebih besar termasuk rasuah berleluasa, jurang pendapatan melebar, dan janji reformasi kerajaan yang gagal ditunaikan.
Media Sosial Jadi Pemangkin
Fenomena ini diperhebat dengan penggunaan media sosial, apabila lebih 7.5 juta tanda pagar (hashtag) seperti #ReformasiTotal dan #JusticeForAfnan trending hanya dalam 48 jam pertama.
Golongan mahasiswa dari universiti utama seperti Universiti Indonesia, Universiti Gadjah Mada dan Institut Teknologi Bandung pula memainkan peranan penting dalam menggerakkan massa, termasuk dengan menganjurkan ceramah, mengedarkan risalah dan menggerakkan kempen digital.
Implikasi ke Atas Malaysia
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, ketika dihubungi berkata, senario di Indonesia tidak boleh dipandang ringan oleh Malaysia kerana isu yang sama turut wujud di negara ini.
“Rasuah, ketidakadilan sosial dan jurang pendapatan adalah isu sejagat. Malaysia pernah menyaksikan perhimpunan besar seperti Bersih dan Blackout 505. Protes di Indonesia ini harus menjadi pengajaran awal kepada kerajaan kita,” katanya.
Beliau menambah, dengan demografi yang hampir sama khususnya populasi muda yang aktif di media sosial, Malaysia berisiko berdepan kesan “contagion effect”, iaitu pengaruh gerakan protes dari negara jiran yang boleh mencetuskan mobilisasi rakyat tempatan.
Perlu Tindakan Proaktif
Dr. Syahruddin berkata, kerajaan Malaysia perlu segera memperkukuh tadbir urus, ketelusan, dan saluran komunikasi dengan rakyat agar ketidakpuasan tidak membara menjadi protes jalanan.
“Introspeksi menyeluruh amat penting. Kita perlu memperkukuh institusi keadilan, meneliti semula Akta Perhimpunan Aman, dan memastikan siasatan kes-kes berprofil tinggi dijalankan dengan telus.
"Rakyat mesti diyakinkan bahawa suara mereka didengar,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.
Menurut beliau lagi, kestabilan awam tidak hanya bergantung kepada undang-undang, tetapi juga kepada psikologi kolektif rakyat.
"Apabila rakyat merasakan suara mereka diketepikan, ia boleh mencetuskan kemarahan besar-besaran.
“Jika bara kecil tidak ditangani, ia boleh meletus menjadi kebangkitan massa. Malaysia perlu belajar daripada apa yang berlaku di Indonesia, sebelum terlambat,” ujar Dr. Syahruddin.