Popular Articles

Recent Stories

IFTAR PUASA SUNAT - 06 NOV 2025

Universiti Malaysia Sabah, 6 November 2025 – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Tabung Haji dan Kelab Rakan Masjid UMS telah menganjurkan Program Iftar Puasa Isnin dan Khamis bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah.

Program ini bertujuan untuk mengimarahkan Masjid UMS sebagai pusat aktiviti keagamaan dan kebajikan warga kampus. Di samping itu, program ini turut menjadi wadah untuk mengukuhkan ukhuwah antara pelajar, staf dan komuniti kampus melalui aktiviti berbuka puasa bersama, serta menyemai amalan sunnah berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UMS.

Seramai 56 orang peserta telah hadir pada program kali ini, terdiri daripada 32 peserta lelaki dan 24 peserta perempuan. Antara juadah yang disediakan ialah nasi ayam berempah bersama gulai, air sarsi, dan kuih.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tabung Haji atas sumbangan serta sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Semoga kerjasama ini terus berkekalan dan diberkati Allah SWT.

JERAYAWARA KUKUHKAN PERANAN PIUMS

Kota Kinabalu, 31 Oktober 2025 – Unit Zakat, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Jerayawara Taklimat dan Semakan Kaunter Zakat Penggajian (PZB) Bil. 10–11/2025 dengan kerjasama Tabung Haji telah menganjurkan hari pembukaan Kaunter Bergerak Zakat Penggajian (PZB) dan Kaunter Bergerak Tabung Haji di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Program Jerayawara ini telah berlangsung selama 3 hari di lokasi utama, iaitu Fakulti Kejuruteraan pada 28–29 Oktober 2025 dan Perpustakaan UMS pada 30 Oktober 2025. Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Komputeran dan Informatik, serta Jabatan Perpustakaan UMS.
 
Menariknya, penganjuran kali ini turut disertai oleh pihak Tabung Haji, yang telah mengadakan taklimat khas berkaitan peranan dan perkhidmatan Tabung Haji, di samping membuka kaunter perkhidmatan bagi kemudahan warga kampus. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Yang Berusaha Hajah Siti Kuriah binti Osman, Pengurus Tabung Haji Kota Kinabalu, dan Puan Noorisah binti Taljid Timbalan Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam dari Bahagian Pendidikan dan Zakat, Pusat Islam UMS.
 
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja UMS terhadap kewajipan berzakat, di samping memudahkan urusan pembayaran serta semakan taksiran zakat secara terus melalui Kaunter Zakat Bergerak. Inisiatif ini turut menjadi platform berterusan bagi memberi pendedahan mengenai pelbagai jenis zakat harta yang wajib ditunaikan oleh kakitangan Universiti.
 
Selain itu, taklimat kesedaran menabung bagi menunaikan ibadah haji turut diadakan sebagai usaha mendidik dan menggalakkan warga Universiti membuat perancangan awal untuk melaksanakan ibadah suci haji tersebut.
 
Program ini juga diselaraskan bersama pelaksanaan Permohonan Bantuan Zakat Pelajar Baharu Semester I Sesi 2025/2026, sebagai sebahagian daripada agenda tahunan Unit Zakat PIUMS dalam memperluas manfaat kutipan zakat kepada golongan asnaf di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Bagi memeriahkan kempen kesedaran kali ini, Unit Zakat UMS turut menawarkan hadiah cabutan bertuah menarik kepada pencarum Potongan Zakat Berjadual (PZB) bagi tahun 2025 sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sokongan berterusan warga kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) terhadap amalan berzakat.

PIUMS ANJUR MINI KARNIVAL RIANG-RIA SMR 2025

Kota Kinabalu, Sabah — KAFA UMS melalui Pusat Islam UMS telah menganjurkan Mini Karnival Riang Ria KAFA UMS sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah 2025 pada 11 Oktober 2025 bersamaan 19 Rabiulakhir 1447H, bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah.
Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang ini menghimpunkan lebih daripada 60 peserta yang terdiri daripada anak-anak kakitangan UMS, pelajar KAFA sekitar daerah Manggatal, serta orang awam. Mini karnival ini menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturrahim dan menyemarakkan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui aktiviti yang berunsur dakwah dan pendidikan.
 
Antara acara yang dipertandingkan termasuklah Pertandingan Nasyid Dewasa (15 tahun ke atas), Pertandingan Sajak, Hafazan, dan Rekacipta Kreatif, yang berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur. Program turut diserikan dengan pameran mini, gerai jualan komuniti, serta ruang aktiviti interaktif kanak-kanak yang menekankan nilai-nilai akhlak mulia dan kasih sayang sesama insan.
 
Menurut Pengerusi KAFA UMS, Puan Noorisah binti Taljid program ini bukan sahaja menghidupkan sambutan Maulidur Rasul dalam suasana ceria dan inklusif, tetapi juga mendidik masyarakat untuk meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
 
“Mini Karnival Riang Ria KAFA UMS ini kita rancang supaya nilai Islam dapat disampaikan dalam bentuk yang ringan, menyeronokkan, dan mendidik. Ia juga satu platform untuk menghargai usaha para guru dan pelajar KAFA yang menjadi tunjang pendidikan Islam di kampus,” ujar beliau.
 
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan UMS serta kerjasama strategik pelbagai agensi tempatan yang terlibat dalam pendidikan dan komuniti Islam sekitar Kota Kinabalu.
 
Klik pautan berikut untuk melihat foto-foto berikutnya: https://www.facebook.com/share/p/1BC5Q2pnH5/
-----------------------------------------------------------------------
Disediakan oleh:
Bahagian Pendidikan & Zakat (BPZ)
Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS)

KAFA UMS ANJUR KEM MOTIVASI 9A

Kota Kinabalu, Sabah — KAFA UMS melalui Pusat Islam UMS telah menganjurkan Kem Motivasi 9A UPKK KAFA UMS Tahun 2025 pada 1 & 2 November 2025 (Sabtu dan Ahad) bersamaan 8 & 9 Jamadil'awal 1447H, bertempat di Bilik Seminar 1 & 2, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah.
 
Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 4.30 petang ini telah menghimpunkan para pelajar KAFA UMS seramai 38 orang yang bakal menduduki peperiksaan UPKK, dengan objektif utama memupuk motivasi, memperkukuh penguasaan akademik serta membina sahsiah diri berteraskan adab dan nilai Islam.
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta didedahkan dengan slot teknik menjawab soalan, pengukuhan hafazan, tazkirah motivasi, latihan disiplin rohani serta aktiviti bimbingan kendiri secara berkumpulan.
 
Diucapkan semoga semua pelajar UPKK KAFA UMS 2025 terus diberikan kefahaman yang mendalam, ketenangan hati dalam menuntut ilmu serta dipermudahkan Allah SWT untuk mencapai keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan UPKK yang bakal diduduki.
 
Klik pautan berikut untuk melihat foto-foto berikutnya: https://www.facebook.com/share/p/1BF6ER2uNF/